Trippier Dedah Apa Yang Southgate Katakan Ketika ‘Team Talk’ Sebelum Aksi Tambahan Masa

Ketika sebelum para pemain masuk ke padang untuk aksi tambahan masa, Gareth Southgate telah memberikan anak-anak buahnya moral booster dengan memberi kata-kata yang sungguh berinspirasi.

Bintang England, Kieran Trippier telah mendedahkan apa sebenarnya yang dikatakan oleh Gareth Southgate kepada para pemainnya ketika itu.

Southgate mengumpulkan anak-anak buahnya di tepi padang sebelum bermula aksi tambahan masa untuk memberi inspirasi agar anak-anak buahnya berjaya dapatkan jaringan yang akan membawa England ke perlawanan akhir saingan Euro 2020.

Ini merupakan pertama kali dalam sejarah, England berjaya mara ke perlawanan akhir dalam pertandingan utama, sejak kali terakhir mereka lakukan pada Piala Dunia 1966.

Skuad kendalian Gareth Southgate itu akan berdepan dengan Itali dalam aksi perlawanan akhir saingan Euro 2020 pada hujung minggu nanti.

Denmark terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Mikel Damsgaard hasil dari satu sepakan percuma yang sungguh cantik dan luar biasa menakjubkan.

England kemudiannya berjaya menjaringkan gol penyamaan selepas Simon Kjaer tersilap menjaringkan gol sendiri ketika beliau sedang berusaha untuk memintas bola hantaran dari Bukayo Saka.

Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 1-1 dan aksi babak kedua juga berakhir dengan keputusan yang sama walau kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menambah jaringan.

Perlawanan dilanjutkan hingga ke aksi tambahan masa dengan Harry Kane berjaya meledak gol untuk membawa The Three Lions ke perlawanan akhir.

Trippier dan Walker

Kini Trippier telah mendedahkan apa sebenarnya yang dikatakan oleh Southgate kepada para pemainnya sebelum mereka beraksi dalam aksi tambahan masa.

Trippier mendedahkan yang Southgate menyuruh anak-anak buahnya untuk lebih berani dan turut meminta semua pemain supaya bertenang untuk mencari gol kemenangan yang akan melayakan mereka ke aksi perlawanan akhir.

Trippier menjelaskan kepada The Guardian bahawa:

“Dia ketika itu kata, ‘kita berada di kedudukan yang baik, kita sudah bermain dengan baik, ia hanya tentang bagaimana kita perlu tenang ketika ada dan tiada bola.”

“Dan terus kekal lakukan apa yang sedang kita lakukan. Kita ada pasukan yang hebat dan Southgate telah menunjukkan sikap yang sangat positif seperti apa yang sering beliau tunjukkan.”

“Banyakkan bertenang dan peluang untuk kamu akan datang’. Apa yang dia kata semua tu betul. ‘Kawal bola dengan baik. Teruskan bertenang kerana peluang akan datang sendiri. Dan jangan ada perasaan takut.”

Walaupun England terlebih dahulu telah ketinggalan, namun mereka mahu memastikan yang insiden sama seperti aksi bertemu Croatia di peringkat separuh akhir Piala Dunia 2018 tidak akan berulang.

England tidak mahu dikecewakan sekali lagi kali ini dengan mereka tetap tenang hingga akhirnya, selepas wisel penamat dibunyikan, The Three Lions sudah mengesahkan tempat untuk beraksi dalam perlawanan akhir saingan Euro 2020.

Skuad England meraikan kejayaan berjaya mara ke perlawanan akhir

Raheem Sterling memainkan peranan penting yang membantu England mendapatkan sepakan penalti ketika aksi tambahan masa.

Harry Kane menjaringkan gol kemenangan England hasil dari sepakan penalti yang dimenangi oleh bintang Manchester City itu.

Skuad kendalian Gareth Southgate kini sedang berusaha untuk mencatat nama mereka dalam lipatan sejarah bola sepak England sebagai skuad pertama yang memenangi gelaran European Championship.

Mereka juga bakal memenuhi impian dan harapan seluruh rakyat England yang sudah bertahun-tahun menyanyikan lagu it’s coming home tapi skuad The Three Lions gagal untuk lakukannya.

Kali ini, mereka hanya tinggal selangkah sahaja lagi untuk mencapai matlamat itu dan lebih manis lagi, jika mereka menang, England akan menjulang Piala tersebut di tanah air mereka sendiri.

Para peminat sudah tidak sabar untuk menunggu hari perlawanan nanti dengan dijangkakan seramai 90,000 penyokong yang akan hadir ke Wembley untuk menonton perlawanan tersebut secara langsung nanti.

Kedua-dua Itali dan England merupakan pasukan pilihan untuk memenangi pertandingan ini dengan mereka antara pasukan paling berprestasi ketika ini.

Kedua-dua mereka juga tentunya akan menyajikan aksi persembahan mantap yang akan menghiburkan para peminat pada hari perlawanan nanti.

Sumber: SB

The Guardian

BACA:  Southgate Menegaskan Pemain Man Utd Kecuali Maguire Perlu Berusaha Keras Untuk Ke Piala Dunia