Tiada Jaminan Buat Sturridge Jika Terus Kekal Di Liverpool

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata beliau tidak dapat memberi jaminan kepada Daniel Sturridge untuk diturunkan lebih kerap dalam kesebelasan utama jika beliau memilih untuk terus kekal di Anfield.

Pemain antarabangsa England ini mungkin perlu berhijrah ke tempat lain bagi memastikan tempat beliau dalam skuda Piala Dunia terjamin.

Lama dah x berjoget ni

Pemain berusia 28 tahun ini telah dikaitkan dengan beberapa kelab Liga Perdana Inggeris selepas hanya diletakkan dalam kesebelasan utama sebanyak 5 kali sahaja musim ini. Klopp mengakui beliau tidak dapat memberi jaminan kepada Sturridge mengenai waktu permainan kerana beliau mempunyai ramai pilihan di bahagian depan.

“Sepanjang hidup, saya tidak pernah memberi jaminan kepada mana-mana pemain yang beliau akan bermain untuk beberapa bulan yang akan datang. Mustahil untuk melakukan perkara sebegitu.”

“Apabila Sturridge cergas dan menjalani latihan dengan baik, tidak dinafikan beliau adalah seorang penyerang yang cemerlang. Tetapi sudah beberapa minggu beliau tidak bermain oleh kerana beberapa sebab.”

Anak emas Klopp

“Sudah tentu salah satu punca Sturridge tidak bermain adalah prestasi semasa Roberto Firmino dan peningkatan Dominic Solanke. Ditambah pula Sturridge sering keluar masuk dari sesi latihan.”

“Secara keseluruhannya, beliau banyak menjalani latihan dari waktu tercedera tetapi apabila beliau pulih, Sturridge tidak bernasib baik kerana tidak diturunkan bermain. Itulah situasi semasa Sturridge ketika ini dalam pasukan Liverpool.”

Kali terakhir Sturridge menjaringkan minimum 20 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris adalah pada musim 2013/14 dimana beliau berjaya melakukan 26 penampilan.

Apabila ditanya adakah Sturridge akan terus kekal sehingga tamat musim ini bersama The Reds, Klopp berkata beliau sendiri tidak dapat memberi kepastian mengenai perkara tersebut.

Dipersilakan keluar

“Saya tidak dapat memberikan jawapan kepada soalan tersebut. Ini perkara yang terbuka. Terdapat banyak spekulasi berlegar di luar sana tetapi buat masa sekarang, tiada sebarang komen boleh saya berikan.”

“Setakat ini, kami memerlukan khidmat Sturridge. Sejujurnya, kita perlu lihat apa yang bakal berlaku beberapa hari yang akan datang.”

Liverpool akan kembali menyambung aksi dalam saingan Piala FA dengan melayan kunjungan West Brom dalam pusingan ke-4. Beberapa hari selepas itu, anak buah Klopp akan berangkat ke Kirklees Stadium untuk bertemu Huddersfield dalam pertemuan liga.

BACA:  Liverpool Sebenarnya Cuba Sailang Sterling Dari Sertai Chelsea