Selepas Martial, Kini Lingard Pula Tampil Mengaku Difitnah Oleh Ralf Rangnick

Jesse Lingard telah membalas semula kenyataan yang dikeluarkan oleh Ralf Rangnick sebelum ini, yang mendakwa bintang England itu meminta dirinya diketepikan dari aksi pertembungan dalam saingan FA Cup hujung minggu ini.

Lingard sebelum ini dijangka akan meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan Januari lalu, dengan beberapa pasukan dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Pemain berusia 29 tahun itu sepanjang musim ini beliau tidak pernah sama sekali diturunkan dalam kesebelasan utama United dalam aksi saingan Premier League.

Newcastle United merupakan antara pasukan kegemaran yang dikatakan bakal mendapatkan khidmat Jesse Lingard, dengan mereka mahu meminjam bintang England itu, sebelum menandatanganinya sebagai pemain tetap pada penghujung musim nanti.

Walau bagaimanapun, Manchester United telah meminta yuran perpindahan yang sangat tidak masuk akal walau kontrak Lingard bersama kelab sebenarnya akan tamat beberapa bulan sahaja lagi.

Manchester United sendiri turut tidak menandatangani mana-mana pemain pada jendela perpindahan Januari ini, mungkin kerana mereka sudah melabur banyak pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Dek kerana tiada pemain masuk dan ditambah pula dengan kehilangan Mason Greenwood yang akan menyertai pasukan penjara, Lingard berpotensi untuk menjadi pemain terpenting setan merah pada suku kedua musim ini.

Walau bagaimanapun, hal itu tidak akan berlaku pada minggu ini, dengan pengurus interim kelab, menyatakan yang Lingard meminta cuti beberapa hari untuk tenangkan fikiran.

Namun begitu, Lingard yang bermain bersama West Ham sebagai pemain pinjaman pada musim lalu itu tampil dan menafikan sepenuhnya kenyataan dari Ralf Rangnick itu.

“Pihak kelab menasihati saya untuk mengambil cuti atas alasan peribadi.”

Tulis Lingard di laman media sosial miliknya.

“Tapi ruang dalam kepala saya tenang dan saya sentiasa profesional ketika dipanggil dan saya akan berikan 100 peratus.”

Ini bukan kali pertama Ralf Rangnick keluarkan kenyataan yang bercanggah dengan kenyataan dari pemainnya sendiri.

Selepas tamat aksi terikat 2-2 Manchester United bertemu Aston Villa sebelum ini, pengurus interim Manchester United itu mendakwa yang Anthony Martial meminta untuk dikecualikan dari skuad utama.

Pemain kebangsaan Perancis itu segera mengeluarkan kenyataan balas dengan menyatakan yang beliau tidak pernah sama sekali menolak untuk diturunkan.

“Saya tak pernah tolak untuk bermain bersama Man United.”

Tulis beliau di laman media sosial miliknya untuk menafikan tuduhan dari Ralf Rangnick itu.

“Saya sudah berada di sini selama tujuh tahun dan saya tak pernah tak menghormati dan tak akan untuk tak menghormati kelab dan peminat.”

Martial kemudiannya turun beraksi untuk setan merah dan menjadi pencetus kepada terhasilnya gol kemenangan United ketika bertemu West Ham yang dijaringkan oleh Marcus Rashford.

Beliau kemudiannya telah melengkapkan perpindahannya untuk menyertai Sevilla pada jendela perpindahan Januari ini.

Donny Van de Beek juga kini sedang bergembira di Goodison Park selepas berjaya menyelamatkan diri dari terkurung di bangku simpanan di Old Trafford.

Lingard tidak dibenarkan untuk meninggalkan kelab pada jendela perpindahan Januari ini dan ia kerana kelab memerlukan khidmatnya selepas kehilangan Mason Greenwood.

Ralf Rangnick mengaku halang Lingard kerana kelab kehilangan Greenwood

Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick semalam telah mendedahkan bahawa penangkapan dan penggantungan Mason Greenwood daripada pasukan telah membuatkannya menghalang pemain yang sentiasa menjadi wonderkid, Jesse Lingard, daripada berpindah keluar daripada kelab tersebut.

Greenwood baru-baru ini telah menggemparkan dunia maya apabila bekas teman wanitanya telah berkongsi di akaun Instagram bahawa dia telah dicederakan dan dipaksa untuk melakukan hubungan kelamin oleh penyerang (mungkin bekas penyerang) Manchester United tersebut.

