Skuad Kabaddi Malaysia Dibelasah Komando Pakistan Di Hangzhou

Kempen skuad kabaddi Malaysia di Sukan Asia 2023 berakhir selepas tewas kepada Pakistan 35-58 di dalam aksi terakhir Kumpulan B di Hangshou semalam.

Pakistan bukan calang-calang pasukan di dalam acara kabaddi apabila memenangi pingat gangsa dalam tiga edisi Sukan Asia sebelum ini.

Dan menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam skuad kabaddi Pakistan untuk Sukan Asia 2023 kali ini dibarisi oleh komando Angkatan Tentera negara itu.

Di dalam pertemuan di antara kedua-dua pasukan di Pusat Sukan Xiaoshan Guali semalam Pakistan mendahulidengan kelebihan besar 30-10 pada separuh masa pertama.

Walaupun menentang pasukan yang lebih berpengalaman, Malaysia cuba memberi tentangan pada babak kedua sebelum tewas 25-28.

Layak ke separuh akhir acara tersebut, ini bermakna Pakistan sekurang-kurangnhya sudah berjaya menyamai pencapaian mereka dalam tiga edisi pertandingan yang lalu.

Malaysia sebelum itu menewaskan pasukan di rangkin ke-4 dunia, Korea Selatan dengan kiraan mata 40-38 dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan sebelum tewas 23-53 kepada Iran.

Pada edisi Sukan Asia sebelum ini, Malaysia gagal merekodkan kemenangan daripada lima perlawanan peringkat kumpulan.

Menurut Ketua Jurulatih M. Palaniyandy skuad kabaddi Malaysia, pasukannya kurang daripada segi pengalaman dan turut kehilangan khidmat tiga tongak utama seperti R. Shachein, Alif Asri Buang dan K. Jatheesvar.

“Semua tiga pemain utama kami mengalami kecederaan dan tidak mendapat lampu hijau daripada doktor untuk beraksi. Sumbangan mereka sepatutnya boleh membanti kami menentang Pakistan,” ujar beliau.

“Kami terpaksa menurunkan skuad simpanan tetapi saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Kami kurang pengalaman dan tewas. Pakistan dibarisi oleh pemain yang kaya dengan pengalaman.”

Palaniyandy kini mensasarkan untuk mempersiapkan pasukan kabaddi negara untuk cabaran di Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Bangkok.

BACA:  Malaysia Ketinggalan 3-0 Kepada Jordan Di Separuh Masa Pertama