North Macedonia Menendang Itali Keluar Dari Piala Dunia 2022

Juara Eropah yang merangkul gelaran EURO 2020 pada bulan Julai yang lalu, Itali hanya mampu berputih mata selepas ditendang keluar oleh North Macedonia dipusingan play-off kelayakan Piala Dunia 2022.

Maka dengan ini disahkan tiada kelibat Itali untuk Piala Dunia 2022, Itali berada dalam Path C di pusingan play-off bersama Portugal, Turki dan North Macedonia.

Ketika undian play-off ini dibuat, ternyata Portugal atau Itali yang menjadi pilihan untuk bertemu di perlawanan akhir memandang lawan yang dihadapi adalah lebih lemah.

Namun North Macedonia melakukan kejutan dengan terus menamatkan impian Itali dengan penuh dramatik sekali apabila gol kemenangan dijaringkan pada minit akhir perlawanan.

Kegagalan Itali mara secara automatik adalah kerana kesilapan sendiri di mana Itali hanya sekadar seri dalam dua perlawanan terakhir ketika menentang Switzerland dan Nothern Ireland je kot.

Itali menguasai perlawanan sepenuhnya dan apa yang kurang adalah sentuhan penyudah selepas tempoh 90 minit permainan dengan rentetan peluang demi peluang.

Aleksandar Trajkovski menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 untuk menyingkirkan pasukan Roberto Mancini daripada kelayakan dan meletakkan Macedonia dalam perlawanan akhir bertemu Portugal minggu depan.

Wisel penamat membawa suasana yang sangat luar biasa untuk pemain pelawat, ketika mereka mengorak langkah besar ke final pertama mereka dalam kejohanan besar.

Italy secara keseluruhannya telah melakukan 32 percubaan dalam perlawanan ini, dengan menguasai 66 peratus permainan tetapi hanya lima daripadanya sahaja yang tepat ke sasaran namun tiada jaringan terhasil.

Pada minit ke-92, dengan hanya tiga minit masa kecederaan berbaki dan permainan menuju ke masa tambahan, rembatan cemerlang, gemilang dan terbilang Trajkovski dari luar kotak masuk ke sudut bawah.

Setelah memenangi Piala Dunia pada tahun 2006, rekod Piala Dunia Itali dalam tempoh 16 tahun selepas itu agak teruk dan kurang memberangsangkan. Lebih banyak surut dari pasang.

Itali telah gagal melepasi peringkat kumpulan pada Piala Dunia 2010 dan 2014, walaupun menewaskan England dalam perlawanan pembukaan mereka.

Juara dunia empat kali itu tidak berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 yang berlangsung di Rusia empat tahun lalu, juga selepas tewas di pusingan play-off kepada Sweden.

Setelah merangkul kejuaraan Eropah hanya sembilan bulan lalu, Roberto Mancini, pemainnya dan seluruh negara menjangkakan untuk layak ke Qatar, sebaliknya mereka akan melalui musim sejuk dengan kekecewaan.

Sejak dibawah kendalian Roberto Mancini, Itali sangat cemerlang dan bangkit dari kecewa gagal ke Piala Dunia 2018 dengan rekod kemenangan tanpa kalah sehingga muncul juara EURO 2020.

Gian Piero Ventura telah dipecat selepas gagal ke Piala Dunia dan adakah Roberto Mancini akan menerima nasib yang sama.

Walaupun tanpa Leonardo Bonucci dan Federico Chiesa sepatutnya tiada masalah untuk Itali menewaskan pasukan kerdil seperti North Macedonia.

Portugal menanti North Macedonia dalam perlawanan akhir Play-off Path C. Adakah pasukan kerdil ini akan mencipta kejutan lagi dan membuatkan Cristiano Ronaldo menangis?

Kejayaan North Macedonia menewaskan Itali ini boleh dianggap sebagai kisah dongeng dan membuktikan keindahan bola sepak yang digemari ramai dulu, kini dan selamanya.

Portugal tidak berdepan masalah untuk mencapai kemenangan yang dijangkakan selepas menewaskan Turki dengan tiga jaringan berbalas satu.

Otavio dan sundulan tajam Diogo Jota meletakkan Portugal selesa mendahului dua gol untuk rehat masa pertama walaupun Turki memberi cabaran hebat.

Burak Yilmaz merapatkan jurang pada minit ke-66 namun telah mensia-siakan peluang untuk menyamakan kedudukan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-85.

Matheus Luiz masuk dari bangku simpanan telah menjaringkan gol ketiga Portugal seminit sebelum masa kecederaan tamat untuk terus menghidupkan peluang Portugal ke Piala Dunia.

BACA:ย  Individu Ini Meneka Tepat Keputusan Turki 0-3 Itali Temasuk Senarai Penjaring