Senarai Kelemahan Utama Yang Ada Pada Liverpool, Chelsea dan Manchester City

Kedudukan carta Liga Perdana Inggeris setakat ini memperlihatkan bahawa akan ada tiga pasukan yang akan bertarung untuk mendapatkan kejuaraan pada musim ini – Manchester City, Liverpool dan Chelsea.

Setakat ini ketiga-tiga pasukan ini dipisahkan hanya satu mata di kalangan mereka, dengan City berjaya mendaki ke puncak selepas Chelsea tewas kepada West Ham pada minggu lalu.

Bermula pada hari Sabtu 11 Disember, pasukan dalam Liga Perdana Inggeris akan melalui satu fasa yang sangat sibuk dan selalunya akan menjadi penentu kepada baki saingan liga buat pasukan-pasukan yang berada di bahagian atas liga.

Mana tidaknya, mereka terpaksa melalui enam perlawanan dalam tempoh 23 hari – sangat padat!

Menjelang tanggal 2 Januari 2022, kedudukan dalam liga mungkin akan berubah selepas 21 perlawanan dilalui oleh setiap pasukan dan yang paling menarik, apakah faktor yang akan mempengaruhi kedudukan ketiga-tiga pendahulu ini.

Di atas kertas, City dilihat mempunyai sedikit kelegaan dalam jadual mereka kerana Chelsea dan Liverpool mempunyai satu perlawanan lebih, pusingan suku akhir Piala EFL.

Apapun, kita tengok dan kaji apakah kelemahan yang ada pada ketiga-tiga pasukan ini yang mungkin boleh menyebabkan pasukan mereka terkulai menjelang tahun baru nanti.

Sejak liga bermula, semua mata tertumpu kepada tiga pengurus hebat ini.

Manchester City

Masalah utama yang dihadapi oleh Pep Guardiola adalah ketiadaan penyerang sejati meskipun berada di puncak liga. Setakat ini, pengurus dari Sepanyol ini telah bertukar-tukar pemain di posisi nombor 9 setiap dan ini menyebabkan hasil jaringan gol menjadi agak menurun.

City merekodkan jumlah jaringan gol yang paling sedikit berbanding lagi dua pencabar – 32 gol dalam 15 perlawanan, dan ini merupakan jumlah paling rendah secara purata (2.1) sejak musim pertama Guardiola menjadi pengurus di kelab ini dan pada musim tersebut, City sekadar menamatkan saingan liga di tangga ketiga.

Empat daripada kemenangan mereka pada musim ini menyaksikan City hanya mencatatkan keputusan satu gol, termasuk ketika menewaskan West Ham United dan Aston Villa.

Selain itu, City bukan sahaja perlu lebih tajam di dalam kotak penalti lawan, tetapi mereka juga kelihatan agak perlahan, dan sukar untuk menembusi barisan pertahanan pasukan yang berkampung di dalam kotak penalti mereka sendiri.

Sejak ketiadaan Leroy Sane, pemain City kelihatan bagaikan tiada idea bagaimana caranya untuk memecahkan tembok pertahanan lawan, dan pemain yang dibeli pada harga 100 juta GBP setakat ini kelihatan masih gagal untuk memberikan solusi. Banyak kali, Grealish, apabila menerima bola akan melakukan hantaran mudah bagaikan tidak pasti adakah dia dibenarkan untuk menjadi kreatif.

Kehadiran semula Kevin De Bruyne selepas kecederaan sedikit sebanyak telah membantu City dalam hal ini tetapi di bahagian pertahanan pula, pemain City nampaknya suka melakukan kesilapan mudah yang membawa kepada jaringan gol dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini, terutamanya apabila mereka bermain dengan garisan pertahanan yang tinggi dan menampilkan Aymeric Laporte atau John Stones.

Liverpool

Keputusan seri 3-3 menentang Brentford dan 2-2 ketika menentang Brighton telah membuka kepada persoalan sama ada Liverpool mampu atau tidak untuk bertahan menerima serangan balas, terutamanya sejak mereka kehilangan tonggak tengah, Gigi WIjnaldum.

Kehadiaran pemain ini di tengah padang selalunya berjaya memecahkan serangan pihak lawan dan berjaya recycle bola dengan begitu bijak, membantu Liverpool mengawal permainan mereka pada musim yang menyaksikan pasukan ini muncul sebagai juara liga.

Penggantinya pada musim ini, Alex Oxlade Chamberlain dan Curtis Jones, telah banyak kali melakukan kesilapan dan ini dapat dilihat dalam perlawanan menentang Brighton, Brentford dan Atletico Madrid.

Lebih memenatkan lagi, prestasi pemain pertahanan yang suatu ketika dahulu dinobatkan sebagai yang terbaik di dunia, tidak lagi dapat kembali ke tahap terbaik selepas pulih daripada kecederaan ACL. Ini pastinya akan memberikan impak kepada Liverpool apabila mereka bakal bermain dalam banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat.

Di bahagian serangan pula, Liverpool dilihat bagaikan terlalu bergantung kepada kegeniusan Mo Salah. Mereka kekurangan sumber kreatif dari bahagian tengah padang dan lebih perit lagi, Salah dan Sadio Mane akan berada bersama skuad kebangsaan mereka untuk menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) pada bulan Januari nanti.

Jadi, jalan terbaik buat Liverpool adalah mendapatkan mata sebanyak mungkin sebelum berakhirnya bulan Disember.

Chelsea

Daripada ketiga-tiga pasukan ini, pasukan yang dijangka paling boleh bertahan pada musim sejuk ini adalah Chelsea memandangkan mereka dilihat mempunyai konsistensi menerusi squad depth yang bagus dan juga varisai taktikal daripada pengurus, Thomas Tuchel.

Pada musim ini, mereka sekadar melepaskan mata ketika menentang Liverpool, Manchester City, Burnley dan juga West Ham.

Pun begitu, menjaringkan gol adalah satu perkara yang mereka cukup lemah. Malah sebelum kecederaan kepada Romelu Lukaku lagi, dia bagaikan tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik dan sering membelakangi gol serta kelihatan seperti kembali kepada zamannya ketika berada di Manchester United, berbanding tranformasi yang ditunjukkan ketika dia berada di Inter Milan.

Tidak dapat dipastikan sama ada ini adalah satu perkara yang sengaja diatur oleh Tuchel meskipun kombinasi baiknya bersama Timo Werner dapat dilihat dalam perlawanan Liga Juara-Juara ketika mereka seri 3-3 menentang Zenit St Petersburg.

Kelemahan ketara yang ada pada pasukan ini adalah ketika mereka bertemu pasukan yang bertahan di garisan yang sangat rendah. Tuchel pula dilihat sangat geram di tepi padang apabila melihat anak buahnya terkial-kial untuk membuat hantaran pantas di celah-celah pertahanan lawan.

Lagi pula, calon pemenang Ballon d’Or 2021, Jorginho, kini bagaikan kehilangan rentak gagal beraksi dengan baik dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Tetapi, kalau ramalan pihak kami betul, Chelsea akan berada di puncak liga sebaik sahaja musim Krismas tamat.

Sumber : Goal.Com

BACA:  Premier League 2022/23: Liverpool 1-1 Crystal Palace