Juara UFC ‘Lightweight’, Khabib Nurmagomedov mengugut untuk meninggalkan Ultimate Fighting Championship (UFC) sekiranya organisasi tersebut meneruskan niat mereka untuk memecat rakan baiknya, Zubaira Tukhugov.
Tukhugov merupakan individu berbaju hitam yang memanjat pagar Octagon untuk menyerang Conor McGregor ketika kekecohan yang meletus selepas tamat pertarungan Khabib dan McGregor.
Dua individu dirakam menyerang McGregor di dalam gelanggang ketika Khabib bergelut dengan pasukan keselamatan di luar gelanggang. Tukhugov menyerang McGregor dari belakang dan sempat melepaskan dua tumbukan yang tepat singgah di kepala petarung dari Republik Ireland itu.
Seperti diketahui ramai, kekecohan tersebut meletus kerana tindakan Khabib yang melompat keluar dari Octagon dan menyerang rakan sparring McGregor, Dilion Danis.
3 individu ditahan selepas kejadian tersebut, tetapi dibebaskan tidak lama kemudian kerana McGregor enggan membuat sebarang dakwaan.
Dalam sidang media selepas tamat UFC 229, Khabib memohon maaf atas perbuatannya itu tetapi beliau mendakwa komen yang dikeluarkan McGregor sebelum ini merupakan punca utama mengapa beliau berbuat demikian. McGregor didakwa menghina agama, negara, dan ayah Khabib sepanjang sidang media menjelang UFC 229.
Tukhugov boleh mengucapakan selamat tinggal kepada karier UFC beliau jika dilihat pada kenyataan yang keluar dari mulut presiden UFC, Dana White berhubung kejadian tersebut.
“Individu yang memanjat pagar tadi, tidak akan bertarung lagi dalam UFC.
“Saya berusaha keras untuk mempromosikan sukan ini. Ini bukan UFC yang sepatutnya anda lihat.”
Namun begitu, Khabib memberi amaran kepada UFC supaya tidak menghukum Tukhugov atas kejadian tersebut dan mengugut untuk meninggalkan UFC jika White meneruskan niatnya.
“Kenapa kamu [Dana White] tidak memecat mana-mana individu ketika serangan terhadap bas dan mencederakan dua individu ? Mereka mungkin membunuh seseorang ketika kejadian. Mengapa tiada pihak yang bercakap mengenai penghinaan terhadap tanah air, agama, negara dan keluarga saya ?”
“Kenapa kamu hanya mahu menghukum pasukan saya sahaja walapun ia merupakan pergaduhan antara dua pasukan ? Jika anda mendakwa saya yang memulakan pergaduhan tersebut, saya tidak bersetuju dengan pandangan itu. Saya hanya menghabiskan apa yang mereka mulakan dulu.”
“Dalam apa jua kes, hukum saya seorang sahaja. Zubaira Tukhugov tidak mempunyai sebarang kaitan dalam isu ini.”
“Jika anda fikir saya hanya akan senyap dalam isu ini, anda salah. Anda baru sahaja membatalkan pertarungan Tukhugov atas sebab beliau memukul Conor. Tetapi jangan lupa, Conor dulu yang memukul rakan saya ketika kejadian. Anda boleh tonton video itu balik.”
“Jika anda bercadang untuk memecat Tukhugov, anda harus tahu yang anda juga bakal kehilangan saya. Kami tidak akan sekali-kali meninggalkan rakan kami di Russia, dan saya akan berjuang sehingga pengakhiran untuk rakan saya.”
“Jika anda masih lagi mahu memecat Tukhugov, jangan lupa untuk menghantar kontrak saya yang sudah dikoyak. Jika tidak, saya sendiri yang akan melakukannya.”
Jika benar UFC mahu meneruskan niat mereka untuk menghukum Tukhugov, Khabib boleh menarik nafas lega kerana WWE bersedia untuk menerimanya.
@WWE ask me to jump inside.
What do you think guys? #SmashLesnar #FakeFights— khabib nurmagomedov (@TeamKhabib) October 12, 2018
Tidak dapat dipastikan sama ada Khabib benar-benar serius dengan tawaran WWE, tetapi organisasi tersebut mempunyai polisi untuk menerima bintang sukan ternama dari pelbagai latar belakang seperti yang berlaku kepada Ronda Rousey dan Brock Lesnar.