Son Heung-Min Tolak Permintaan Selfie Bersama Peminat Guna iPhone

Bintang Tottenham Son Heung-min baru-baru ini menolak pelawaan untuk berswafoto bersama seorang peminat yang menggunakan iPhone.

Melalui video yang tular di TikTok, seorang peminat memegang jersi Spurs tertera namanya sambil mengajak bintang Korea Selatan itu untuk berswafoto.

Namun apabila menyedari peminat tersebut menggunakan iPhone, Son Heung-min terpaksa memohon maaf dan berkata dirinya tidak dibenarkan berbuat demikian. Apakah sebab utama Son bertindak demikian?

Seperti yang dilaporkan oleh Daily Mail pemain antarabangsa Taeguk Warriors itu mempunyai perjanjian penajaan bersama Samsung yang juga merupakan seteru utama Apple untuk pengeluaran telefon pintar dunia.

Ini menyebabkan Son enggan menyentuh iPhone peminatnya itu untuk berswafoto bersama. Sedikit sebanyak ini juga membuktikan pemain itu begitu cakna akan kontrak dan bersikap profesional.

Son mengikat perjanjian penajaan bersama Samsung pada musim panas lalu, namun masalahnya tiba apabila peminat yang mengajak untuk berswafoto menggunakan telefon pintar jenama lain.

Di dalam senario tersebut seperti yang terkandung di dalam video, Son kelihatan memegang telefon pintar jenama Samsung dan bukannya produk keluaran Apple.

Bukannya jual mahal, tetapi pemain itu dengan senang turut tersenyum dan akhirnya peminat tersebut mendapatkan apa yang dihajatkan.

@stevie_king Son cant hold fans iphone to take a selfie due to his contract with samsung. #son #sonny #heuingminson #sonheungmin #spurs #tottenhamfc #tottenhamhotspur ♬ original sound – stevieking

Son adalah pemain bintang utama Korea Selatan dan ia tidak menghairankan syarikat gergasi elektronik itu menjadi penaja utama beliau.

Dan sejak bergelar duta kepada Samsung, Son turut aktif melakukan hantaran mempromosi syarikat tersebut.

Di atas padang pula, Son terus cemerlang dan merupakan aset terpenting Spurs pada musim ini.

BACA:  Morales Tutup Mulut Intan Serah Yang Acah Guardiola