Spalletti Menunjukkan Cara Paling Sopan Untuk Tolak Bersalaman Dengan Pengurus Lawan

Spartak Moscow berjaya mencatatkan kemenangan berharga selepas menewaskan Napoli 2-1 ketika kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Europa League.

Gergasi dari Rusia itu ketika ini bergelut dengan masalah prestasi ketika beraksi dalam saingan domestik, namun mereka sepertinya sedang berpeluang untuk mara ke aksi kalah mati dalam saingan Europa League.

Pemain penyerang, Aleksandr Sobolev berjaya meledak dua gol pada aksi babak pertama permainan, untuk membantu skuad kendalian Rui Vitoria mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini.

Napoli walau bagaimanapun cuba untuk melakukan aksi comeback selepas Eljif Elmas berjaya menjaringkan gol pada minit ke-64 permainan.

Namun sayangnya gergasi Serie A itu gagal untuk mencari gol penyamaan dalam perlawanan ini, seterusnya terpaksa akur dengan kekalahan 2-1 di tangan pasukan tuan rumah.

Ia jelas sekali hari yang langsung tidak menggembirakan untuk skuad Napoli yang ketika ini dibelenggu masalah kecederaan pemain menjelang aksi bertemu Spartak Moscow.

Pengurus pasukan Luciano Spalletti merupakan individu paling sedih dan terkesan dengan keputusan ini dan beliau juga jelas terlalu kecewa untuk menerima kekalahan dalam perlawanan ini.

Reaksi beliau menolak untuk bersalam dengan pengurus Spartak Moscow sudah cukup untuk membuktikan yang pengurus pasukan yang sedang mendahului saingan Serie A itu sedang benar-benar terluka.

Vitoria datang menghampiri Luciano Spalletti untuk bersalam dengannya, namun niat murni pengurus Spartak Moscow itu ditolak dengan penuh sopan oleh pengurus Napoli itu.

Ia merupakan antara insiden yang berjaya mencuri perhatian para peminat, dek kerana Luciano Spalletti menunjukkan cara paling sopan untuk menolak bersalam dengan pengurus pasukan lawan.

Beliau sekadar mengangkat kedua-dua belah tangan seolah-olah seperti seorang pemain yang menolak untuk meraikan gol ketika beraksi bertemu bekas kelab mereka.

Sambil mengangkat tangan, beliau berjalan terus masuk ke terowong menuju ke bilik persalinan, dengan Vitoria yang sedang bergembira meraikan kemenangan anak-anak buahnya hanya menunjukkan reaksi terhibur sahaja melihat cara pengurus Napoli itu menolak bersalam.

Berbanding turut sama beremosi seperti Spalletti, namun Vitoria sekadar menunjukkan reaksi yang seakan-akan memperbodoh sahaja pengurus Napoli itu dengan beliau sekadar berdiri dan ketawa melihat Spalletti berjalan menuju ke terowong.

Reaksi yang ditunjukkan oleh Spalletti jelas sekali memberi tanda-tanda yang beliau ketika ini sedang benar-benar berada di bawah tekanan, selepas mengharungi beberapa hari yang sukar.

Napoli tewas buat pertama kali sepanjang musim ini dalam saingan Serie A, ketika beraksi bertemu Inter Milan pada hujung minggu lalu.

Dalam perlawanan sama, pemain penyerang utama mereka, Victor Osimhen telah berdepan dengan kecederaan yang agak teruk, dengan beliau berkemungkinan akan direhatkan selama tiga bulan.

Lorenzo Insigne pada ketika ini turut terpaksa diketepikan kerana beliau dibelenggu masalah kecederaan, dengan Napoli pada ketika ini juga diserang dengan masalah ramai pemain yang disahkan positif C0V-19.

Semuanya seakan-akan tidak memihak kepada Napoli pada ketika ini, dengan mereka selepas ini akan turun beraksi bertemu anak-anak buah Maurizio Sarri dalam aksi saingan Serie A.

Insiden Spalletti menolak untuk bersalam dengan Vitoria bakal menjadi topik paling menarik untuk dibincangkan kerana mereka menjadikan isu panas ini seolah-olah satu hal yang melucukan kerana ramai peminat yang terhibur.

Pertama peminat terhibur dengan cara bagaimana Spalletti menolak untuk bersalam dengan cara beliau menolak dianggap antara cara paling sopan pernah disaksikan.

Selain itu, reaksi yang ditunjukkan oleh Vitoria juga sangat menghibur para peminat dengan beliau menunjukkan memek muka begitu sambil melihat Spalletti berjalan menuju ke terowong.

Sumber: GMS

BACA:  '12-13 Jam Sehari Di Pusat Latihan'- Jurulatih Penuh Dedikasi Spalletti Hampir Pasti Tinggalkan Napoli