Senarai 24 Pasukan Yang Layak Ke Piala Asia 2023

Akhirnya senarai 24 pasukan yang telah layak ke Piala Asia 2023 telah lengkap selepas berakhirnya pusingan terakhir kelayakan yang menyediakan 11 lagi tempat untuk direbut.

11 tempat yang berbaki sudah mempunyai tuan empunya termasuklah pasukan Malaysia yang terdiri dari enam kumpulan dan berlangsung di Bishkek, Kolkata, Kuala Lumpur, Kuwait City, Namangan dan Ulaanbaatar.

Tajikistan mencipta sejarah bola sepaknya apabila telah mengesahkan kemunculan pertama di kejohanan tertinggi peringkat benua Asia ini.

11 pasukan lagi yang menyertai 13 pasukan yang sudah layak.

13 pasukan sudah lama mengesahkan tempat mereka melalui kelayakan pusingan kedua yang dijalankan serentak dengan kelayakan Piala Dunia Qatar 2023.

Jordan muncul sebagai pemenang Kumpulan A dengan sembilan mata, dengan Palestin mengungguli Kumpulan B dengan rekod sempurna tiga kemenangan juga untuk layak ke Piala Asia biat kali ketiga berturut-turut.

Kumpulan C dijuarai oleh Uzbekistan lalu layak ke Piala Asia juga dengan rekod sempurna tiga kemenangan. India adalah satu lagi pasukan yang layak dengan rekod 100 peratus, mengalahkan Hong Kong 4-0 pada hari Selasa untuk gayat di Kumpulan D.

Bahrain yang berada dalam Kumpulan E bersama Malaysia turut mencatatkan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan dengan kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan mengesahkan mereka selaku juara kumpulan.

Manakala Tajikistan yang bakal membuat penampilan pertama di pentas Piala Asia menamatkan saingan sebagai juara Kumpulan F, mendahului Republik Kyrgyzstan dengan perbezaan gol.

Turut mara sebagai lima naib juara terbaik ialah Indonesia (Kumpulan A), Thailand (Kumpulan C), Hong Kong (Kumpulan D), Malaysia (Kumpulan E) dan Republik Kyrgyzstan (Kumpulan F).

11 pasukan yang layak ini menyertai juara 2015 Australia, China PR, juara tiga kali Republik Islam Iran, juara 2007 Iraq, juara empat kali Jepun, juara dua kali Republik Korea, Lubnan, Oman, juara bertahan Qatar, juara tiga kali Arab Saudi, Syria, Emiriah Arab Bersatu dan Vietnam di Pusingan Akhir sekaligus melengkapkan jumlah 24 pasukan.

Senarai pasukan Piala Asia 2023:

1. Australia
2. China PR
3. Iran
4. Jepun
5. Korea Selatan
6. Lubnan
7. Oman
8. Qatar
9. Arab Saudi
10. Emiriah Arab Bersatu
11. Vietnam
12. Jordan
13. Palestine
14. Uzbekistan
15. Bahrain
16. Tajikistan
17. India
18. Iraq
19. Syria
20. Indonesia
21. Thailand
22. Hong Kong
23. Malaysia
24. Kyrgyzstan

Piala Asia 2023 yang sepatutnya dilangsungkan di China ini merupakan edisi ke-18 kejohanan. Sejak 2019 pasukan bertanding dibesarkan kepada 24 pasukan berbanding format lama hanya 16 pasukan sahaja yang digunakan dari tahun 2004 sehingga 2015.

Lantaran wabak melanda dunia sejak 2020, China telah menarik diri selaku tuan rumah dan venue pertandingan masih lagi belum diputuskan oleh AFC dan masih lagi dalam pencarian.

Sebelum ini tarikh akhir diletakkan oleh AFC bagi semua persatuan negara anggota (MA) yang berminat untuk menjadi tuan rumah adalah 30 Jun 2022 akan datang.

Proses pemilihan sudahpun dipercepatkan dan tuan rumah pertandingan itu tidak akan lagi dipilih oleh Kongres AFC dan pemilihan dilakukan melalui bidaan.

Pentadbiran konfederasi itu akan menetapkan terma-terma dan syarat-syarat proses bidaan bagi mencari pengganti tuan rumah serta menyerahkan laporan untuk membolehkan jawatankuasa eksekutif AFC membuat keputusan muktamad.

Setakat ini Jepun, Korea Selatan dan tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar disebut-sebut sebagai calon pengganti China sebagai tuan rumah.

Qatar dilihat sebagai calon terbaik dengan fasiliti terkini dan tercanggih namun jika Qatar menjadi tuan rumah Piala Asia mungkin akan berlangsung pada Januari 2024.

Sejarah Piala Asia

Piala Asia merupakan kejohanan yang dianjurkan oleh Asian Football Confederation (AFC) untuk mencari juara benua Asia dan merupakan kejohanan bola sepak benua kedua tertua di dunia selepas Copa América.

Sebanyak 46 pasukan yang bernaung di bawah AFC akan merebut kejuaraan Piala Asia yang diadakan setiap empat tahun ini dan hanya 24 pasukan sahaja akan ke pusingan akhir selepas melalui pusingan kelayakan.

Juara Piala Asia akan layak untuk beraksi di FIFA Confederations Cup yang turut disertai lagi oleh 5 pasukan juara benua yang lain iaitu CAF (Afrika), CONCACAF (Amerika Utara, tengah dan Carribean), CONMEBOL (Amerika Selatan), OFC (Oceania) dan UEFA (Eropah)

Piala Asia buat pertama kalinya dilangsungkan pada 1956 di mana Hong Kong menjadi tuan rumah, Korea Selatan Juara dan Israel naib juara di edisi pertama.

Selepas tahun 2004 lantaran pertembungan dengan kejohanan sukan yang lebih besar seperti Sukan Olimpik dan EURO setiap kali kejohanan berlangsung AFC membuat perubahan dengan memilih tahun berangka ganjil.

Piala Asia seterusnya diadakan pada tahun 2007 di mana negera Asia Tenggara menjadi tuan rumah bersama iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Sejak itu Piala Asia diteruskan seperti biasa iaitu setiap empat tahun.

Piala Asia secara umumnya telah didominasi oleh beberapa pasukan yang sama menjadi juara. Pasukan yang mendominasi lebih awal adalah Korea Selatan (2 kali) dan Iran (3 kali).

Sejak 1984, Jepun (4 kali) dan Arab Saudi (3 kali) pula muncul juara serta telah menjadi pasukan paling berjaya, Jepun dan Arab Saudi menduopoli dengan memenangi tujuh daripada sepuluh final terakhir.

Pasukan lain yang telah mencapai kejayaan ialah Qatar (juara semasa 2019), Australia (2015), Iraq (2007) dan Kuwait (1980). Israel menang pada 1964 tetapi kemudiannya dibuang dari AFC dan sejak itu menyertai UEFA.

Senarai Juara Piala Asia:

1956 – Korea Selatan
1960 – Korea Selatan
1964 – Israel
1968 – Iran
1972 – Iran
1976 – Iran
1980 – Kuwait
1984 – Arab Saudi
1988 – Arab Saudi
1992 – Jepun
1996 – Arab Saudi
2000 – Jepun
2004 – Jepun
2007 – Iraq
2011 – Jepun
2015 – Australia
2019 – Qatar
2023 – Malaysia

BACA:  Piala Asia 2023: Awal Silap. Awal Lah Ucap Bye-Bye.