UEFA Senaraikan Man Utd Sebagai 10 Kelab Terbaik Eropah Dalam Ranking Terbaru

Ranking baharu kelab-kelab Eropah telah dikeluarkan oleh UEFA dan kedudukan Manchester United pasti turut mengejutkan penyokong mereka sendiri.

Musim ini United sekali lagi melalui kempen yang buruk di pertandingan Eropah, dan dianggap bergelut di bawah kendalian Erik ten Hag untuk menampilkan bola sepak terbaik seperti yang dipamerkan oleh kelab itu suatu ketika dahulu.

Di Premier League, Red Devils kini menghuni kedudukan keenam dengan 27 mata, 10 mata di belakang pendahulu Liverpool.

Minggu ini impian United di Champions League dikuburkan oleh Bayern Munich apabila tewas 1-0 di tempat sendiri.

Kekalahan itu membuatkan United sekadar menamatkan saingan di pertandingan kelab-kelab elit Eropah itu di kedudukan tercorot.

Walaupun melalui prestasi muram sejak awal musim Manchester United bagaimanapun masih boleh berbangga kerana masih tersenarai di kalangan 10 kelab terbaik di Eropah oleh UEFA.

Berdasarkan ranking terbaru oleh badan bola sepak itu, United kini berada di kedudukan kesembilan.

Malah United kini berada di kedudukan yang lebih baik berbanding beberapa kelab-kelab utama Eropah yang lain seperti Barcelona, Borussia Dortmund, Atletico Madrid dan juara Serie A pada musim lalu, Napoli.

Juara bertahan Premier League dan Champions League pada musim lalu, Manchester City pula berada di kedudukan teratas di dalam senarai ranking tersebut.

City diikuti rapat oleh jaguh Bundesliga Jerman, Bayern Munich manakala gergasi dari Sepanyol, Real Madrid berada di kedudukan ketiga.

Liverpool walaupun tidak beraksi di pertandingan Champions League pada musim ini pula berada di kedudukan keempat.

Berikut adalah senarai 10 pasukan terbaik menurut ranking UEFA pada masa ini:

1.Manchester City
2.Bayern Munich
3.Real Madrid
4.Liverpool
5.Paris Saint Germain
6.Inter Millan
7.Chelsea
8.RB Leipzig
9.Manchester United
10.AS Roma

Selepas kekecewaan pada pertengahan minggu lalu, United akan kembali beraksi menentang Liverpool di Anfield pada Ahad nanti.

Skuad kendalian Jurgen Klopp dianggap sebagai calon juara musim ini dan kini sedang berada di prestasi terbaik. Musim lalu Liverpool membaham United 7-0 di Anfield.

BACA:  Man Utd Hanya Mampu Jana Keuntungan Dari Penjualan Lima Pemain Sahaja Dalam Tempoh Sedekad Ini