Senarai Kesebelasan Terbaik AFCON 2021 Tanpa Salah Dan Mendy

Saingan AFCON 2021 kini secara rasminya sudah berakhir dengan Senegal muncul sebagai Juara buat pertama kalinya dalam sejarah mereka.

Kejohanan yang penuh dengan kejutan, kontroversi, aksi panas, keputusan pengadil yang meragukan dan pelbagai lagi kisah menarik sepanjang ia dilangsungkan.

Sadio Mane bersama rakan senegaranya yang lain berjaya menewaskan Mesir dalam aksi perlawanan akhir untuk mengesahkan tempat sebagai Juara AFCON 2021.

Mohamed Salah gagal membantu Mesir untuk muncul Juara selepas mereka melalui aksi kalah mati yang sukar dengan terpaksa bermain hingga ke aksi tambahan masa dari pusingan 16 terbaik hinggalah ke perlawanan akhir.

Masalah kecederaan pemain, kepenatan dan pelbagai lagi yang dilalui oleh Mesir menyebabkan mereka perlu berbangga berjaya mengakhiri kempen pada tahun ini di kedudukan kedua.

Salah sebenarnya turut beraksi cemerlang sepanjang kejohanan ini dengan beliau berjaya menjaringkan dua gol dan turut mencatatkan satu assists untuk bawa Mesir ke aksi perlawanan akhir.

Bintang handalan Liverpool itu berjaya menjaringkan gol dan turut mencatatkan assists ketika aksi kemenangan 2-1 Mesir menewaskan Morocco di pusingan suku akhir.

Walau bagaimanapun, segala sumbangan Salah itu sepertinya tak cukup untuk bantu beliau berada dalam senarai kesebelasan terbaik kejohanan AFCON 2021 ini.

Nicolas Pepe (kerana memiliki rating tertinggi berbanding mana-mana pemain lain) dipilih untuk berada dalam senarai ini sebagai pemain sayap kanan.

Lebih mengejutkan lagi, Edouard Mendy turut tidak disenaraikan dalam senarai ini walau beliau bermain hingga ke aksi perlawanan akhir, dan turut menyelamatkan sepakan penalti ketika bertemu Mesir.

Sebaliknya penjaga gol utama Mesir yang hanya beraksi sehingga aksi peringkat kumpulan, Mohamed El Shenawy yang dipilih untuk berada dalam senarai ini.

Berikut merupakan senarai kesebelasan utama terbaik saingan AFCON 2021 pilihan Whoscored berdasarkan rating kesemua pemain sepanjang kejohanan ini.

Kesebelasan terbaik saingan AFCON 2021

Penjaga gol

Mohamed El Shenawy (Egypt & Al Ahly)

Pertahanan

Achraf Hakimi (Morocco & PSG), Abdou DIallo (Senegal & PSG), Kalidou Koulibaly (Senegal & Napoli), Saliou Ciss (Senegal & Nancy)

Tengah

Nicolas Pepe (Ivory Coast & Arsenal), Ibrahim Sangare (Ivory Coast & PSV), Moses Simon (Nigeria & Nantes), Sadio Mane (Senegal & Liverpool)

Penyerang

Sebastien Haller (Ivory Coast & Ajax), Vincent Aboubakar (Cameroon & Al Nassr).

Puas hati dengan kesebelasan terbaik saingan AFCON 2021?

Ketika sesi penyampaian hadiah dilangsungkan, para peminat terharu dan teruja dengan sikap mulia yang ditunjukkan oleh Kalidou Koulibaly.

Kemuliaan hati Kalidou Koulibaly persetankan permintaan VVIP dipuji peminat

Kalidou Koulibaly menolak untuk menjulang Piala AFCON bersama golongan VVIP sebaliknya memilih untuk membawa Piala tersebut kepada rakan sepasukannya yang lain.

Pemain pertahanan Napoli itu diminta untuk menjulang Piala seorang diri bersama tetamu-tetamu terhormat, namun beliau memilih untuk tidak mahu melakukan hal itu.