Susulan daripada pendedahan tersebut, Greenwood telah ditahan polis dan dilepaskan selepas dijamin. Kesannya, Greenwood tidak dibenarkan untuk berlatih bersama pemain lain sehingga diberitahu kelak, sekaligus menutup jalan kepada Lingard untuk keluar mencari minit permainan yang lebih kerap selepas dia menjadi mengsa peram bekas pengurus, Ole Gunnar Solskjaer dan juga pengurus sekarang.

Sebelum itu, Lingard diberitahu oleh Rangnick bahawa dia dibenarkan untuk menyertai mana-mana pasukan tetapi pada hari terakhir jendela perpindahan Januari, keputusan tersebut diubah serta-merta.

“Kami berlatih macam biasa minggu ni, dengan lima sesi latihan termasuk yang hari ini,”

Rangnick bercakap kepada wartawan selepas ditanya.

Kalau tak ditanya, tak mungkin tiba-tiba Rangnick nak bercakap, ye dak?

“Sememangnya cerita tu (penahanan Greenwood) menjadi topik perbualan di dalam pasukan, tetapi mereka adalah insan biasa dan Mason adalah sebahagian daripada pasukan ini sebelum kita bercuti.

“Seminggu ni memang kami berlatih dengan baik, dan boleh berlatih di bawah keadaan yang biasa dan kami tak sabar nak tunggu perlawanan Piala FA esok (menentang Middlesborough).

“Tiga minggu lalu, Jesse tidak mahu meninggalkan kelab, tapi lepas tu dia berubah fikiran.

“Aku ada sembang dengan dia 10 hari lepas dan aku faham sangatlah kenapa dia nak keluar – nak cari minit permainan untuk masa depannya dan juga Piala Dunia.

“Aku bertahu dia yang kalau dia boleh dapat satu kelab dan kelab tersebut boleh capai kata sepakat dengan kelab kita, aku benarkan dia untuk keluar, tapi dengan apa yang terjadi, situasi dah berubah.

“Pada masa yang sama, kita pun tak ada sebarang persetujuan dengan mana-mana kelab, jadi kita kena ambil keputusan yang terakhir bersama lembaga pengarah dan akan kekalkan Jesse sehingga musim tamat.”

Ketika ditanya sama ada Greenwood menyumbang kepada pengekalan Lingard, Rangnick menjawab;

“Dari satu segi, ya betul, tapi kelab dah bagitahu kat aku, lembaga pengarah pun ada bagitahu yang mereka nak dia kekal, dan aku faham serta maklum.

“Kita ada masalah dengan Mason Greenwood dan kita kekurangan seorang pemain buat masa ini.”

Dalam jendela perpindahan Januari, Manchester United telah melepaskan beberapa pemain seperti Anthony Martial, Donny van de Beek dan Amad Dialo, yang dipinjamkan ke kelab lain dan Rangnick telah memberitahu kenapa dia perlu berbuat demikian.

“Pasukan yang kita ada ni agak besar, kita ada ramai sangat pemain yang tidak berapa nak dapat peluang untuk bermain secara kerap,”

ujarnya.

“Donny, Anthony dan Amad patut mendapat lebih banyak minit permainan dan aku ucapkan selamat maju jaya.

“Amad dah mula bermain dan dah jaringkan gol pertamanya dan aku yakin yang Donny dengan Anthony akan buat yang terbaik di Sevilla dan Everton dan aku harap mereka akan pulang kembali nanti.”

Tidak pasti kenapa Rangnick berharap pemain-pemain tersebut akan kembali. Mungkin mereka akan diberikan lebih banyak minit permainan nanti ataupun akan diperam seperti buah pisang di bawah guni plastik di tepi pangku di belakang rumah.

Anak buah Rangnick akan memulakan kempen Piala FA mereka menentang Middlesborough yang kini berada di tangga ketujuh Liga Kejuaraan, berkongsi mata dengan West Bromwich Albion dalam merebut slot ke perlawanan kalah mati untuk naik ke Liga Perdana.

Selepas itu, United akan kembali beraksi di dalam kancah Liga Perdana menentang Burnley di tempat lawan pada 9 Februari 2022, dan menerima kunjungan Southampton tiga hari kemudian.

Tiga bulan berhempas pulas dan cuba belajar apa itu gegenpressing daripada Rangnick, pasukan Manchester United akhirnya berjaya naik ke tangga keempat liga selepas menewaskan West Ham United dua minggu lalu hasil jaringan pada minit ke 90+3 daripada Marcus Rashford.

BACA:  Ralf Rangnick Bengang Para Pemain United Terlalu Lemah Dan Lembik