Sepanyol Umum Skuad 23 Pemain Ke Piala Dunia, Morata Antara Nama Besar Terlepas

Penyerang Chelsea, Alvaro Morata terpaksa membayar harga yang tinggi atas prestasi buruk beliau di peringkat kelab apabila diketepikan dari mengganggotai skuad Piala Dunia Sepanyol yang akan berangkat ke Russia tidak lama lagi.

Sepanyol merupakan salah satu pasukan pilihan untuk menjulang trofi Piala Dunia 2018 dan pengguguran Morata dari skuad Sepanyol telah menghantar mesej yang jelas mereka hanya mahu membawa pemain yang berada di tahap tertinggi sahaja dan bukan berdasarkan reputasi semata-mata.

Prestasi buruk di peringkat kelab menyebabkan nama Morata dipinggirkan

Pasukan yang digelar sebagai ‘La Roja’ itu mempunyai misi penting untuk memenangi trofi penting ke-4 di peringkat antarabangsa sejak sedekad  yang lalu. Sepanyol mendominasi bolasepak di peringkat antarabangsa bermula 2008 sehingga 2012 dimana mereka berjaya merangkul 2 Kejuaraan Eropah dan satu Piala Dunia.

Morata menyertai Chelsea dari Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas lalu dengan yuran perpindahan dilaporkan sekitar £58juta. Morata menjadi pemain termahal dalam sejarah Chelsea, memecahkan rekod yang dipegang rakan senegaranya, Fernando Torres yang berpindah dari Liverpool pada tahun 2011.

Morata gagal mempamerkan prestasi yang konsisten sejak menyertai The Blues dan bergelut untuk mempamerkan prestasi seperti yang telah beliau pamerkan bersama Juventus dan Real Madrid sebelum ini. Beliau hanya mampu menjaringkan 15 gol dari 47 penampilan dalam semua pertandingan dan kehilangan tempat dalam kesebelasan utama Chelsea sejak Olivier Giroud menyertai kelab tersebut pada Januari lalu.

Hanya seorang pemain Chelsea dalam skuad Sepanyol yang akan berangkat ke Russia iaitu Cesar Azpilicueta

Walaupun mempunyai rekod yang baik di peringkat antarabangsa, ketua jurulatih Sepanyol Julen Lopetegui memilih untuk menyenaraikan Diego Costa, Iago Aspas dan Rodrigo Moreno bagi mengisi bahagian hadapan Sepanyol.

Morata berjaya menjaringkan 13 gol dari 23 perlawanan bersama Sepanyol tetapi statistik tersebut tidak banyak membantunya untuk menarik perhatian Lopetegui.

Morata menerima baik keputusan yang telah dibuat Lopetegui berdasarkan satu tweet yang ditulis beliau sebaik sahaja senarai akhir pemain Sepanyol diumumkan. Dalam tweet tersebut, Morata mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad Sepanyol yang akan beraksi di Piala Dunia dan beliau akan tetap menyokong Sepanyol seperti yang telah beliau lakukan sebelum ini.

Sepanyol mengikut jejak langkah England dengan menyenaraikan senarai akhir 23 pemain tanpa memanggil skuad yang lebih besar bagi menghadapi kem latihan dan perlawanan pemanas badan.

Penjaga gol Manchester United, David De Gea dijangka akan mengambil tempatnya selaku penjaga gol utama manakala kapten Real Madrid, Sergio Ramos sekali lagi bakal bergandingan dengan rakan baiknya, Gerard Pique di bahagian pertahanan tengah.

Lopetegui mengenepikan bek kiri Chelsea, Marcos Alonso dengan memanggil pemain Arsenal, Nacho Monreal untuk memberi saingan kepada Jordi Alba. Dua pemain Real Madrid, Nacho dan Dani Carvajal bakal bersaing untuk merebut tempat di posisi bek kanan.

Iniesta berpeluang mengakhiri karier antarabangsanya dengan memenangi Piala Dunia

Sergio Busquest, Andres Iniesta dan David Silva dijangka akan menjadi pilihan utama untuk mengisi bahagian tengah Sepanyol dengan Isco dijangka bakal memainkan peranan penting di hadapan trio tersebut.

Senarai penuh skuad Sepanyol adalah seperti berikut:

Goalkeepers: Kepa Arrizabalaga (Athletic Club), David de Gea (Manchester United), Pepe Reina (Napoli)

Defenders: Jordi Alba (Barcelona), Cesar Azpiliqueta (Chelsea), Dani Carvajal (Real Madrid), Nacho Fernandez (Real Madrid), Nacho Monreal (Arsenal), Alvaro Odriozola (Real Sociedad), Gerard Pique (Barcelona), Sergio Ramos (Real Madrid)

Midfielders: Thiago Alcantara (Bayern Munich), Sergio Busquets (Barcelona), Andres Iniesta (Barcelona), Isco (Real Madrid), Koke (Atletico Madrid), Saul Niguez (Atletico Madrid), David Silva (Manchester City)

Forwards: Marco Asensio (Real Madrid), Iago Aspas (Celta Vigo), Diego Costa (Atletico Madrid), Rodrigo Moreno (Valencia), Lucas Vazquez (Real Madrid).

BACA:  Enrique Anggap Morata Bermain Dengan Baik Walau Terlepas Dua Peluang Keemasan