Aksi Dungu Van Dijk Lawan Itali Dicemuh Warganet

Aksi dungu pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk ketika berhadapan Itali sehingga membenarkan Federico Chiesa menjaringkan gol ketiga Itali dicemuh warganet.

Malah bek tengah Liverpool itu kini dianggap sebagai punca kekalahan Belanda kepada Itali dalam perlawanan untuk  merebut tempat ketiga pertandingan UEFA Nations League 2022/23.

Dalam perlawanan tersebut skuad Azzuri menang 3-2 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium De Grolsc Veste.

Beraksi di tempat sendiri di hadapan puluhan ribuan penyokong sendiri bagaimanapun gagal membantu Oranje dan keputusan tersebut hanya membenarkan kritikan terhadap skuad kendalian Ronald Koeman, khususnya kepada Van Dijk.

Pemain pertahanan Liverpool itu mengetuai bahagian pertahanan Belanda yang sangat rapuh setiap kali menerima serangan balas pantas lawan.

Aksi terburuk pemain yang pernah dicanang layak bergelar pemenang Ballon d’Or itu jelas ketara pada minit ke-72 perlawanan apabila gagal menghalang Chiesa.

Itali memulakan serangan balas selepas Federico Dimarco berjaya mencuri bola daripada pemain sayap Belanda, Denzel Dumfries yang juga merupakan rakan sepasukan di Inter Milan.

Chiesa yang menerima umpanan Dimarco cemerlang melarikan bola di baghagian sisi kanan pertahanan Belanda.

Pemain sayap Juventus itu tidak menghadapi masalah memasuki kawasan penalti Belanda ketika situasi satu lawan satu dengan Van Dijk.

Pada ketika pemain pertahanan terbaik dunia itu sepatutnya menghimpit Chiesa untuk menutup ruang, Van Dijk melakukan perkara sebaliknya apabila memberi ruang mudah untuk pemain sayap itu melakukan sesuka hati.

Yang membuatkan Van Dijk dikecam kerana pemain itu tidak ada usaha mendekatkan dirinya dengan Chiesa. Apatah lagi untuk melakukan hadangan atau tackle.

Dengan hanya satu step-over mudah, Chiesa kemudiannya memperolehi ruang untuk melepaskan rembatan sekaligus menewaskan penjaga gol, Justin Bijlow.

Sebelum itu Belanda dibocori oleh jaringan Dimarco seawal minit keenam dan jaringan Davide Frattesi pada minit ke-20.

Oranhe kemudiannya membalas melalui jaringan Steven Bergwijn pada minit ke-68 dan Gini Wijnaldum pada minit ke-90.

Melalui temubual selepas perlawanan Van Dijk mengakui prestasi dirinya dan pasukan menjadi punca kelemahan benteng pertahanan.

Babak pertama sungguh buruk. Hal ini tak boleh terjadi. Anda sepatutnya bermain untuk penghormatan,” ujarnya kepada NOS.

“Saya merasa malu dengan cara kami bermain di babak pertama.

“Kami semua harus melihat diri di depan cermin. Keadaan sepatutnya berubah pada babak kedua.

“Kami harus melihat perlawanan ini sebagai pembelajaran,” kata Van Dijk lagi.

Belanda melalui prestasi yang buruk sejak diambil alih oleh Ronald Koeman selepas Piala Dunia 2022 yang lalu.

Daripada 4 perlawanan yang lalu, pasukan itu tewas 3 kali dan hanya menang sekali ke atas Gilbraltar dengan jaringan 3-0.

Kecenderungan pasukan itu dibolosi turut menjadi sorotan apabila tewas kepada Perancis (0-4), Croatia (2-4), dan kini Itali (2-3).

Ini bermakna Belanda telah dibolosi 11 kali daripada 4 perlawanan dan ia adalah antara rekod terburuk pernah dimiliki mereka.

Selepas ini Belanda akan memberikan tumpuan kepada pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Yunani dan Republik Ireland pada September akan datang.

BACA:  North Macedonia Menendang Itali Keluar Dari Piala Dunia 2022