Luqman Haqim Shamsudin merupakan permata kecil dari Malaysia yang akan menjadi harapan negara. Tidak ramai pemain Malaysia boleh bertahan lama di eropah kecuali pemain ‘Malaysia’ yang dilahirkan dan dibesarkan disana.
Sebelum kisah Luqman, Malaysia mempunyai permata kecil yang bercita-cita besar mahu berada disana. Dia ialah Akmal Rizal Rakhli.
Sama seperti Luqman, Akmal merupakan bintang kecil yang dibangunkan oleh program Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Melalui projek Olimpik, Sebelum itu Akmal mendapat perhatian dari beberapa jurulatih terkenal seperti Holger Obermann dan Claude Le Roy.
Ke Eropah
Le Roy banyak membantu penyerang kelahiran Kedah ini merintis jalan ke eropah. Akmal menyertai SC Strasbourg pada usia 17 tahun dan kemudiannya dipinjamkan ke FRSC Haguenau untuk dibangunkan.
Selepas 2 musim disana nasib tidak menyebelahi Akmal apabila mengalami kecederaan hamstring yang serius ketika CS Sedan mahu menawarkan kontrak kepadanya.
“2 bulan sebelum kontrak saya tamat, saya mengalami kecederaan serius di bahagian hamstring,
“Sebelum itu saya mendapat tawaran bersama CS Sedan, pasukan yang berada dalam divisyen 1 Perancis.” Akmal bercakap di halaman rasmi Jabatan Penerangan Malaysia
Semangat dan cita-cita anak muda ini tidak putus untuk kembali ke eropah namun sekali lagi tidak bernasib baik untuk memijak bumi England.
“Pada tahun 2003 saya pernah berbincang dengan seorang ejen untuk membawa saya ke Norwich City,
“Mereka memang beriya-iya untuk membawa saya ke Norwich dan saya telah bersetuju sepenuh tapi tunggu sampai ke sudah tiada apa-apa perkembangan jadi saya terus kekal di liga Malaysia saja.”
51 jaringan domestik sebelum usia 23 tahun
Bermula dari situ Akmal meneruskan kariernya di Malaysia.
Walaupun Akmal tidak mengecapi banyak kejayaan tertinggi bersama pasukan yang disertainya namun dia mempunyai statistik yang sukar dilakukan oleh pemain muda hari ini.
Ia menunjukkan pemain ini mempunyai bakat tertinggi seperti apa yang dilihat oleh Obermann, Le Roy dan Allan Harris.
Harris merupakan ketua jurulatih Malaysia sering mengutamakan Akmal dalam panggilan antarabangsa.
Pada era Harris Malaysia masih boleh memberi sedikit saingan dalam kelayakan Piala Dunia sebelum merudum ketika era Bertalan Bisckei.
Musim pertama Akmal sebagai profesional dalam kancah saingan domestik, dia baru sahaja berusia 20 tahun.
Kedah mendapat promosi ke Liga Perdana 1 (kini Liga Super) selepas menjuarai Liga Perdana 2 (kini Liga Perdana).
Pada usia semuda itu Akmal mengumpul 18 jaringan dalam 3 pertandingan utama Malaysia.
Prestasi terbaiknya ditunjukan pada perlawanan ke-2 hingga ke-7 LP1 2002. Dia mencetak 7 gol dalam 6 perlawanan.
Akmal tidak menunggu lama untuk membuktikan dia adalah penyerang muda terbaik dimiliki pada ketika itu. Akmal mencatat hatrik peribadi pertama pada penampilan ke-10 liga.
Pada musim berikutnya Akmal merekod 2 kali lagi hatrik. Pada tahun 2004 Akmal meledak 4 jaringan dalam kempen Piala Malaysia.
Jika tidak kerana kecederaan yang dialami pada pertengahan musim 2005, jaringan Akmal mungkin lebih banyak. Sebelum usianya mencecah 23 tahun Akmal sudah mempunyai koleksi 51 gol dalam semua pertandingan.
Berikut adalah koleksi jaringannya bersama Kedah ketika berusia 20, 21, 22 dan 23. Akmal lahir pada Disember 1981 dan penutup musim 2005 pada September, 3 bulan sebelum Akmal menyambut ulang tahun kelahiran ke-23.
- 2002: 18 gol (13-4-1)
- 2003: 10 gol (7-1-2)
- 2004: 15 gol (7-1-7)
- 2005: 8 gol (6-2-0)
Siapa lagi pemain muda Malaysia yang mempunyai statistik jaringan seperti Akmal?
Baca juga
Juara Kumpulan A: Itali Bersama Rekod Kebalnya Dan Sudah Mahir Menyerang
Perkongsian Akmal kepada pemain muda
Akmal bercakap tentang mengalamannya ketika di eropah. Ia bukanlah sesuatu yang mudah bagi pemain Malaysia untuk menempatkan diri disana dan memberi beberapa tips.
“Apabila kesana (eropah) bukan sesuatu yang mudah. Faktor persekitaran, faktor kawan-kawan, faktor cuaca dan bahasa disana amat berbeza dengan apa yang saya ada di kedah,
“Faktor saiz (fizikal) dan sebagainya pada awalnya mungkin ada sedikit kesukaran tapi selepas 3 bulan saya dapat sesuaikan keadaan dan saya dapat menjaringkan banyak gol bersama Haguenau,
“Pada awalnya mereka mengaggap Malaysia ini, mereka tak tahu pun wujudnya (Malaysia) dalam kancah bola sepak,
“Kita nak dapat respect dari pemain itu memang ambik masa sikit, dengan aksi kita di padang baru mereka tahu Malaysia juga mempunyai pemain yang boleh bermain bola sepak,
“Jadi disitu saya tunjukan yang terbaik dan tunjuk kita memang ada kualiti untuk bermain. Kita tunjuk kita boleh setanding dengan pemain mereka.” tambah Akmal di sesi video Jabatan Penerangan Malaysia
Disamping itu Akmal juga berharap Luqman Hakim akan berjaya di eropah bersama kelab KV Kortrijk dan mengharap para peminat Malaysia tidak terlalu memberi tekanan kepada permata kecil negara itu.