Tindakan Arteta ‘Mengadu Domba’ Mengenai VAR Dituduh Rosakkan Reputasi Arsenal

Bekas naib pengerusi Arsenal David Dein mendakwa Mikel Arteta merosakkan reputasi dan imej Arsenal dan berkata dia akan mendisplinkan pengurus pasukan itu kerana mengadu domba mengenai ketidakadilan VAR.

Arteta menyerang dan berang dengan cara VAR mengendalikan gol kemenangan Anthony Gordon ketika Arsenal tewas 1-0 kepada Newcastle sebelum liga berehat untuk memberi laluan kepada kalendar antarabangsa FIFA.

Pengurus The Gunners melabel VAR sebagai memalukan dan tidak boleh diterima sama sekali, selepas teknologi itu gagal menjelaskan beberapa isu ketika jaringan Gordon dihasilkan.

Arsenal kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan untuk menyokong pendirian pengendali dari Sepanyol itu. Namun demikian Dein berkata dia akan melakukan perkara berbeza jika masih bersama kelab London itu.

Menurut Dein, Arteta sepatutnya menerima seadanya kekalahan tersebut dan menganggap reaksi jurulatih itu sebagai sesuatu yang tidak perlu.

Bercakap kepada Talkspoert Dein berkata: “Sepanjang 101 minit perlawanan dimainkan, Arsenal hanya menghasilkan satu percubaan tepat ke arah gawang lawan. Jadi anda boleh katakan mereka tidak layak untuk menang perlawanan ini. Ia begitu jelas.

“Sepatutnya ada proses yang perlu diikuti untuk berhadapan perkara sebegini, dan apa yang dilakukan [Arteta] pada pendapat saya bukan perkara yang perlu dilakukan. Saya berpendapat ia tidak memberikan perkara baik kepada imej kelab.”

Ditanya sekiranya apa yang dilakukan Arteta yang begitu lantang mengkritik VAR akan berlaku ketika seperti ketika eranya mentadbir Arsenal di antara 1983 sehingga 2007, Dein berkata: “Ia tidak akan berlaku sama sekali.

“Tetapi kita di dalam sukan yang penuh dengan emosi, dan perkara sebegini sudah tentu akan berlaku juga. Saya berpendapat [Arsenal] tidak bernasib baik [kerana tewas]. Anda kena teruskan kehidupan dan belajar daripadanya.

Dein yang kini berusia 80 tahun juga berkata dia mungkin akan mendisiplinkan Arteta sekiranya perkara itu belaku ketika eranya, tetapi pada masa yang sama enggan memandang ringan situasi yang dihadapi pengurus itu.

“Pengurus pada ketika itu merasakan tekanan, dan itulah situasi yang dirinya percaya dia berada. Saya berada di Newcastle ketika perlawanan itu. Dia merasa tertekan kerana situasi perlawanan tidak memihak kepadanya.”

BACA:  Wenger Puji Gandingan Aubameyang-Mkhitaryan, Yakin Arsenal Akan Bertambah Baik