Tanpa Salah Dan Mane, Jentera Serangan Liverpool Luar Biasa ‘Barai’

Boleh dikatakan hampir 90% penyokong Liverpool sendiri percaya yang skuad The Reds sebenarnya hambar tanpa kehadiran Mo Salah dan Sadio Mane.

Dua nadi penting dalam sistem serangan Liverpool itu pada ketika ini sedang berbakti kepada negara masing-masing di kejohanan AFCON.

Kedua-dua mereka berkemungkinan tidak akan membuat sebarang penampilan bersama Liverpool sehingga bulan hadapan seandainya Egypt dan Senegal mara hingga ke aksi perlawanan akhir.

Ketiadaan kedua-dua pemain ini jelas memberi kesan buruk kepada skuad Liverpool, ketika turun beraksi bertemu Arsenal dalam aksi peringkat separuh akhir pertama saingan Carabao Cup.

Perlawanan yang sangat hambar itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dan ia bukanlah satu keputusan yang positif untuk skuad The Reds catatkan di Anfield.

Pasukan pelawat ada masalah kecederaan dan ada pemain yang terpaksa menjalani sesi kuarantin, sementara Granit Xhaka pula telah dilayangkan dengan layangan kad merah pada aksi babak pertama kerana mengasari Diogo Jota.

Walau Arsenal sudah bermain dengan 10 pemain dan tidak memiliki skuad terbaik mereka, namun Liverpool tetap gagal untuk memanfaatkan kesempatan tersebut.

Jentera serangan Liverpool sangat tumpul dan tidak keterlaluan untuk menganggap mereka langsung tidak berfungsi dengan baik untuk bantu The Reds mencari gol.

Kebanyakan peminat sedar yang ketumpulan jentera serangan Liverpool adalah kerana mereka kehilangan khidmat Mane dan Salah.

Perlawanan yang sepatutnya menjadi milik mereka gagal dimanfaatkan oleh skuad Liverpool, dan hasilnya mereka hanya mampu mencatatkan keputusan seri sahaja di halaman sendiri.

Peminat di media sosial turut bersependapat yang jentera serangan Liverpool memang luar biasa barai tanpa Salah dan Mane.

“Pimpinan kelab kata kita tak perlukan pemain baru, tapi bila kita hilang saja Salah dan Mane, jentera serangan kita terus huru-hara.”

“Skuad Liverpool sepertinya tiada apa-apa tanpa Salah dan Mane. Mereka bergelut mahu mencari gol, saya tak fikir ini satu hal yang positif.”

“Kalau jumpa Arsenal yang skuad tak lengkap pun kita huru-hara bayangkan kalau lawan pasukan yang lebih berkualiti. Tapi mereka masih tetap nak simpan duit dan tak nak beli pemain baru.”

“Tanpa Salah dan Mane saya rasa Liverpool nak dapatkan 20 gol satu musim pun susah.”

“Jota yang ada kemampuan untuk menjaringkan gol pun hilang kualiti dia bila pemain macam Mane dan Salah tiada di atas padang.”

Penjaring gol penyamaan Liverpool ketika aksi bertemu Leicester sebelum ini, Takumi Minamino telah diturunkan sebagai pemain utama dalam perlawanan ini.

Bintang Jepun itu digandingkan bersama Diogo Jota dan Roberto Firmino di posisi serangan tiga serangkai.

Namun beliau nampak sangat huru-hara dalam perlawanan ini, dan turut terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol walau gawang gol sudah terbuka luas untuknya.

Penjaga gol Arsenal, Aaron Ramsdale tak perlu bekerja terlalu keras dalam perlawanan ini, dengan beliau hanya perlu melakukan satu sahaja save yang betul-betul sukar.

Satu-satunya save yang beliau lakukan dalam perlawanan ini adalah ketika beliau menafikan percubaa di minit-minit akhir oleh pemain gantian, Curtis Jones.

Bergantung kepada jauh mana perginya negara masing-masing di kejohanan AFCON nanti, Liverpool berkemungkinan akan hilang Salah dan Mane untuk tempoh satu bulan.

Perlawanan mereka selepas ini tidak begitu sukar, namun melihat kepada ketumpulan jentera serangan mereka, sepertinya ia masalah besar untuk The Reds.

Sangat jelas yang tahap persembahan Liverpool merosot teruk ketika mereka bermain tanpa dua pemain penyerang utama mereka itu.

Liverpool selepas ini akan turun beraksi bertemu Brentford dalam saingan Premier League di bumi Anfield, sebelum mereka bakal ke Emirates untuk aksi leg kedua saingan Carabao Cup.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kemudiannya akan turun beraksi dalam saingan Premier League bertemu Crystal Palace, dan kemudian bertemu Cardiff City dalam saingan FA Cup.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Aksi Mo Salah Bertemu City Membuktikan Beliau Yang Terhebat Dalam Dunia Bola Sepak Hari Ini