Tuduhan Jenayah Dikenakan Ke Atas Bellingham Kerana Hentam Pengadil

Pemain midfield Borussia Dortmund, Jude Bellingham kini sedang disiasat oleh DFB kerana komen beliau ketika temu bual selepas tamat perlawanan bertemu Bayern Munich telah mencetus sensasi internet.

Jude Bellingham memberi komen yang membantai pengadil perlawanan, Felix Zwayer ekoran dari kekalahan 3-2 Dortmund di tangan Bayern Munich dalam perlawanan tersebut.

Satu hal yang pasti, aksi Der Klassiker pada kali ini agak kontroversi berkait keputusan pengadil, dengan keseluruhan kem Dortmund mempertikaikan hal tersebut.

Zwayer menafikan hak Dortmund untuk mendapatkan sepakan penalti selepas Marco Reus dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Lucas Hernandez.

Pengadil perlawanan kemudiannya menghadiahkan sepakan penalti kepada Bayern Munich kerana mendakwa bola terkena tangan Mats Hummel’s pada minit ke-77 permainan.

Robert Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti tersebut, seterusnya mengesahkan kemenangan 3-2 Bayern Munich menewaskan Borussia Dortmund di Signal Iduna Park.

Skuad kendalian Julian Nagelsmann itu pada ketika ini mendahului carta saingan liga dengan kelebihan empat mata mengatasi Dortmund yang berada di kedudukan kedua.

Jude Bellingham telah meluahkan kemarahan beliau dengan mutu pengadil dan turut mempersoalkan mengapa pengadil yang ada rekod mengatur perlawanan diberi tanggungjawab untuk kendalikan perlawanan terbesar dalam saingan bola sepak Jerman.

Terbaru, Pemerhati Pengadil dari Persatuan Bola Sepak Jerman, Marco Haase telah menfailkan aduan ke atas Jude Bellingham atas komen yang beliau lakukan ketika temu bual selepas tamat perlawanan kemarin.

Anton Nachreiner, ketua jawatankuasa kawalan FA Jerman telah mengesahkan yang pemain berusia 18 tahun itu pada ketika ini sedang disiasat.

“Jawatankuasa kawalan akan menilai semula kenyataan dari pemain Borussia Dortmund, Jude Bellingham atas dasar jenayah undang-undang sukan. “

Jelasnya kepada SID.

Para peminat turut bengang dengan Persatuan Bola Sepak Jerman kerana mendakwa Jude Bellingham melakukan jenayah hanya kerana beliau mengeluarkan komen tersebut.

Zwayer sebelum ini pernah digantung dari mengadili mana-mana perlawanan selama enam bulan pada 2005 lalu, kerana menerima £256.50 dari pengadil division kedua, Robert Hoyzer yang kemudiannya mengaku mereka mengatur perlawanan tersebut.

Pengadil yang kini berusia 40 tahun itu turut ditanya tentang keputusan beliau, dan beliau menegaskan keputusannya itu adalah tepat.

“Situasi itu adalah sepakan penjuru biasa.”

Jelasnya kepada Sky Sports Deutschland.

“Saya nampak dalam perlawanan itu ia dalam situasi bola hampir menyentuh Hummel’s. Soalan dari saya adalah, ‘adakah tangan dia direnggangkan dari badan atau tidak?’ Pada ketika ia berlaku, saya tak begitu jelas sama ada tangan dia bergerak ke arah bola atau tidak.”

“Saya semak semula dengan VAR dan kemudian kedudukan tangan dia sudah disemak.”

“Pembantu VAR memutuskan yang Hummel’s menggerakkan tangan dia dan ia tidak berada di kedudukan semulajadi.”

“Pada akhirnya, bola menyentuh siku dia dengan tangan dia tak berada di kedudukan neutral jadi saya sahkan keputusan itu untuk berikan sepakan penalti.”

Jude Bellingham hentam pengadil perlawanan

Jude Bellingham secara terbuka membantai pengadil perlawanan kerana menghadiahkan sepakan penalti kontroversi kepada Bayern Munich awal pagi semalam.

Dek kerana sepakan penalti itu, Bayern Munich berjaya menewaskan Borussia Dortmund 3-2 dalam aksi Der Klassiker yang dilangsungkan di Signal Iduna Park.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu dihadapan seawal lima minit pertama permainan selepas Julian Brandt meledak gol pembukaan permainan.

