Seluruh Negara Berdoa Agar Pingat Emas Ziyad Tidak Dirompak

Atlet negara, Muhammad Ziyad Zolkefli telah berjaya memenangi pingat emas, seterusnya memecahkan rekod dunia di temasya Paralimpik Tokyo 2020.

Namun begitu, kegembiraan rakyat Malaysia tidak kekal lama selepas kem Ukraine melakukan bantahan atas kemenangan Ziyad dengan situasi terkini pingat emas beliau telah ditarik balik.

Menurut laporan dari Astro Arena, Chef-de-Mission (CDM) Malaysia, Datuk Seri Megat D Shariman Zaharudin, dikhabarkan telah bekerjasama dengan kem Ecuador dan Australia untuk membantah keputusan penganjur atas pembatalan penyertaan atlet.

Ziyad telah melakukan yang terbaik dan tidak dinafikan beliau telah mempamerkan persembahan terbaiknya di temasya Paralimpik kali ini.

Kerja keras, usaha, pengorbanan dan segala keringat beliau untuk memenangi pingat emas kedua dalam kariernya telah diragut begitu sahaja oleh penganjur.

Beliau berjaya memecahkan rekod dunia ketika melakukan lontaran ketiganya dengan catatan 17.94m, namun rekod dunia itu juga berkemungkinan tidak akan diiktiraf andai penyertaan beliau dibatalkan.

Kem Ukraine melakukan bantahan sebaik acara tersebut tamat dengan mereka mendakwa atlet Malaysia yang berusia 31 tahun itu sebenarnya terlambat melaporkan diri ke ‘call room’.

Bantahan mereka ketika ini diterima dengan pihak penganjur menarik balik pingat emas Ziyad, dan kini ia menjadi milik Maksym Koval.

Atlet dari Ukraine itu awalnya mencipta rekod dunia dengan lontaran 17.34m, sebelum rekod tersebut dipecahkan semula oleh Ziyad Zolkefli.

Rakan senegaranya, Oleksandr Yarovyi pula berjaya memenangi gangsa, dan kini berpotensi untuk dikalungkan dengan kalungan pingat perak selepas melakukan lontaran sejauh 17.30m.

Atlet Greece yang sebelum ini dikedudukan keempat bakal dikalungkan dengan kalungan pingat gansa selepas melakukan lontaran sejauh 15.93m.

Bazly Azmi dari Astro Arena sempat menemu bual isteri Ziyad, Zafira Nasir ketika beliau bersama keluarga atlet kebanggaan negara itu menonton aksi Ziyad di kediaman mereka.

Zafira jelas risau dengan tahap emosi suaminya dan beliau sangat berharap agar Ziyad berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja.

Ketika temu bual sama, Zafira sempat membuat panggilan video dengan Ziyad dengan atlet tersebut telah menyatakan bahawa:

“Saya sudah buat yang terbaik. Tidak tahu saya nak cakap.

“Saya tidak tahu sebab jauh dari mereka (pegawai Malaysia yang sedang membuat bantahan)

“Saya tunggu keputusannya sahaja,”

Kata Ziyad yang dipetik dari Nadi Arena.

Ramai yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak penganjur yang menarik balik pingat emas Ziyad Zolkefli dan menganggap insiden ini sangat tidak masuk akal.

“Ini merupakan keputusan yang sangat memalukan. Sungguh mengaibkan dan bertentangan dengan semangat Paralimpik. Jika ia adalah pelanggaran undang-undang berkait call room, kamu sepatutnya tidak membenarkan mereka bertanding. Pingat emas dan rekod dunia yang dirompak.”

Tulis bekas Menteri Belia Dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin di laman twitter miliknya.

Kem negara masih berusaha membantah keputusan penganjur namun sehingga kini masih belum ada kata putus dari kontijen negara tentang keputusan rasmi bantahan yang mereka lakukan.

Kontijen negara kali ini menyasarkan tiga pingat emas dengan kita kini sudah berjaya memenangi satu emas dari atlet powerlifting, Bonnie Bunyau.

Andai emas Ziyad Zolkefli tidak dirompak, negara secara rasminya sudah memiliki dua dari tiga pingat emas yang disasarkan dan tidak mustahil untuk kita melihat lebih banyak emas yang bakal dikutip oleh para atlet.

Walau apa pun yang berlaku, Ziyad Zolkefli sudah memenangi emas di mata dan hati seluruh negara dan persembahan memecah rekod dunia beliau akan terus dikenang sebagai yang terbaik untuk negara.

Sumber: Nadi Arena

BACA:  "Woi Ukraine, Omak Kau Hijau" - Dato Hattan