Syaitan Merah Ucapkan Selamat Tinggal Kepada Zlatan Ibrahimovic

Penyerang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic, berkemungkinan besar terpaksa berehat daripada bola sepak selama 12 bulan, selepas mengalami kerosakan ligamen lutut setelah terjatuh dalam perlawanan menentang kelab Beligum, Anderlecht.

Tempoh yang lama itu menyaksikan kontrak Zlatan selama 12 bulan bermula bulan Julai tahun lalu mungkin tidak akan disambung dan ini bermakna, dewa Kota Manchester ini tidak akan lagi bersama kelab Syaitan Merah ini pada musim hadapan.

Zlatan cukup cemerlang pada musim ini dengan menjaringkan 28 gol dalam kesemua pertandingan dan dia juga telah menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan akhir Piala EFL pada bulan Februai sekaligus memberikan piala yang pertama buat Jose Mourinho bersama Manchester United.

Ketiadaannya akan membuka kembali pintu kepada kapten yang telah lama berehat panjang di bangku simpanan, Wayne Rooney serta pemain muda yang semakin meningkat naik, Marcus Rashford.

Mourinho walaubagaimanapun masih lagi mahu mengekalkan penyerang Sweden ini walaupun dia tidak lagi akan diturunkan sekerap musim ini, memandangkan Zlatan mempunyai pengaruh yang cukup besar di bilik persalinan United.

Namun, Zlatan dikatakan sudah memasang niat untuk beraksi di Major League Soccer selepas pulih daripada kecederaan, dan Los Angeles FC – sebuah francais baharu dalam MLS dan pemiliknya bersedia menjadikan Zlatan sebagai pemain marquee mereka pada musim hadapan yang akan bermula pada Mac 2018.

Zlatan ketika terjatuh.

Memandangkan usianya sudah pun senja, sukar untuk menyaksikan Zlatan kembali cergas bermain seperti biasa, namun pemilik hidung tajam ini telah pun berjumpa dengan doktor pakar bedah lutut di Pittsburgh, Amerika Syarikat, Dr. Freddie H Fu – doktor yang telah menjalankan lebih 6000 pembedahan lutut dan dikatakan mempunyai teknik yang istimewa.

Segala perbelanjaan perubatan Zlatan bakal ditanggung Manchester United. Bagus kelab Syaitan Merah ni, pemain cedera dia bayar semua. Kalau sesetengah pasukan di Liga Malaysia ni mesti buat tak tahu je.

BACA:  Mourinho: Ini Musim Terakhir Ibrahimovic Bersama Manchester United