UEFA Bercadang Untuk Perkenalkan Had Gaji Siling dan Cukai Mewah Buat Semua Kelab di Eropah

Badan bola sepak benua yang paling kaya di dunia, UEFA, dikhabarkan sedang mengkaji dan bercadang untuk memperkenalkan satu bentuk peraturan baru untuk menggantikal Financial Fair Play, FFP, bagi memastikan setiap kelab berbelanja mengikut pendapatan pasukan, bukan boros seperti yang dipamerkan beberapa kelab kebelakangan ini.

Peraturan baru yang ingin diperkenalkan oleh UEFA adalah had gaji siling ataupun dalam bahasa mat saleh disebut salary cap.

Sistem yang sedia ada, FFP telah mula diperkenalkan sejak 11 tahun lalu dan syarat utamanya adalah setiap kelab mestilah merekodkan pendapatan sekurang-kurangnya break even atau balik modal dalam tempoh tiga tahun.

Dalam bahasa yang mudah, kelab mestilah berbelanja untuk membayar yuran pepindahan pemain baharu, gaji pemain dan segala kos operasi kelab mengikut kadar keuntungan kasar kelab itu sendiri.

Contohnya jika kelab A merekodkan pendapatan sebanyak €100 juta, kelab tersebut perlulah berbelanja tidak lebih daripada jumlah itu untuk tahun berikutnya. Jika sesebuah kelab tersebut masih berbelanja lebih daripada nilai tersebut, paling banyak lebihan yang dibenarkan adalah sebanyak €30 juta  – tidak melebihi tiga tahun.

Jika sesebuah kelab tersebut melanggar peraturan ini, mereka boleh didenda oleh UEFA dalam bentuk kewangan, penggantungan pembelian pemain dan juga disenaraihitamkan daripada pertandingan anjuran UEFA selama beberapa tahun.

Antara kelab terkenal yang pernah didenda UEFA adalah Manchester City di mana kelab yang dimiliki oleh Sheikh Mansour ini telah didenda sebanyak €58 juta kerana melanggar peraturan FFP.

Walaubagaimanapun, peraturan ini telah dikenalpasti kelemahannya dan telah dimanipulasi oleh beberapa kelab kaya, terutamanya kelab yang mempunyai pemilik dari Timur Tengah.

Paris Saint Germain misalnya.

Dengan pemilik, Nasser Al-Khellaifi, yang merupakan billionair tersohor dari Qatar, PSG telah berbelanja dengan begitu banyak dalam urusan pembelian pemain dan juga penawaran gaji kepada para pemain.

Suatu ketika dahulu, kelab Perancis tersebut telah membayar €222 juta kepada Barcelona untuk mendapatkan Neymar Jr, dan kemudiannya membayar €180 juta dalam pembelian Kylian Mbappe dari AS Monaco.

Di samping yuran perpindahan yang mahal, pemain ini juga dibayar gaji yang luar biasa mahalnya, lebih mahal daripada jutawan Luxor yang pernah menggegar Malaysia suatu ketika dahulu.

Neymar dikatakan menerima gaji sekitar €800,000 seminggu, manakala Mbappe pula €600,000 seminggu.

Empat daripada lima pemain baru mereka musim ini – Lionel Messi, Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma dan Gigi Wijnaldum, memand didapatkan secara percuma tetapi gaji yang dibayar bukan kaleng-kaleng jumlahnya.

Messi dilaporkan menerima gaji sebanyak €1 juta seminggu, dengan Ramos dan Donnarumma sekitar €400,000 seminggu.

Jika jumlah wang sebesar ini dibelanjakan oleh kelab dari Liga Perdana Inggeris atau gergasi La Liga seperti Real Madrid dan Barcelona, ia tidaklah begitu menghairankan kerana mereka mempunyai pendapatan yang cukup mewah daripada hasil hak penyiaran perlawanan ke serata dunia.

Tetapi bagaimana PSG mampu menjana wang sebegitu banyak?

Dalam sistem FFP, setiap pasukan perlu menghantar laporan audit pendapatan pasukan kepada UEFA dan segala dokumen dan pengisytiharan ini akan disemak oleh pihak ketiga yang dilantik oleh UEFA.

Modus operandi PSG mudah sahaja. Memandangkan penaja utama mereka adalah dari negara pemilik kelab – Qatar Telekom, Qatar Tourism dan Qatar National Bank, maka transaksi jumlah penajaan dikatakan dimanipulasi sehingga berjaya menjadikan akaun pasukan PSG begitu seimbang.

Lagi pula, Nasser Al-Khellaifi adalah seorang individu yang mempunyai pengaruh dalam dunia bola sepak di mana dia merupakan salah seorang daripada anggota jawatankuasa eksekutif UEFA, pengerusi Bein Sport – rangkaian siaran televisyen sukan yang besar, serta merupakan anggota jawatankuasa pertandingan FIFA.

Jadi, untuk mengurangkan perlanggaran undang-undang dan manipulasi oleh pasukan seperti PSG, maka UEFA berhajat untuk memperkenalkan sistem had gaji siling dengan membenarkan pasukan untuk berbelanja membayar gaji keseluruhan pasukan sebanyak 70 peratus daripada pendapatan kasar kelab.

Model ini boleh dikatakan sama dengan model Economic Control Policy yang diamalkan oleh La Liga untuk kelab-kelab di dua liga teratas di Sepanyol.

Sekiranya kelab masih ingin berbelanja melebihi jumlah yang dibenarkan, mereka bakal berdepan cukai mewah atau lebih mudah disebut luxury tax.

Cukai mewah adalah satu bentuk hukuman yang dikenakan kepada pasukan, mengikut lebihan perbelanjaan yang dibenarkan.

Contohnya pasukan A merekodkan pendapatan sebanyak €100 juta dan pada musim berikutnya, kelab ini dibenarkan untuk berbelanja sebanyak €70 juta untuk pembayaran gaji keseluruhan pasukan.

Akan tetapi, selepas siasatan dilakukan, kelab tersebut didapati telah berbelanja sebanyak €84 juta -20 peratus lebih daripada had yang dibenarkan. Maka disebabkan pelanggaran peraturan ini, kelab tersebut akan didenda sebanyak €14 juta dan wang denda ini akan diagihkan kepada kelab-kelab lain di bawah naungan UEFA.

Jika had perbelanjaan adalah lebih daripada 20 peratus, maka denda yang dikenakan adalah 1.5 darab dengan lebihan perbelanjaan yang dibenarkan tersebut.

Segala keputusan tentang peraturan ini akan diutarakan dalam mesyuarat eksekutif UEFA pada bulan September nanti.

Itulah, UEFA yang mengendalikan industri bola sepak berbillion billion ringgit pun risau dengan sikap berbelanja pasukan di bawah kendalian mereka sampai nak perkenalkan peraturan kawalan perbelanjaan.

Pihak penganjur liga di Malaysia tak nak ikut perkenalkan benda yang sama ke? Ke pasukan di Malaysia ni semua dah kaya raya?

Untuk versi penerangan dalam bentuk video, korang boleh tengok video YouTube di bawah.

Sumber : DailyMail

BACA:  Europa League 2019/20: Espanyol 3-2 Wolverhampton