“Sudah Ku Duga”- Teori Konspirasi Arteta Pergunakan Guardiola Untuk Dapatkan Rice

Dakwaan seorang penganalisis bola sepak bahawa bidaan Manchester City untuk Declan Rice sebenarnya adalah palsu dan ia dilakukan hanya untuk membantu Mikel Arteta mendapatkan pemain itu kini menjadi perdebatan hangat peminat bola sepak di Britain.

Teori konspirasi tersebut pertama kali didedahkan oleh bekas Eni Aluko, bekas pemain wanita Chelsea dan Juventus dan skuad kebangsaan England.

Teori tersebut mendapat pelbagai maklum balas dan setelah perpindahan Rice ke Arsenal dimuktamadkan, Aluko kini percaya teori yang didedahkannya sememangnya benar.

Menurut teori itu, City sebenarnya tidak pernah berminat untuk mendapatkan Rice. Malah Aluko percaya bidaan £90 juta oleh City sebenarnya dilakukan selepas Arteta merayu kepada Pep Guardiola untuk berbuat demikian.

Sebelum bidaan oleh City, Arsenal sendiri menyaksikan dua bidaan daripada mereka ditolak oleh West Ham.

“Saya berpendapat ada banyak perkara aneh berlaku di sini,” kata beliau.

“Saya pernah bertugas sebagai Pengarah Sukan dan pernah melakukan perkara sama secara kerap.

“Saya pernah menghubungi sebuah kelab, kelab besar dan saya berkata:”boleh anda meletakkan bidaan”, dan situasi itu akan memaksa pemilik kelab saya untuk menambahkan jumlah bidaan.”

Di dalam kes Declan Rice, Aluko percaya Arteta mempergunakan bidaan daripada Man City untuk memaksa pihak pengurusan tertinggi Arsenal menambah dana atau nilai bidaan untuk memenuhi permintaan West Ham.

“Saya tidak berpendapat Man City sebenarnya mahukan Declan Rice. Saya berpendapat Arteta telah menghubungi Pep [Guardiola] dan berkata:”Dengar sini, Arsenal akan meningkatkan nilai bidaan jika anda [City] meletakkan bidaan dengan jumlah lebih tinggi. Ini akan memaksa pemilik [Arsenal].”

Ditanya mengapa Arteta perlu berbuat demikian, Aluko menambah: “Untuk mempercepatkan proses dan melengkapkan perpindahan itu.”

“Sangat jelas West Ham menuntut jumlah tertentu untuk melepaskan Rice kepada Arsenal, dan itulah sebabnya ada bidaan susulan dilakukan [sebaik sahaja City meletakkan harga].

“Pada saya sangat jelas Man City membantu Arsenal. Benda begini sudah biasa dan sering saya lakukan.”

Setelah bersara sebagai pemain, Aluko menyertai Aston Villa sebagai pengarah skuad wanita kelab itu sebelum ke Amerika Syarikat sebagai Pengarah Sukan Angel City FC.

Kini Aluko sering diundang untuk menyertai podcast media di Britain dan bertindak sebagai penganalisis bola sepak.

BACA:  Unai Emery: Ada Pemain Perlu Meninggalkan Arsenal