“Tak Ada Keyakinan Diri” – Komen Jujur McTominay Selepas Kekalahan Bertemu Arsenal Mencuri Perhatian Peminat

Scott McTominay telah memberikan komen yang sangat jujur tentang situasi terkini Manchester United selepas berdepan dua kekalahan memalukan secara berturut-turut.

Bercakap selepas tamat aksi kekalahan bertemu Arsenal malam semalam, McTominay mendedahkan pandangan beliau dan ia jelas membuktikan yang beliau kini sedang benar-benar kecewa.

Ia merupakan satu lagi perlawanan yang mahu segera dilupakan oleh skuad Manchester United dan penyokong mereka selepas dibelasah oleh Liverpool kemarin dan menjadi mangsa Arsenal malam semalam.

Nuno Tavares, Bukayo Saka dan Granit Xhaka berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol dalam perlawanan bertemu United, seterusnya membantu Gunners mengaibkan pasukan pelawat dengan keputusan 3-1.

Cristiano Ronaldo yang sentiasa menjadi penyelamat maruah United itu berjaya menjaringkan satu-satunya gol mereka dalam perlawanan pada malam semalam.

Arsenal terlebih dahulu mendahului perlawanan dengan keputusan 2-0 sebelum Ronaldo mengubah kedudukan menjadi 2-1, seterusnya menghidupkan peluang mereka untuk melakukan comeback.

Walau bagaimanapun, bukan United yang berjaya lakukan comeback, sebaliknya pasukan tuan rumah yang berjaya menambah jaringan pada aksi babak kedua permainan.

Selepas wisel penamat dibunyikan, McTominay yang ketika itu nampak sedikit beremosi telah mendedahkan situasi terkini Manchester United.

Beliau turut mendedahkan tentang bagaimana para pemain hilang keyakinan diri dan beliau turut bercakap tentang pengurus baru, Erik Ten Hag ketika sesi temu bual bersama Des Kelly itu.

“Gol akan mengubah perlawanan bola sepak, kami gagal menyumbat bola ke dalam gawang gol dan mereka berjaya lakukan itu.”

Jelas Scott McTominay.

“Kami dominasi permainan pada awal 20/25 minit aksi babak pertama dan mereka bermain di sudut lain dan menjaringkan gol. Memang terdapat begitu banyak masalah dari segi pemain, staff dan semua pimpinan teratas.”

“Kita perlu beri tumpuan untuk apa yang berlaku di atas padang. Ia harga diri ketika kamu berada di atas padang. Kami tak perlu risau tentang siapa kata apa-apa. Ia satu kebanggaan ketika kamu masuk ke padang dan berikan yang terbaik. Semua orang sama.”

McTominay turut menambah lagi:

“Memang terdapat terlalu banyak hal yang berlaku pada ketika ini, jangan salah faham. Bagi kami, ketika kami kembali ke bilik persalinan, ia umpama pulang ke rumah dan tengok diri sendiri di cermin.”

“Kamu tak boleh pulang ke rumah dan berpuas hati selepas bagi tiga gol kepada Arsenal dengan kita sepatutnya berhak untuk menang, itu bukan cara sebenar bola sepak dimainkan.”

“Bagi saya, masalah kepercayaan diri dan kekurangan keyakinan kami, adalah hal yang kamu semua boleh nampak sejak dua bulan lalu.”

“Kita ada permainan yang separuh bagus hari ini, tapi berbalik kepada tadi, kepercayaan, ia memang hal paling besar dalam dunia bola sepak, ia tak boleh datang hanya untuk seketika.”

Topik tentang Erik Ten Hag kemudiannya turut dibincangkan ketika temu bual itu dengan beliau menyatakan:

“Ketika ada pengurus baru datang, kita kena bersedia untuk segalanya.”

Jelas McTominay.

“Kita perlu beri tumpuan pada kerja kita. Kita banggakan dia dan kemudian kita boleh bina segalanya dari situ.”

Penyampai BT Sport, Des Kelly kemudiannya bertanya kepada McTominay tentang apa yang ada dalam kepala Ten Hag andai beliau menonton aksi bertemu Arsenal.

“Jelas sekali ia sangat sukar untuk saya jawab kerana saya bermain.”

Jelas pemain midfield itu.

“Kamu dah memang kalah dalam perlawanan itu. Saya tak mahu cakap tentang itu. Dia akan lihat musim hadapan dari segi bagaimana dia boleh perbaiki dan apa boleh kami lakukan, apa pemain boleh bawa dan bagaimana mereka boleh kuatkan skuad.”

“Bagi diri saya sendiri, ia sangat sukar untuk bercakap kerana kamu sedang beremosi dan ia kembali kepada asas, kita tak melakukan sesuatu dengan cukup baik dalam perlawanan besar kita baru-baru ini.”

Kejayaan Arsenal menewaskan Manchester United menyebabkan skuad setan merah itu semakin jauh tercicir dari kelompok empat teratas.

Kini hanya tinggal Arsenal dan Tottenham Hotspur sahaja yang sedang bersaing rapat untuk mengakhiri saingan musim ini di kedudukan empat teratas.

Kedua-dua pasukan selepas ini akan bertemu dan aksi derby kali ini sememangnya sangat menarik untuk disaksikan kerana ia juga bakal jadi penentu pasukan mana yang bakal layak ke saingan Champions League musim hadapan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Mourinho Tidak Gembira Dengan Persembahan Pemainnya Ketika United Menumpaskan Brighton