Penasihat Kehormat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berharap pengendali baharu Velizar Emilov Popov mampu memperagakan magisnya dengan membantu pasukan itu menewaskan Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.
Beliau yang lebih dikenali dengan Dr Vida berkata, pemerhatiannya sejak Popov mengambil alih tugas daripada K Devan sejak Khamis lalu terdapat lonjakan dari segi corak permainan pasukan dan yakin PQPTRW dapat membenam Selangor.
“Saya optimis segala kepincangan dan kelemahan dapat diatasi Popov dengan mengadunkan ramuan berbisa dengan taktikal yang sedia ada.
“Sebagai tanda sokongan saya akan hadir ketika perlawanan antara Kelantan dan Selangor di Stadium Shah Alam. Saya juga berharap tiada lagi masalah atau igauan kekalahan lepas mengganggu fokus pemain.
“Malah dengan adanya pemain tempatan yang terbaik dan hebat tidak mustahil PQPTRW dapat menundukkan Selangor di laman keramat lawan,” katanya. Sementara itu, pemain PQPTRW ternyata gembira dengan corak latihan Popov dan yakin mereka mampu menyesuaikan diri walaupun tempohnya bersama jurulatih kelahiran Bulgaria itu singkat.
Penyerang, Mohd Nor Farhan Mohammad, berkata cara latihan Popov boleh memberi impak positif kepada pemain dan menegaskan dia serta rakan sepasukan tidak mempunyai masalah menyesuaikan diri.
“Saya yakin kehadiran Popov akan membentuk PQPTRW berwajah baharu dan menjadi lebih mantap dengan corak latihan yang memberangsangkan pemain.
“Popov menerapkan jangka masa latihan selama satu setengah jam bagi setiap sesi yang dapat meningkatkan lagi keupayaan pemain,” katanya.
Indra Putra Mahayuddin pula menyifatkan Popov sangat mementingkan disiplin terutama ketepatan masa dan ia sangat berguna bagi membentuk pasukan yang mantap.
“Saya nampak semua pemain selesa dengan teknik kendalian Popov dan boleh fokus dengan baik setiap kali sesi latihan diadakan.
“Saya yakin akan ada perubahan positif dalam perlawanan Selangor malam ini,” katanya.
Sumber : Berita Harian