United Membuat Pilihan Yang Salah Dengan Menandatangani Cristiano Ronaldo

Kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke bumi Old Trafford telah mendapat sambutan hangat dari semua pihak terutama para peminat Manchester United.

Ramai yang memuji keputusan United membawa kembali legenda kelab mereka pada musim panas ini, dan yakin Ronaldo akan membantu setan merah untuk memenangi sesuatu.

Namun hanya seorang pundit yang merasakan Manchester United sebenarnya telah membuat keputusan yang salah kerana menandatangani Cristiano Ronaldo.

Selepas berjaya menandatangani Raphael Varane dan Jadon Sancho, Manchester United akhirnya berjaya melengkapkan perpindahan handalan Portugal, Ronaldo yang 12 tahun lalu telah meninggalkan Old Trafford.

Ia dianggap sebagai jendela perpindahan terbaik yang pernah dilalui oleh Manchester United, terutama selepas berakhirnya era Sir Alex Ferguson.

Walau bagaimanapun, penyampai Sky Sports, Paul Merson tidak begitu teruja dengan kejayaan United mendapatkan semula khidmat Cristiano Ronaldo.

Bahkan beliau menganggap yang Harry Kane sebenarnya pilihan yang lebih tepat untuk membantu United memenangi liga berbanding Cristiano Ronaldo.

Bekas bintang Arsenal yang sebelum ini gagal menjadi seorang pengurus di Walsall itu juga percaya yang Ronaldo sepatutnya mampu membantu United memenangi gelaran liga pertama mereka sejak 2013 yang lalu, untuk buktikan yang beliau merupakan penandatanganan yang tepat.

“Mereka perlu memenangi liga.”

Jelas Merson kepada Sky Sports News pada hari terakhir jendela perpindahan sebelum ditutup kemarin.

“Jika kamu bawa masuk Ronaldo, salah seorang pemain terhebat dunia sejak 15 tahun lalu, kamu perlu pastikan dia bantu kamu untuk menang liga.”

“Tolong jangan beritahu saya yang United sekadar beli dia untuk jual jersi saja, saya tahu mereka akan dapat £100 juta dari itu, tapi ini Man Utd, mereka perlu memenangi liga.”

“Jiran sebelah mereka (Man City) sedang memuncak naik, jadi mereka perlu bawa seseorang masuk. Sekarang, siapa yang akan bantu kamu memenangi liga: Ronaldo atau Harry Kane?”

“Bagi saya Harry Kane akan menangkan liga untuk kamu, Ronaldo tak akan mampu.”

“Dia (Ronaldo) akan jaringkan gol jika mereka bermain dengan cara tertentu. Kamu tak bawa pemain masuk kerana mereka boleh buat duit lebih untuk kamu… Ini adalah masalah Arsenal sejak 15 tahun dahulu.”

“Arsenal tak pernah menang apa-apa, tapi mereka buat duit. Mereka bayar untuk stadium baru. Mereka sentiasa mahu buat duit.”

“Ini merupakan antara situasi yang mana jika saya pengurus kelab bola sepak, saya perlu bawa masuk pemain yang boleh bantu saya menang liga. Adakah Ronaldo akan bantu mereka menangi premier league?”

Cristiano Ronaldo dijangka akan melakukan debut keduanya bersama United ketika aksi bertemu Newcastle pada 11 September nanti.

Para peminat tentunya tidak sabar untuk melihat aksi beliau selepas ini dengan Ronaldo dijangka akan beri cabaran pada Harry Kane dan Mo Salah untuk merebut kasut emas premier league.

Beliau juga dijangka bakal membantu setan merah untuk memenangi gelaran liga, selepas Manchester United pada musim lalu sekadar mengakhiri saingan di kedudukan kedua.

United ketika ini berada di kedudukan ketiga liga, dengan mereka berjaya mengumpul 7 mata dari tiga perlawanan awal saingan liga musim baharu ini.

Kehadiran Cristiano Ronaldo tentunya akan memantapkan lagi jentera serangan United dan membantu mereka untuk terus mencabar kejuaraan liga musim ini.

Adakah dakwaan Paul Merson boleh diterima pakai? Atau beliau sekadar iri hati dan dengki? Bincangkan diruangan komen dengan penuh ilmiah.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ronaldo Dan Neymar Beri Penghormatan Terakhir Penuh Emosi Kepada Pele