Video Yang Memperlihatkan Bagaimana Cemerlangnya Khabib Sebagai Seorang Jurulatih

Khabib Nurmagomedov berjaya meneruskan rentak kecemerlangan beliau sebagai seorang jurulatih, selepas beliau cemerlang membimbing petarung yang sedang meningkat naik, Islam Makhachev untuk menewaskan Thiago Moises.

Nurmagomedov kini mencatatkan rekod lima kemenangan tanpa kalah sebagai jurulatih, empat darinya merupakan kemenangan di dalam gelanggang Octagon ekoran kemenangan Makhachev di acara UFC Vegas 31.

Islam Makhachev mendominasi sepenuhnya pertarungan bertemu Thiago Moises dengan beliau berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang petarung handalan dalam kategori Lightweight UFC ketika ini.

Petarung berusia 29 tahun itu telah merekodkan lapan kemenangan bergaya secara berturut-turut dalam lapan perlawanan terakhirnya.

Beliau berjaya menewaskan Moises dengan menggunakan gerakkan submission pada pusingan keempat perlawanan mereka pagi tadi.

Islam Makhachev berjaya mempamerkan rentak pertarungan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika aksi kemenangan menewaskan Thiago Moises itu.

The Eagle, Khabib Nurmagomedov telah memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu kejayaan Islam, dengan beliau berdiri teguh di luar octagon untuk memberi dorongan dan semangat pada sahabatnya itu.

Khabib telah mengikuti jejak langkah arwah ayahnya, AbdulManap Nurmagomedov untuk menjadi seorang jurulatih yang berjaya.

Khabib membawa anak muridnya masuk ke arena

UFC telah berkongsi satu video yang memperlihatkan bagaimana Khabib memberi tunjuk ajar dan panduan kepada Islam dari luar gelanggang, dengan ia merupakan situasi yang sangat menakjubkan untuk ditonton.

Khabib jelas menerapkan gaya bertarung seperti yang sering diajar oleh ayahnya dengan beliau membimbing Islam Makhachev dari luar gelanggang.

Makhachev telah mencabar Rafael dos Anjos selepas kemenangan beliau menewaskan Thiago Moises di acara UFC Vegas 31 itu.

Walau bagaimanapun, bekas Juara dunia kategori lightweight, Khabib Nurmagomedov merasakan yang Islam sebenarnya mampu untuk menewaskan Dustin Poirier dan boleh menumbangkan Juara kategori 155 pound UFC ketika ini, Charles Oliveira.

β€œKetika kamu berusia 30 tahun, saya rasa mental kamu dan fizikal kemuncak kamu akan berada di tahap yang sama. 30, 31, 32 ini merupakan usia yang sempurna.”

β€œDan sekarang, Islam berada di tahap umur ini, dia ada rekod kemenangan yang hebat, dari segi mental, fizikal, kemampuan boxing dia, menendang, grappling dia, semuanya, saya rasa dia sedikit lebih ke depan berbanding mereka ini semua.”

β€œSeperti, saya betul-betul percaya yang dia boleh kalahkan Dustin Poirier. Mungkin Dustin akan sedikit kecewa, tapi saya betul-betul percaya dia boleh kalahkan Dustin Poirier. Dia boleh tumbangkan Charles Oliveira.”

β€œSaya tak rasa Charles boleh bermain dengan dia seperti ini, semuanya jiu-jitsu, pertahanan, saya tak fikir dia mampu. Saya betul-betul percaya Islam. Kita cuma perlukan sedikit masa. Kita hanya perlukan masa dan tiada masalah lain.”

Islam Makhachev turut mendedahkan hasratnya untuk bertarung dengan Tony Ferguson dan membuktikan yang petarung Amerika itu tidak berada di tahap yang sama dengan Khabib.

Petarung dari Rusia itu memiliki rekod 20-1 dalam MMA dan 9-1 bersama UFC, dan beliau ketika ini sedang dalam usahanya untuk mencabar bekas Juara interim lightweight UFC, Tony Ferguson.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas kejayaannya menewaskan Thiago Moises di pusingan keempat dalam perlawanan mereka di Las Vegas hari ini.

Selain mempunyai minat yang mendalam untuk bertarung dengan Michael Chandler dan Rafael Dos Anjos, Makhachev turut menegaskan yang beliau sangat mahu bertarung dengan Tony Ferguson.

β€œJika mereka semua mahu beri saya kesempatan untuk memilih, mari kita teruskan dengan Tony kerana kami ada sejarah yang menarik dengan dia.”

Jelas Islam Makhachev kepada media ketika temu bual selepas tamat perlawanan bersama ESPN.

β€œKhabib sepatutnya bertarung dengan dia lima ke enam kali sebelum ini. Mari selesaikan semua ini, kamu tahu. Saya akan habiskan semua ini. Saya akan tunjukkan yang Tony tidak berada di tahap yang sama seperti Khabib. Orang tak akan faham bagaimana tekanan Khabib rasa. Saya sendiri tak boleh jelaskan, tapi saya yakin kamu tahu semuanya.”

Ferguson merupakan salah seorang petarung senior dan antara yang terbaik dalam kategori 155 pound di UFC dan ramai yang percaya beliau calon terbaik untuk menewaskan Khabib Nurmagomedov pada ketika itu.

Kedua-dua petarung sudah pernah dijadualkan untuk bertarung sebanyak lima kali, namun dek kerana masalah kecederaan dan beberapa isu lain, pertarungan antara mereka tak pernah jadi kenyataan.

Khabib Nurmagomedov bersara pada Oktober tahun lalu selepas kejayaan beliau mempertahankan kejuaraan dunia miliknya bertemu Justin Gaethje.

Sementara Tony Ferguson pula masih aktif bertarung sehingga kini, namun aksi beliau sudah tidak sehebat seperti dahulu lagi.

Beliau telah mencatatkan rekod yang sangat teruk dengan mencatatkan tiga kekalahan secara berturut-turut dalam kesemua tiga perlawanan terakhirnya.

Petarung dari Dagestan itu sering dianggap sebagai calon pengganti Khabib Nurmagomedov dalam kategori Lightweight dan ia sememangnya sesuatu hal yang dirancang oleh arwah AbdulManap Nurmagomedov.

Makhachev sendiri tidak kisah dirinya disamakan dengan Khabib, bahkan beliau berbangga kerana dirinya dianggap bakal menjadi the next Khabib.

β€œJika ada seseorang yang kata saya hampir sama seperti Khabib, saya terima semua itu.”

Jelas Makhachev.

β€œSaya memang mahu jadi seperti Khabib, kamu tahu. Dia seorang lelaki yang hebat, dia Juara, dia ada duit yang banyak dan dia ada segalanya, tapi dia masih tetap seorang yang merendah diri.”

β€œDia datang ke U.S tanpa keluarganya. Dia duduk sini seketika, dua bulan dia bantu kami. Dia tak ambil duit, langsung tak ambil. Dia hanya datang dan buat segala-galanya.”

β€œKetika kami datang ke U.S, dia sewakan sebuah rumah besar untuk kami dan sediakan beberapa biji kereta untuk kami, dan tiada sesiapa antara kami bayar semua itu. Dia akan bayar semuanya. Saya tak boleh jelaskan tentang dia. Dia dah lakukan banyak perkara, tapi bukan semua orang tahu tentang itu.”

Sumber: SPORTbible

BACA:Β  Bekas Juara Dunia UFC Percaya Khabib Tak Layak Dianggap Petarung Terhebat Sepanjang Zaman