Van Dijk Mampu Jinakkan Erling Haaland

Pertemuan antara Manchester City dan Liverpool pada hujung minggu ini dijangka bakal menjadi titik perubahan kepada prestasi bekas pemain pertahanan terbaik dunia, Virgil van Dijk, menurut bekas pertahanan terbaik England, Rio Ferdinand.

Pada hari Ahad ini, Liverpool bakal menerima kunjungan City di Anfield dalam situasi yang tidak berapa menyenangkan selepas mereka tewas 2-3 kepada Arsenal tempoh hari. Disebabkan kekalahan kepada pendahulu liga tersebut, pasukan anak didik Klopp kini berada di tangga kesepuluh liga, 14 mata di belakang Arsenal – sekaligus menggambarkan bahawa cabaran mereka untuk memenangi kejuaraan liga pada musim ini sudah terkubur meskipun baru bermain sebanyak lapan perlawanan.

Menjelang pertemuan menentang pasukan berimej raksasa, City, Klopp mengakui bahawa sekarang bukanlah masa yang terbaik bagi anak buahnya bermain menentang pasukan tersebut.

Pertemuan ini juga bakal menyaksikan pertemuan buat pertama kali antara bakal pemenang Ballon d’Or, Erling Haaland dan juga bekas calon pemenang Ballon d’Or, Van Dijk, di pentas Liga Perdana Inggeris.

Dengan Haaland dilihat amat sukar untuk disekat daripada menjaringkan gol, Van Dijk pula dilihat terkial-kial dalam mengemudi barisan pertahanan pasukannya.

Ketika ditanya tentang kekalahan pasukannya terhadap Arsenal, Van Dijk mengatakan bahawa punca masalah yang berlaku adalah rasa kurang yakin yang ada di kalangan pemain dan pada dirinya sendiri.

“Keyakinan adalah sesuatu yang memainkan peranan, tapi kau tahulah, kita semua ni manusia biasa dan kadang kala kita perlukan secebis keyakinan pada sesetengah waktu dan jika keyakinan kau tak berada di puncak, memang tak membantu pun sebenarnya,” ujar Van Dijk ketika ditemuramah oleh Sky Sports.

“Macam aku cakap sebelum ni lah, setiap manusia dalam apa juga pekerjaan yang dilakukan memerlukan secebis keyakinan untuk beraksi di pentas tertinggi. Kalau kau tak menang di tahap tinggi seperti yang pernah kau kecapi, maka keyakinan tu akan pudar tapi kita tahu bahawa ini boleh diubah, kita kena kerja keras,” tambahnya lagi.

Pertemuan menentang Haaland yang telah menjaringkan 20 gol dalam 13 perlawanan pada musim ini mungkin bukanlah satu situasi yang ideal bagi Van Dijk pada waktu ini tetapi bagi Ferdinand, perlawanan seperti inilah yang diperlukan oleh pertahanan Liverpool tersebut untuk mengembalikan keyakinannya.

“Satu peluang yang besar buat Liverpool,” ujar Ferdinand kepada BT Sport sebelum pertemuan antara The Reds menentang Rangers pada hari Rabu.

“Aku pernah amggap perlawanan begini di kala kami sedang mendap dan lepas tu datang pula perlawanan besar, kau patut fikir bahawa ini adalah waktu yang terbaik. Ini yang patut Liverpool fikir.

“Ini adalah masanya buat Virgil van Dijk untuk beraksi dan menutup mulut beberapa orang. Orang dah mula persoalkan keupayaan dia sekarang ni, dulu dia macam tak terkalah.

“Sekarang pemain terbaik di atas muka bumi, pemain yang paling sensasi, Haaland, datang ketuk pintu rumah kau. ‘Aku akan sekat dia, tambat dia’.

“Lepas tu secara mendadaknya perubahan akan berlaku dan keyakinan akan kembali dan semua orang kembali hidup seperti sedia kala,” ujar Ferdinand.

Prestasi Haaland sememangnya digeruni dan ditakuti oleh kebanyakan pasukan pada hari ini. Kalau tak percaya, cuba tanya Manchester United. Pasti mereka masih terkenang dan terbayang kehancuran yang dibawa oleh Haaland ketika City membelasah United enam gol berbalas tiga, dengan Haaland mencipta hatrik selain memberikan bantuan gol kepada Phil Foden.

Disebabkan kehebatannya juga, seramai dua juta rakyat British telah menandatangani petisyen supaya Haaland diharamkan daripada terlibat dalam sukan bola sepak kerana ini tidak adil bagi mana-mana pasukan yang melawan City.

Sumber : Mirror

BACA:  Adrien Rabiot Sangat Berminat Mahu Sertai Liverpool Pada Musim Panas Ini