Video Siri Dokumentari Sadio Mane: Made In Senegal

Kisah kebangkitan Sadio Mane dari seorang anak kampung di Senegal menjadi hero bersama pasukan Liverpool akan ditayangkan tidak lama lagi.

Perjalanan karier Mane sangat mengagumkan dan sungguh memberi inspirasi kepada semua penonton.

Mane membesar di sebuah perkampungan di Bambali dan dengan kerja keras serta semangat yang membara beliau kini sudah menjadi bintang terkenal di dunia.

Sadio Mane turut terkenal dengan sifat terpuji dan merendah diri dan selalu terlibat dengan aktiviti kebajikan dan kemasyrakatan.

Dalam satu siri dokumentari berkisar tentang perjalanan kariernya, Mane mendedahkan bahawa tiada siapa pernah percaya beliau mampu berada ditahap sekarang.

“Semua orang anggap saya tidak betul.”

Jelas Mane dalam dokumentari, Sadio Mane: Made In Senegal.

“Bila saya cerita kepada ibu saya tentang minat saya untuk menjadi pemain bola sepak terkenal, ibu saya berfikir bahawa saya sudah gila. Bagi dia itu cuma impian semua anak kecil.”

Perjalanan karier Sadio Mane bukan semudah seperti yang dijangka. Hampir setiap hari beliau didedahkan dengan hal negative yang menganggap dirinya tidak akan pernah berjaya dalam sukan bola sepak.

Menurut penduduk kampungnya, sedangkan kanak-kanak yang berasal dari bandar yang dilengkapi dengan arus kemodenan pon tidak mampu untuk berjaya apa lagi beliau seorang anak pendalaman.

“Tiada siapa dalam keluarga saya mahu melihat saya menjadi seorang pemain bola sepak profesional.”

Jelas Mane lagi.

Mane kemudiannya membuat keputusan untuk melarikan diri meninggalkan kampungnya lalu pergi menuju ke ibu kota, Dakar, Senegal.

Beliau pergi ke Dakar semata-mata untuk mengikuti sesi latihan dan pemilihan pencarian bakat bola sepak.

Setelah melalui ranjau berduri, Mane akhirnya berjaya mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang pemain bola sepak handalan dunia.

“Semua orang kenal saya melalui sukan bola sepak, tetapi tidak ramai yang tahu keperitan saya dalam mencapai kejayaan seperti sekarang.”

Jelas Mane tentang kandungan yang terdapat dalam siri dokumentarinya.

“Sangat sukar untuk saya menjelaskan bertapa bangga dan bertapa motivasinya saya rasa bila pulang ke kampung halaman saya sekarang.”

“Semua orang menunjukkan rasa sayang kepada saya dan mereka sungguh bahagia melihat kejayaan saya sekarang.”

“Penghargaan dari mereka buat saya terharu dan saya rasa sangat bersyukur dengan apa yang sudah saya kecapi sekarang.”

Di dalam siri dokumentari itu turut memaparkan bagaimana kanak-kanak diperkampungan Mane bermain bola sepak hanya dengan menggunakan batu dan tin sebagai pengganti bola.

Mane melalui kesukaran dan keperitan dalam usaha untuk menjadi pemain bola sepak dengan penuh ketabahan dan semangat juang yang tinggi.

Beliau kehilangan ayahanda tercintanya ketika berusia tujuh tahun kerana serangan penyakit yang mendadak.

Ketika Mane tiba di Perancis untuk menjalani latihan bersama Metz, beliau menghadapi kesukaran untuk serasi dengan cuaca sejuk disana.

Selain masalah cuaca, Mane turut mengalami kecederaan otot yang menyebabkan beliau sempat berfikir bahawa perjalanan kariernya di Eropah sudah berakhir.

“Keazaman dan semangat saya sudah mula membara sejak dari hari pertama saya di sana lagi.”

“Saya rasa susah untuk beradaptasi dengan cuaca sejuk di sana tetapi saya tidak peduli semua itu, saya mahu berjaya.”

Mane selepas bersama Metz beliau telah menunjukkan kecemerlangannya bersama pasukan Red Bull Salzburg dan kemudian Southampton sebelum cemerlang bersama Liverpool.

“Saya membesar dengan perasaan terlalu cintakan bola sepak, itu saja pekerjaan yang saya nampak selain dari hobi sendiri, saya yakin saya akan berjaya dan boleh membantu orang kampung serta keluarga saya.”

Mane telah membina sekolah dikampungnya dan tidak lupa asal-usul beliau lalu menabur bakti kepada penduduk kampung selepas berjaya.

Selain sekolah, Mane turut membina lapangan bola dan Masjid baru di kampungnya.

Untuk pengatahuan, Mane turut membina sebuah hospital di kampungnya kerana disana sebelum ini tidak pernah memiliki hospital sendiri.

Sejak dari kehilangan ayahnya dan menurut Mane kakaknya juga terpaksa bersalin dirumah kerana tiada hospital maka beliau nekad mahu membina sebuah hospital untuk masyarakat ditempatnya.

Proses pembinaan hospital sudah berjalan dan dijangkan akan siap dalam masa enam bulan dari sekarang.

“Setiap satu atau dua minggu mereka akan hantar video proses pembinaan hospital itu kepada saya, dan saya sangat gembira dengan kerja mereka.”

“Jadi mari kita lihat hasilnya enam bulan dari sekarang, saya harap semuanya berjalan seperti yang dirancang. Saya tidak sabar mahu melihat hospital pertama di kampung saya.”

Jelas Mane lagi.

Senegal sebelum ini tidak pernah memenangi kejuaraan Piala Negara Afrika. Pencapaian terbaik mereka sekadar menduduki tempat kedua pada tahun 2002.

Mane dan rakan sepasukannya berjaya menyamai rekod itu apabila mara ke perlawanan akhir Piala Negara Afrika tahun ini.

“Beraksi bersama Senegal dan Liverpool merupakan perkara yang sangat, sangat berbeza.”

“Untuk Senegal, berjuta rakyat dalam negara tidak pernah melihat pasukan kebangsaan menjulang Piala Negara Afrika. Sebab itu semangat mereka luar biasa.”

“Terutama untuk diri saya sendiri, ada antara mereka menganggap saya beraksi cemerlang bersama Liverpool tetapi tidak ketika bersama Senegal. Jadi pada saya itu sangat rumit untuk dijawab.”

“Tetapi saya tetap cuba untuk memahami situasi, saya dan rakan sepasukan akan berusaha semampu kami untuk mencapai kejayaan yang boleh menggembirakan semua orang.”

Mane telah membuktikan kebolehan beliau dalam berjaya mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang pemain bola sepak terhebat dunia.

Beliau juga telah membuktikan bahawa dirinya bukan lupa daratan dan terbuai dengan kemewahan dunia. Mane sentiasa berkhidmat untuk masyarakat di Senegal.

“Bola sepak bagi saya adalah kehidupan saya, dari kecil hanya bola sepak yang saya tahu dan apa yang saya mahu adalah untuk menjadi seorang pemain bola sepak.”

Kata-kata dari Mane dalam pembukaan video dokumentarinya, harapan beliau, semoga selepas ini, sekiranya ada bakat baru dari Bambali, mereka tidak perlu lalui kesukaran seperti apa yang Mane telah lalui sendiri.

BACA:  [VIDEO] Aksi 'Heroic' Sadio Mane Bantu Senegal Tumpaskan Mali