Sepanyol Umum Luis Enrique Sebagai Pengurus Baru Berikutan Peletakan Jawatan Fernando Hierro

Bekas pengurus Barcelona, Luis Enrique sah dilantik menjadi pengurus Sepanyol yang baru bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Fernando Hierro yang meletak jawatan berikutan kempen Piala Dunia 2018 yang mengecewakan.

Hierro terlebih dahulu meletakkan segala jawatan yang disandangnya dalam pasukan kebangsaan Sepanyol kerana hanya mampu membimbing Sepanyol mara sehingga peringkat 16 pasukan terakhir sahaja.

Luis Enriqu bakal membawa harapan rakyat Sepanyol untuk dua tahun yang akan datang

Dalam pusingan 16 pasukan terakhir, perjalanan Sepanyol di Piala Dunia 2018 disekat oleh pasukan tuan rumah, Russia menerusi penentuan sepakan penalti. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan dan Russia berjaya melakar kejutan layak ke peringkat suku akhir selepas menang 4-3 menerusi sepakan penalti.

Sepanyol dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan untuk menjulang trofi Piala Dunia 2018 berikutan prestasi cemerlang yang dipamerkan pasukan tersebut sepanjang pusingan kelayakan.

Walau bagaimanapun, bola sepak bukan dimainkan di atas kertas dan Sepanyol terpaksa membayar harga yang mahal atas tindakan mereka memecat Julen Lopetegui sehari sebelum perlawanan pertama Sepanyol menentang Portugal.

Suatu ketika dahulu ketika masih bergelar pemain. Seorang penyerang yang berbisa untuk kelab dan negara

Tindakan yang dianggap terburu-buru itu diambil selepas Lopetegui menerima tawaran untuk menjadi pengurus Real Madrid yang baru, menggantikan tempat Zinedine Zidane. Perseketuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) mendakwa keputusan itu diambil tanpa pengetahuan mereka, dan Lopetegui juga telah melanggar terma dalam kontrak beliau dengan menerima tawaran tersebut.

Berikutan persembahan yang mengecewakan di Russia, Persekutuan Bola Sepak Sepanyol telah bertindak cepat dengan melantik bekas pengendali Barcelona dan AS Roma, Luis Enrique sebagai individu yang akan mengemudi Sepanyol mengharungi pusingan kelayakan Euro’ 2020.

Presiden RFEF, Luis Rubiales mengumumkan pelantikan tersebut dalam satu sidang media tergempar hari ini yang tidak dihadiri Enrique.

“Keputusan untuk melantik Luis Enrique adalah keputusan yang diambil sebulat suara. Pemilihan beliau menepati segala kritia dan parameter yang ditetapkan kami.”

“Luis Enrique akan hadir ke pasukan kebangsaan bersama staff-staff beliau, tetapi beliau hanyak akan bercakap mengenai perkara ini minggu hadapan.”

Enrique akan mengambil tempat Hierro selaku pengendali baru Sepanyol dan ia bakal menjadi tugas pertama beliau sejak meninggalkan Barcelona pada tahun 2017.

Enrique menjulang pelbagai trofi sepanjang 3 musim menjadi pengurus di Nou Camp, antaranya adalah 2 kejuaraan La Liga dan 1 trofi Liga Juara-Juara Eropah yang dimenanginya pada 2015.

Beliau juga merupakan bekas pemain Sepanyol ketika bergelar pemain suatu ketika dahulu. Enrique mencatatkan 62 penampilan di peringkat antarabangsa dan berjaya menjaringkan 12 gol.

BACA:  EURO 2020: Sepanyol 0-0 Sweden