Senarai Peraturan Baru Yang Diperkenalkan Sekiranya Saingan Bola Sepak Bersambung

Saingan bola sepak akan kembali dengan beberapa peraturan dan sekatan yang baru selepas digantung ekoran dari penularan wabak Covid-19.

Saingan Premier League sendiri sudah digantung sejak dari Mac lalu dan kini pihak FA sedang dalam usaha untuk memastikan aksi liga kembali bersambung selewatnya pada Jun nanti.

Saingan Liga di Belanda dan Perancis dilaporkan telah dibatalkan dan tiada pemenang yang diumumkan, sedangkan Premier League pula, pihak EPL sedaya upaya akan cuba untuk memastikan saingan liga tidak dibatalkan.

Hal ini kerana, pihak FA mahu mengelakkan dari menanggung kerugian yang besar dan menyelamatkan kelab dari krisis ekonomi.

Tetapi sebelum saingan bola sepak kembali bersambung, pelbagai peraturan baru telah di tetapkan dan The Sun telah menyenaraikan beberapa perubahan yang perlu dilakukan dalam dan di luar padang ketika dunia masih diancam Covid-19.

Antara larangan paling pelik yang ditetapkan adalah, para pemain tidak dibenarkan melakukan hubungan intim dengan pasangan yang mempunyai gejala menghidapi Covid-19.

Saingan Bundesliga di Jerman sudah mengumumkan bakal menggunakan larangan itu sekembalinya liga mereka pada 9 Mei nanti dan dijangka Premier League bakal melakukan hal yang sama.

Untuk pertukaran pemain pula, sekiranya dahulu hanya dibenarkan melakukan tiga pertukaran sahaja, kini akan dinaikkan kepada lima pertukaran dalam setiap perlawanan.

Peraturan ini dibina bagi tujuan mengelakkan para pemain mengalami keletihan yang terlampau ekoran dari jadual yang padat untuk menghabiskan baki musim.

Segala kelengkapan dalam dan luar padang juga akan disterilkan kerana virus tersebut boleh hidup selama 72 jam dalam permukaan tertentu.

“Segala keperluan yang boleh dibersihkan akan dibersihkan. Kami akan memastikan semuanya selamat.”

Jelas salah seorang pekerja pembersih stadium kepada Sky Sports.

Memandangkan kebanyakkan pemain agak gemar meludah didalam padang dan hal itu mungkin membahayakan, FIFA membuat keputusan untuk tidak lagi membenarkan pemain untuk meludah.

Selain dari meludah air yang dikumur, para pemain juga sering meludah kearah pemain lain sebagai tanda provokasi.

Michel D’ Hooghe menegaskan bahawa segala perbuatan itu harus dihentikan dan akan dikenakan tindakan tegas sekiranya dilanggar.

“Ini adalah kebiasaan dalam sukan bola sepak dan tidak terlalu higienis, “

Jelas ketua Jawatankuasa Perubatan badan pentadbiran sukan itu kepada Telegraph.

“Jadi apabila saingan bola sepak kembali bersambung, saya rasa kita harus menghalang perbuatan itu dengan lebih ketat. Persoalannya sekarang adakah mereka mampu untuk lakukannya? Mereka mungkin akan dilayangkan kad amaran.”

“Ianya hal yang tidak sihat dan cara itu memudahkan virus untuk merebak. Ini lah alasan mengapa kita kena siapkan pelbagai langkah awal untuk mencegah. Saya bukan pesimis tetapi dengan situasi seperti sekarang saya agak skeptikal.”

Manusia boleh dijangkiti Covid-19 walau tidak mengalami gejala, itu adalah perkara yang perlu diambil kira untuk mereka yang tidak mengikuti perintah penjarakan sosial, dan sekiranya pemain suka meludah ia akan menjadi masalah besar.

Seorang pakar perubatan dari University of Cambridge, Dr Ian Brierley, telah menjelaskan bagaimana bahayanya tabiat meludah boleh membawa kepada penyebaran wabak.

“Sekiranya seseorang itu dijangkiti wabak Covid-19 dengan bergejala atau dijangkiti dengan tidak bergejala, virus itu sudah berada dalam tekaknya, dan sekiranya mereka meludah, virus itu akan merebak melalui udara.”

“Para pemain juga harus mencipta atau mencuba gaya meraikan gol yang berbeza dengan tidak melakukan sentuhan keterlaluan dengan pemain lain.”

“Bersalaman sebelum perlawanan dan bertukar jersi selepas tamat perlawanan juga mungkin membawa kepada kaedah penyebaran wabak.”

Sebelum saingan sepak bola digantung bulan lalu, premier league sudah mengamalkan kaedah yang sama dengan tidak membenarkan para pemain bersalam sebelum sepak mula.

Mereka sekadar berjalan melintasi satu sama lain dengan tidak bersalam. Namun satu hal yang akan menjadi masalah adalah ketika pemain bergasak dalam perebutan bola.

Tolak menolak ketika sepakan percuma dan sepakan penjuru, aksi pada ketika itu mungkin akan melibatkan banyak sentuhan dan ia juga mungkin merbahaya.

Peraturan terakhir yang bakal diperkenalkan adalah penetapan had umur untuk yang berada di dalam kawasan padang.

Pengurus pasukan Crystal palace yang berusia 72 tahun, Roy Hodgson sudah pasti akan terlepas semua baki perlawanan jika diikut kepada peraturan had umur ini.

BACA:  Pemain Cedera Sampai Masuk Hospital, Barca Mahu FIFA Bayar Pampasan €20,500 Sehari