Steven Gerrard Puji Keputusan Bijak Barca Melantik Xavi Sebagai Pengurus Kelab

Steven Gerrard telah memberikan pujian yang menggunung kepada Barcelona atas keputusan mereka melantik Xavi Hernandez menjadi pengurus kelab.

Beliau turut memberikan pujian menggunung kepada Xavi Hernandez kerana berjaya menaikkan semula Barca yang dilihat sangat bergelut sebelum ketibaannya.

Gerrard kembali ke Anfield kemarin untuk memimpin skuad legenda The Reds, bertemu legenda Barcelona dalam satu perlawanan amal.

Beliau berjaya menjaringkan gol ketika aksi kekalahan 2-1 mereka di tangan Barcelona itu, dan bercakap selepas tamat perlawanan, pengurus Aston Villa itu memuji Barcelona kerana melantik Xavi sebagai pengurus kelab.

Selepas kariernya di Qatar, ikon bola sepak Barcelona itu kembali ke Nou Camp untuk mengambil alih kelab dari Ronald Koeman.

Xavi Hernandez sepertinya berjaya membawa Barcelona untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni selepas mereka sebelum ini nampak seperti tak ada arah tuju.

Beliau berjaya memimpin Barcelona untuk membelasah Real Madrid 4-0 dalam aksi terbaru El Clasico sebelum rehat antarabangsa ini.

Steven Gerrard percaya yang pengurus berusia 42 tahun itu mempunyai DNA Barcelona yang tinggi dalam dirinya.

“Saya rasa pilihan untuk melantik Xavi adalah pilihan yang sangat bijak dari Barcelona. Dia ada DNA Barcelona dalam diri dia.”

Jelas Steven Gerrard.

“Dia tahu cara yang semua orang di Barca mahu lihat dan selepas beberapa tahun yang sukar, ia sepertinya mereka sudah kembali.”

Gerrard berjaya mendapatkan Philippe Coutinho dari Barcelona menerusi perjanjian pinjaman pada Januari lalu dan bekas bintang Liverpool itu berjaya mempamerkan aksi yang menakjubkan bersama Aston Villa.

Pemain kebangsaan Brazil itu berjaya menjaringkan gol penting dan turut kerap mencatatkan assists untuk bantu Aston Villa mengutip mata-mata penting.

Coutinho nampak sangat gembira beraksi bersama Aston Villa dan Gerrard sendiri juga jelas sekali berpuas hati dengan sumbangan bekas rakan sepasukannya itu.

Xavi sendiri sedar dengan bakat yang dimiliki oleh pemain berusia 29 tahun itu, namun beliau merasakan Coutinho perlu perbaiki mentaliti beliau untuk lebih berkesan.

Bercakap pada November lalu, Xavi Hernandez menyatakan bahawa:

“Coutinho merupakan seseorang yang boleh bermain di pelbagai posisi dan dia boleh jadi individu penting untuk kami.”

“Dia perlu cari diri dia sendiri dan pulihkan keyakinan dia. Jika dia mampu, dia akan mampu untuk lebih membantu kami. Dia ada bakat terpendam.”

“Ia lebih kepada psychological berbanding hal lain kerana dia memang berbakat.”

Xavi jelas sekali berhak untuk dipuji atas apa yang beliau lakukan di Nou Camp pada ketika ini.

Beliau berjaya memimpin kelab untuk menjadi antara pasukan yang digeruni selepas mereka sejak beberapa musim kebelakangan ini hanyalah sekadar pasukan biasa-biasa sahaja.

Xavi sudah berjaya membawa Barcelona ke kelompok tiga teratas dalam carta saingan liga, dan turut berada di peringkat suku akhir saingan Europa League.

Untuk memintas Real Madrid dan bergelar Juara La Liga mungkin sedikit sukar untuk dilakukan, namun Xavi setidak-tidaknya akan mampu hadiahkan satu Piala untuk Barca musim ini dalam saingan Europa League.

Sangat menarik untuk menyaksikan bagaimana beliau akan memulakan kempen musim baharu nanti dan jelas sekali para penyokong sangat berharap agar beliau mampu untuk bantu kelab kembali menjulang gelaran La Liga.

Namun sebelum menanti hal itu berlaku, sudah tentu para peminat mengharap agar Xavi akan mampu memimpin anak-anak buahnya untuk membawa pulang gelaran Europa League pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Inilah Yang Dilakukan Xavi Dalam Tempoh 134 Hari Ubah Nasib Barcelona