Juara Kumpulan A: Itali Bersama Rekod Kebalnya Dan Sudah Mahir Menyerang

Kejohanan Piala Eropah bakal memasuki pusingan kalah mati. 3 pasukan layak dengan mantap dan bergaya apabila menang dalam kesemua 3 perlawanan peringkat kumpulan.

Itali pasukan pertama melakukannya diikuti gandingan 2B iaitu Belanda dan Belgium. Hanya 3 pasukan ini berjaya melakukan kemenangan 100%.

Sepanyol, Jerman, Portugal dan Republik Czech sudah tercicir mata apatah lagi England.

Apa yang menarik tentang Itali sepanjang kejohanan kali ini?

Rekod tanpa kalah dan tanpa bolos

Itali tampil pada kejohanan kali ini sarat dengan rekod yang dilakarkannya. Rekod tidak kalah sepanjang 30 perlawanan dan rekod tidak bolos pada 11 perlawanan terakhirnya.

Secara tidak langsung menjadikan skuad Roberto Mancini antara pasukan terkuat untuk mencabar kejuaraan.

Federazione Italiana Giuoco Calcio (FIGC) mengambil masa selama 6 bulan untuk mencari pengganti Gian Piero Ventura.

Itali mengalami detik hitam dibawah pengurus itu apabila gagal ke pusingan akhir Piala Dunia 2018, kali pertama sejak 1958.

Selepas Mancini mengambil alih Itali, pasukan ini berubah 360 darjah celsius -dari gagal ke kejohanan besar kepada pasukan tidak kalah beberapa tahun sebelum bermain dalam kejohanan besar.

Rekod tersebut masih berjalan, Itali dalam landasan melebarkan rekod tanpa kalah untuk kali ke-31 apabila bertemu menentang Austria pada pusingan kalah mati.

Austria juga bakal menjadi pasukan ke-12 untuk cuba membolosi gawang Itali yang dijaga dengan kemah keming rapak jik tak gogek sikit habuk oleh Gianluigi Donnarumma.

Baca juga

Juara Kumpulan D: England Terapkan ‘Attack wins you games, defense wins you tittles’?

Itali tetiba pandai main menyerang

Hampir 100 tahun Itali cukup dikenali sebagai pasukan yang cukup mahir bertahan, ia diiktiraf oleh semua negara yang terdapat di dalam dunia yang fana ini.

Secara tiba-tiba, sejak 2-3 tahun kebelakangan ini Itali pandai menyerang. Sesuatu yang agak luar biasa dan masih belum diketahui puncanya. Hanya Mancini sahaja yang tahu.

Itali mempunyai purata jaringan 3 gol per perlawanan sejak sesi kelayakan.

Anak buah Mancini menunjukkan kemampuan itu kepada dunia pada perlawanan pembukaan kejohanan, melakukan 25 percubaan ke gawang Turki, 20 darinya dari permainan terbuka.

Angka tersebut merupakan paling tinggi yang direkodkan dalam 1 perlawanan.

Itali kekal pandai bertahan

Itali tidak mengorbankan tradisi nenek moyangnya, pasukan yang bijak bertahan. Ketika menewaskan Wales pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, majoriti permainan Itali adalah menguasai bola di kawasan tengah dan bertahan.

Namun tetap unggul dan bergaya meraih 3 mata.

Begitu juga ketika menentang Switzerland, Itali seperti kacang mencetak 3 jaringan walaupun pada separuh masa ke-2 mereka tidak menerapkan permainan secara menyerang.

Barisan simpanan yang mantap lagi padu

Selepas mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati seawal 2 perlawanan Itali hanya membariskan pemain ke-2 menentang Wales.

7 pemain utamanya direhatkan bagi memberi peluang kepada Emerson, Alessandro Bastoni, Rafael Toloi, Matteo Pessina, Federico Chiesa, Federico Bernardeschi dan Andrea Bellotti.

Mancini juga memberi peluang kepada jeneral padangnya Marco Verratti mendapat match fitness selepas pulih dari kecederaan.

Kesemuanya menampilkan aksi setaraf dengan barisan utama malah Manuel Locatelli dan Matteo Pessina menjadi penjaring gol kemenangan pasukan pada 2 perlawanan terakhir.

Ia cukup melegakan Mancini tetapi bakal memeningkan kepalanya siapakah yang harus bermula dalam kesebelasan utama. Verratti atau Locatelli, dimana nak letak Pessina?

Penyerang yang mempunyai ‘kaki’

Untuk menang dalam perlawanan pasukan perlukan penyerang yang reti menjaringkan gol. Ciro Immobille telah membuka akaun seawal perlawanan pertama.

Walaupun peminat tidak melihat ia satu perkara penting kerana ada pemain lain lagi, tetapi apa yang berlaku dalam kem England, Sepanyol dan Perancis agak berbeza.

Harry Kane datang dengan reputasi penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris 2020/21 dan penjaring terbanyak Piala Dunia 2018. Tetapi itu tidak berguna jika tidak menjaringkan gol di Piala Eropah.

Karim Benzema juga mengalami masalah sama dan mungkin dihumban ke kerusi simpanan sementara itu Alvaro Morata dihina kerana banyak melepaskan peluang yang sepatutnya boleh gol

Rumusan

Selepas peringkat kumpulan hampir melabuhkan tirai, Itali merupakan pasukan terbaik berbanding 6 pasukan besar lain.

Pasukan ini mempunyai rekod cemerlang, taktikal seimbang bertahan-menyerang dan mepunyai barisan simpanan yang sudah diuji sepenuhnya.

Betul, rekod tidak akan menjamin pasukan ini menjadi juara tetapi Itali sudah diletakan pasukan paling kuat untuk menjadi juara.

BACA:  North Macedonia Menendang Itali Keluar Dari Piala Dunia 2022