Tuchel: Areola Berada Di Hadapan Buffon Buat Masa Sekarang

Ketua Jurulatih Paris Saint-Germain, Thomas Tuchel mendedahkan Alphonse Areola berada dalam landasan yang tepat untuk menjadi penjaga gol utama PSG, di hadapan Gianluigi Buffon.

Legenda Itali dan Juventus, Gianluigi Buffon berpindah secara percuma ke PSG beberapa bulan yang lalu selepas kontraknya bersama Juventus tamat.

Tuchel memberi bayangan Buffon akan berada di bangku simpanan selepas ini

Penjaga gol berusia 40 tahun itu merupakan pilihan utama Tuchel bagi tiga perlawanan awal kempen Ligue 1 musim ini tetapi menurut Tuchel, keadaan mungkin berubah selepas ini.

Tuchel menurunkan Areola dalam tiga perlawanan terakhir PSG dan beliau turut mendedahkan Areola mungkin akan terus mengisi posisi penjaga gol utama pasukan sebaik sahaja aksi domestik bersambung hujung minggu ini.

Areola merupakan produk akademi PSG dan beliau adalah penjaga gol utama pasukan tersebut sepanjang kempen musim lalu. Awal musim ini menyaksikan tempat beliau diambil alih oleh Buffon tetapi pemain berusia 25 tahun ini menganggap perkara itu sebagai satu cabaran dan nekad untuk memenangi kembali tempatnya dalam kesebelasan utama.

Ubi keledek Paris Saint-Germain

Areola juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak kelab bagi melanjutkan kontraknya di Parc des Princes dan menurut Tuchel, Areola mempunyai peluang yang cerah untuk bergelar penjaga gol utama di hadapan Buffon.

“Ya, saya yang membuat keputusan. Keputusan masih lagi belum muktamad tetapi saya ada memberitahu Areola yang beliau berada dalam fikiran saya untuk menjadi penjaga gol No.1 PSG.” Ujar Tuchel kepada RMC.

“Areola datang dari akademi pasukan ini. PSG merupakan segala-galanya buat beliau. Dan beliau juga mahu membuktikan kemampuannya bersama pasukan ini. Situasi ini mesti dihormati dan perlu diambil perhatian.”

“Kami perlu bangga dengan pemain seperti Areola, kami sangat memerlukan pemain yang mempunyai jiwa PSG.”

“Kami juga menghadapi situasi yang berbeza dengan Gianluigi Buffon, seorang legenda dan juga idola kepada Areola. Kedua-dua pemain ini mempunyai perwatakan yang besar. Sekarang kami perlu mencari jalan terbaik demi kebaikan pasukan. Buffon tahu mengenai perkara ini, Areola juga tahu.”

“Buffon bukan seorang pemain yang akan duduk di bangku simpanan. Setiap hari, Buffon merupakan seorang pemain yang mempunyai pengaruh besar dalam pasukan ini.”

Tuchel kini mengerti mengapa Buffon  pemain yang hebat

“Sebagai contoh, beliau bermain sangat cemerlang ketika kami menentang Guingamp tempoh hari. Beliau menyelamatkan kami pada separuh masa kedua. Sekarang Buffon berada di bangku simpanan kerana Areola juga memerlukan waktu permainan.”

“Buffon boleh je duduk di bangku simpanan sambil tangan di dada menonton perlawanan. Tetapi beliau tidak mahu berbuat demikian kerana beliau mahu membantu pasukan. Buffon berkomunikasi dengan pemain lain kerana beliau mahu membantu pasukan.”

“Sekarang barulah saya faham mengapa Buffon mempunyai karier yang hebat. ”

BACA:  Solskjaer: Kami Yakin Mampu Tewaskan PSG Walaupun Ketinggalan 2-0