Senegal berjaya menjuarai gelaran Africa Cup of Nations pertama dalam sejarah negara mereka selepas kejayaan menewaskan Mesir 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Ketua pasukan, Koulibaly diberi penghormatan untuk menjadi pemain pertama dari Senegal untuk menjulang Piala teragung Afrika itu.

Namun begitu majlis penyampaian hadiah berubah menjadi semakin lama dan mengelirukan kerana Koulibaly menolak untuk memenuhi permintaan penganjur.

Piala di bawa naik ke stands yang mana di sana berkumpulnya wakil-wakil terhormat dari pelbagai negara dengan Koulibaly diiring untuk naik ke tempat duduk VVIP.

Sebaik Presiden Cameroon, Paul Biya memberikan Piala kepada Koulibaly, beliau sepertinya diminta untuk menjulang Piala tersebut di hadapan semua tetamu VVIP.

Walau bagaimanapun, bintang Napoli itu tidak mahu melakukan hal tersebut, dengan beliau memilih untuk turun ke bawah sambil membawa Piala tersebut.

Beliau mahu menjulang Piala tersebut bersama Aliou Cisse dan kesemua rakan sepasukannya yang menanti beliau di bawah.

Di mata kesemua tetamu VVIP itu Koulibaly mungkin nampak biadap kerana tak mahu memenuhi permintaan mereka.

Namun di mata peminat bola sepak seluruh dunia, tindakan Koulibaly merupakan satu hal yang indah dan layak untuk dipuji.

“VVIP fikir mereka yang bermati-matian untuk menang Piala, saya bukan penyokong Senegal ataupun Napoli tapi saya kagum dan bangga dengan tindakan Koulibaly.”

“Saya rasa ini adalah detik terbaik dan terindah dalam dunia bola sepak. Koulibaly membuktikan yang rakan sepasukannya lebih penting dari mereka yang memakai suit itu semua.”

“Mereka hanya datang untuk bergambar, jadi lebih baik Koulibaly meraikan kejayaan itu bersama rakan sepasukan dan pengurus yang bermati-matian membantu Senegal untuk menang.”

“Melihat dia tak nak julang Piala itu sorang-sorang pun kita dah boleh nampak dia bijak menghargai rakan sepasukannya. Sudah tentu dia akan jadi ketua yang dihormati.”

Koulibaly turut meraikan kejayaan beliau dengan beliau bergambar bersama Piala dan pingat kemenangan ketika sedang baring di atas katilnya.

Bercakap selepas tamat perlawanan, bekas bintang Genk itu tak mampu untuk menyembunyikan rasa gembiranya beliau serta turut memberikan pujian menggunung kepada penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy yang menyelamatkan sepakan penalti.

“Kami rasa sangat gembira.”

Jelas Koulibaly.

“Kami tahu ia akan sukar untuk kami menang Africa Cup of Nations, tapi hari ini kami berjaya lakukan itu.”

“Pasukan kami berhak untuk menang kejuaraan ini. Kami sudah sekian lama berusaha untuk ini dan kini kami berjaya milikinya. Pasukan ini sungguh menakjubkan.”

“Ia merupakan perlawanan yang sukar dan pertandingan yang sukar. Kami berjaya lakukan itu dengan kekuatan dan semangat sepasukan.”

“Penjaga gol kami merupakan penjaga gol terhebat dunia dan kami menang Piala ini.”

Kejuaraan ini jelas sekali sangat manis untuk pengurus Senegal, Aliou Cisse yang mana 20 tahun lalu beliau merupakan ketua pasukan yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi perlawanan akhir AFCON bertemu Cameroon.

Kini beliau berjaya membawa pulang Piala teragung di benua Afrika itu ke bumi Senegal sebagai pengurus pasukan, dan tentu saja ia bakal menjadi detik terindah sepanjang kariernya terlibat dalam dunia bola sepak.

Sumber: GMS

BACA:  AFCON: Tuan Rumah Pecat Jurulatih Sebelum Layak Ke Pusingan Kalah Mati Dengan Cara Memalukan