Bekas pemain Argentina dan Manchester United, Carlos Tevez mendedahkan perbezaan paling ketara di antara dua pemain terbaik dunia masa kini iaitu Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.
Ramai menganggap Messi dan Ronaldo sebagai pemain terbaik sepanjang zaman selepas kedua-dua pemain mendominasi dan memenangi pelbagai anugerah individu mahupun berpasukan. Selama bertahun lamanya, Messi dan Ronaldo berada di kemuncak dunia dan tiada pemain yang mampu menyaingi konsistensi yang telah ditunjukkan mereka berdua.
Ronaldo mungkin boleh dianggap sebagai ‘King of Europe’. Beliau telah memenangi 5 Liga Juara-Juara Eropah ketika beraksi dengan Manchester United dan Real Madrid. Beliau juga memenangi pelbagai piala di peringkat domestik dan menamatkan kariernya bersama Real Madrid sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab tersebut.
Berlainan dengan Ronaldo, Messi pula seorang yang pemain yang setia dan hanya bermain untuk Barcelona sehingga ke hari ini. Sama seperti Ronaldo, pemain berusia 31 tahun ini juga memenangi pelbagai piala di peringkat Eropah dan domestik.
Setakat ini, Messi telah memenangi 4 Liga Juara-Juara Eropah disamping 9 kejuaraan La Liga sejak melakukan debut bersama Los Cules pada tahun 2004. Messi juga muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam sejarah Barcelona.
Bagi anugerah Ballon d’Or pula, Ronaldo dan Messi telah mendominasi anugerah tersebut sejak 10 tahun dahulu lagi. Kedua-dua pemain tersebut kini terikat pada angka 5 tetapi Ronaldo berpeluang memintas Messi sekiranya beliau dinobatkan sebagai pemenang Ballon d’Or bagi tahun 2018.
Buat kali pertama sejak sekian lama, nama Messi tidak disenaraikan dalam senarai 3 pemain terakhir untuk memenangi anugerah tersebut pada tahun ini. Ronaldo akan bersaing dengan Luka Modric dan Mohamed Salah yang mana pemenang akan diumumkan pada hujung tahun ini.
Perdebatan pemain mana yang lebih baik di antara Messi dan Ronaldo sering menghiasi ruangan komen di alam maya. Tiada siapa yang akan menang perdebatan ini kerana pendapat manusia merupakan perkara yang subjektif dan masing-masing mempunyai pilihan mereka sendiri.
Akan tetapi bagi Carlos Tevez pula, beliau merupakan antara beberapa pemain bertuah yang mempunyai peluang bekerjasama dengan Ronaldo dan Messi pada masa lepas.
Ketika ditanya apakan perbezaan paling ketara di antara dua pemain tersebut, Tevez merujuk kepada corak latihan yang diamalkan Messi dan Ronaldo sebagai perbezaan paling utama.
“Saya tidak pernah melihat Lionel Messi berada di dalam gym. Saya juga tidak pernah melihat Messi melakukan latihan menghentikan bola atau latihan individu yang lain.”
“Semuanya datang secara semula jadi kepada Messi. Tetapi untuk penalti, Messi ada membuat latihan. Pada mulanya, beliau tidak mengambil sepakan penalti tetapi sekarang, anda dapat lihat bagaimana beliau meletakkan bola di penjuru gol setiap kali mengambil penalti.”
“Cristiano Ronaldo pula, beliau sentiasa singgah ke gym selepas menjalani latihan. Bagi Ronaldo, ia merupakan satu obsesi untuk menjadi yang terbaik dalam semua perkara. Beliau juga sentiasa datang awal untuk menjalani latihan.”
Kerana tidak berpuas hati melihat Ronaldo sering datang awal ke padang latihan, Tevez pernah cuba menjadi orang paling awal apabila tiba di padang latihan seawal azan subuh.
“Apabila sesi latihan di tetapkan pada pukul 9 pagi, saya akan tiba di padang latihan pada pukul 8. Tetapi mamat tu dah ada !”
“Aku sampai pukul 7.30 pagi pon mamat tu dah ada !”
“Lantas aku bertanya pada diri sendiri, ‘Macam mana aku nak tewaskan Ronaldo ni?'”
“Jadi pada suatu hari, aku pergi ke padang latihan seawal pukul 6 pagi tetapi Ronaldo juga sudah berada di sana ! Ronaldo kelihatan mengantuk tetapi masih datang awal.”