Unai Emery Mahu Bawa Arsenal Kembali Ke Liga Juara-Juara Eropah

Pengurus baru Arsenal, Unai Emery berkata sasaran utama beliau musim hadapan adalah untuk membimbing Arsenal layak ke saingan Liga Juara-Juara- Eropah musim 2019/2020.

Pengurus berasal dari Sepanyol itu diumumkan secara rasmi sebagai pengurus Arsenal yang baru menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Arsene Wenger.

Walaupun masih mempunyai baki setahun kontrak bersama Arsenal, Wenger mengambil keputusan untuk meninggalkan Arsenal lebih awal selepas 22 tahun menguruskan kelab tersebut.

Perkara paling utama sekarang adalah untuk membawa Arsenal kembali ke Liga Juara-Juara

Arsenal menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris musim ini di kedudukan ke-6 sekaligus terlepas peluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah bagi dua musim berturut-turut.

Dalam sidang media pertama Emery sebaik sahaja diumumkan secara rasmi menjadi pengurus Arsenal, beliau berkata kelab sebesar Arsenal harus beraksi dalam Liga Juara-Juara dan ia bakal menjadi sasaran utama beliau musim hadapan.

“Objektif utama kami adalah untuk menjadi salah sebuah pasukan terkuat di Eropah, memenangi lebih banya trofi, dan berada dalam senarai kelab di benua Eropah.”

“Saya juga mahu penyokong Arsenal bangga dengan pencapaian kelab ini. Saya tahu mereka sudah bangga menjadi penyokong Arsenal tetapi saya mahu mereka menjadi lebih bangga.”

Arsenal mengenalpasti 8 calon untuk mengisi jawatan pengurus Arsenal tetapi yang berjaya menawan hati CEO Arsenal adalah Unai Emery

“Saya percaya dengan pemain yang kami miliki sekarang. Objektif utama sekarang adalah untuk bekerja keras bersama-sama. Ia merupakan perkara paling utama untuk dilakukan kerana kelab ini tidak akan beraksi di Liga Juara-Juara Eropah selama dua tahun.”

“Saya mahukan yang terbaik buat kelab ini, seterusnya menjadi kelab terbaik di Liga Perdana Inggeris dan juga di dunia.”

Sepanjang sedekad yang lalu, Arsenal hanya mampu memenangi 3 trofi Piala FA dan gagal untuk bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris secara konsisten.

Walaubagaimanapun, Emery berkata fokus utama beliau adalah untuk menjadikan Arsenal kembali kompetitif, sama ada di peringkat domestik mahupun Eropah.

“Saya mahu pasukan ini bersaing merebut setiap trofi yang ada. Ia sebenarnya sudah ada dalam sejarah kelab ini dan juga dalam diri saya. Saya mahu Arsenal terus berjuang merebut setiap trofi yang ada.”

“Semua trofi mempunyai kepentingan kepada kami. Saya mahu pasukan ini menjadi calon utama untuk memenangi setiap pertandingan yang kami sertai.”

Unai Emery digelar pakar Europa League kerana berjaya membimbing Sevilla memenangi 3 kejuaraan UEL.

“Saya tidak dapat berjanji yang saya akan memenangi piala hari ini tetapi saya berjanji kami akan berusaha keras dan bekerja bersama untuk mencapai sasaran tersebut.”

Mengenai pelan perpindahan Arsenal musim panas nanti, Emery enggan berbicara lebih lanjut mengenainya kerana beliau perlu terlebih dahulu bercakap secara individu dengan setiap pemain.

“Ketika bercakap dengan Ivan Gazidis [CEO Arsenal] dan mereka yang bekerja di sini, adalah amat penting bagi saya untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat terlebih dahulu sebelum saya membentuk pasukan ini.”

“Saya mengenali setiap pemain Arsenal. Pada pendapat saya, semua pemain Arsenal sama pentingnya. Saya mahu bercakap dengan setiap pemain secara individu terlebih dahulu.”

BACA:  Premeir League 2020/21: Manchester United 0-1 Arsenal