Teknik Latihan Bola Golf Yang Jadikan Bintang Baharu Liverpool Pemain Genius

Ada sebab mengapa bintang baharu Liverpool Dominik Szoboszlai dianggap seorang pemain yang genius.

Ini mempunyai kaitan dengan teknik latihan menggunakan bola golf menggunakan tangan yang menjadi amalan pemain itu, dan ia mempunyai penjelasan logik di sebaliknya.

Szoboszlai bakal menjadi pemain kedua yang didatangkan Liverpool ke Anfield pada jendela perpindahan musim panas ini selepas berjaya mengikat Alexis Mac Allister daripada Brighton.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu sah akan menjadi pemain Liverpool selepas melengkapkan pemeriksaan kesihatan dalam masa terdekat setelah kelab Merseyside itu mengaktifkan klausa pelepasan bernilai €70 juta pada lewat tengah malam tadi.

Walaupun harganya dilihat mahal perjudian tersebut mungkin akan menjadi pelaburan terpenting buat Liverpool jika mampu muncul juara liga buat kali kedua dalam sejarah moden bola sepak Inggeris.

Apa yang menarik mengenai pemain ini adalah mengenai statistik yang dihasilkannya pada musim lalu

Selain daripada terlibat dalam 28 gol untuk Leipzig sejak dua musim lalu (kiran dua musim terus, baru nampak banyak, baru gempak), statistik yang dikongsikan oleh FBREF menunjukkan pemain itu adalah pemain  ke-10 di Eropah yang terlibat dengan aksi sehingga menghasilkan percubaan.

Untuk setiap 90 minit perlawanan, aksi Szoboszlai akan menghasilkan 5.22 percubaan ke arah gawang lawan.

Sebagai perbandingan, Messi merekodkan 6.25  percubaan, dan Kevin de Bruyne pula 6.55 percubaan, meletakkan Szoboszlai sebagai antara pemain elit di Eropah.

Selain daripada memiliki statistik yang meyakinkan, Liverpool juga sebenarnya mengikat seorang pemain yang memiliki teknik latihan yang unik untuk menjadikannya seorang pemain luar biasa.

Begini kisahnya. Perkara ini pertama kali didedahkan oleh media Hungary, Telex pada Oktober 2022 yang lalu.

Ayah Szoboszlai dan seorang lagi pemain Hungary, Bolla Bendeguz berpakat untuk membuka sebuah pusat latihan dan akademi bola sepak yang dinamakan Fonix.

Di situ ayah Szoboszlai mencipta satu kaedah latihan untuk anaknya, dengan memberikan dua biji bola golf dipegang dengan kedua-dua belah tangan.

Tujuan latihan adalah untuk mencari penyelesaian teknikal apabila pemain tengah itu tidak menerima bola golf pada situasi yang ideal. Dengan kata lain pada situasi sukar.

Artikel tersebut menjelaskan: “Bola golf memenuhi tujuan setiap latihan, bahawa selepas menerima pada situasi sukar, anda tidak harus menggunakan tangan anda, tidak menarik pemain lawan kembali dalam perebutan, tetapi berusaha untuk penyelesaian teknikal yang sempurna.

“Jika dinilai hasil akhirnya, kaedah itu nyata membuahkan hasil.

Sebenarnya agak sukar untuk memahami kaedah tersebut secara teori melainkan anda adalah seorang pemain genius seperti Szoboszlai.

Namun kaedah latihan tersebut sudah terbukti berjaya menjadikan pemain tengah berusia 22 tahun itu menjadi seorang dirinya salah seorang pemain dengan kualiti teknikal yang tinggi.

Sudah tentu penyokong Liverpool akan berharap Szoboszlai mampu mengembangkan potensinya di bawah bimbingan Jurgen Klopp di Anfield.

Jika ini berjaya direalisasikan, tidak mustahil Liverpool akan menuai hasil yang lumayan selepas ini.

BACA:  Seorang Peminat Liverpool Buat Dakwaan Mengejutkan Mengenai 'Tuah' Manchester City