Robert Lewandowski dan Kingsley Coman kemudiannya menjaringkan dua gol untuk Bayern Munich mendahului aksi babak pertama dengan keputusan 2-1.

Erling Haaland berjaya menyamakan kedudukan pada aksi babak kedua permainan, dengan Jude Bellingham mencatatkan assists untuk gol tersebut.

Telah tercetus kontroversi hangat dalam perlawanan ini, selepas Bayern Munich dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-77 perlawanan, dengan Lewandowski cemerlang menyempurnakan kesempatan tersebut.

Gol dari Lewandowski itu secara tidak langsung berjaya membantu Bayern Munich untuk mencatatkan kemenangan 3-2 menewaskan Borussia Dortmund di halaman mereka sendiri.

Mats Hummels dihukum oleh pengadil perlawanan kerana handball, dengan pengurus kelab, Marco Rose bengang dengan keputusan dari pengadil perlawanan itu.

Dek kerana membantah keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Bayern, Marco Rose telah dilayangkan dengan layangan kad merah.

Pemain kebangsaan England yang kini baru berusia 18 tahun, Jude Bellingham turut sama tidak berpuas hati dengan keputusan dari pengadil perlawanan.

Beliau telah mengkritik pengadil perlawanan, Felix Zwayer dan turut membongkar kisah pengadil itu pernah mengatur perlawanan sebelum ini.

Zwayer sebelum ini pernah dihukum gantung selama enam bulan selepas dilaporkan menerima suapan untuk mengatur perlawanan pada tahun 2005 yang lalu.

Pemain yang muncul dari akademi Birmingham City itu selepas tamat perlawanan menyatakan bahawa:

“Bagi saya ia bukan penalti. Hummel’s langsung tak tengok bola dan dia berusaha untuk memenangi semula bola itu. Ia terkena dia, saya tak rasa dia tengok bola tu.”

“Kamu boleh lihat kebanyakkan keputusan dalam perlawanan ini. Kamu bagi pengadil yang ada sejarah tentukan perlawanan untuk mengendalikan perlawanan terbesar di Jerman? Apa yang harapkan?”

Para peminat dapat rasa kekecewaan Jude Bellingham dari mendengar suaranya dengan beliau sangat kecewa Borussia Dortmund hilang mata penting dalam perlawanan penting.

Kalah tipis kepada Bayern Munich dalam perlawanan yang sepatutnya mereka boleh menang atau seri, ia jelas merupakan satu hal yang sangat menyakitkan.

Haaland yang muncul sebagai penjaring gol kedua dalam perlawanan ini turut membalas tweet lama berkait pengumuman Zwayer yang akan mengadili perlawanan tersebut.

Haaland berkongsi semula tweet itu dan meninggalkan komen emoji ‘Thumbs down’ dan ia jelas membuktikan beliau juga tidak gembira dengan keputusan dari pengadil tersebut.

Pengurus Dortmund, Marco Rose yang turut dilayangkan kad merah dalam perlawanan ini telah menghentam pengadil perlawanan dalam temu bualnya selepas tamat aksi kekalahan 3-2 kepada Bayern Munich itu.

Beliau jelas sekali sangat tidak berpuas hati dengan banyak keputusan yang dilakukan oleh Zwayer dan menganggap pengadil yang ada sejarah mengatur perlawanan itu telah merompak kemenangan Dortmund.

Borussia Dortmund kekal di kedudukan kedua dalam carta saingan Bundesliga pada ketika ini, dengan mereka hanya empat mata sahaja dipisahkan dari Bayern Munich.

Kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu pada April tahun hadapan, dengan Dortmund berharap Bayern akan tercicir mata dan mengharap Black and Yellow terus catat kemenangan dalam usaha untuk memintas kedudukan pendahulu liga.

Persaingan antara kedua-dua pasukan sepertinya sangat sengit, dan jelas sekali sangat menarik untuk menyaksikan siapa yang bakal diumumkan sebagai juara pada penghujung musim nanti.

BACA:  Jude Bellingham Secara Terbuka Dedah Tentang Pengadil Yang Mengatur Perlawanan