Van Dijk Laung Amaran, Yakin Liverpool Pencabar Serius Man City Untuk Kejuaraan Musim Ini

Virgil van Dijk melaungkan amaran kepada Manchester City dan percaya Liverpool kini sudah bersedia untuk mencabar seterunya itu untuk kejuaraan liga pada musim ini.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sesasa sendiri untuk perlawanan pertama Premier League selepas tempoh rehat antarabangsa.

Selepas musim yang suram tanpa trofi pada musim lalu, Jurgen Klopp dilihat telah menemui sentuhannya semula untuk menyemarakkan Liverpool mengejar kejuaraan pada musim ini.

Kapten Liverpool Van Dijk gambira melihat bagaimana barisan pemain pimpinannya memusnahkan cabaran Brentford pada hujung minggu lalu selepas lawan mereka itu sebelum ini membina keyakinan hasil tiga kemenangan berturut-turut.

Walaupun kehilangan khidmat sehingga lapan pemain utama dalam pertemuan di Anfield pada hujung minggu lalu, Liverpool tetap memang selesa dengan jaringan 3-0 ke atas lawan mereka itu untuk menambah keyakinan Van Dijk bahawasanya musim untuk Liverpool mulai menyinar telah kembali.

“[Pada Ahad lalu] saya melihat sekeliling bilik persalinan dan merasakan diri beraksi bersama skuad B-23. Tetapi kami masih mempunyai kualiti dan jika anda cukup baik, maka anda tetap sebuah pasukan yang matang,” kata Van Dijk.

“Kita harus menunggu. Kami memerlukan sedikit nasib, tidak boleh ada kecederaan dan kami juga perlukan konsistensi.

“Secara keseluruhan pada musim ini prestasi kami cmerlang, tetapi hasil akhir tidak diputuskan pada November dan akan ada turun dan naik. Kami semua menyedari perkara itu.

“Sekarang kami perlu fokus untuk perlawanan seterusnya. Brentford adalah pencabar yang sukar atas pelbagai sebab. Kami melaluinya dengan baik dan kami akan kembali [daripada tugasan antarabangsa] untuk sati lagi perlawanan besar, dan kami akan melihat sejauh mana persediaan kami untuk menghadapi cabaran [menentang Man City].

Pada masa yang sama Klopp menyelar syarikat penyiaran yang tidak memahami bola sepak sehingga memaksa perlawanan di antara pasukan kendaliannya menentang Man City terpaksa diadakjan pada jam 12:30 tengah hari (waktu England).

Van Dijk bagaimanapun lebih berdiplomatik dalam meluahkan pendapatnya mengenai perlawanan besar yang diadakan pada jam sedemikian.

“Ia jelas adalah perlawanan tumpuan. Ia sentiasa sukar beraksi di sana [Etihad], terutama apabila pemain baru sahaja kembali dari merata negara [untuk tugasan antarabangsa].

“Cabaran sama dihadapi oleh mereka, walaupun mereka memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri. Saya berharap semua pemain kembali cergas. Saya berharap kami mampu bersedia untuk sepak mula awal. Ia akan menjadi perlawanan yang menarik,” tambah Van Dijk.

Walaupun berada di landasan yang baik, Van Dijk mahu Liverpool terus berhati-hati kerana musim masih lagi panjang.

“Anda mempunyai segala aspirasi, impian, tujuan sebelum musim bermula untuk bersaing dan memenangi setiap pertandingan.

“Itulah yang sering berlaku pada permulaan musim, sebelum keadaan menjadi semakin mencabar ketika memasuki pertengahan musim.”

BACA:  Pemain Liverpool Didakwa FA England Kerana Terlibat Dalam Perjudian