Memang tidak dapat dinafikan bekas kapten Manchester United, Nemanja Vidic merupakan antara pemain pertahanan terbaik dunia suatu ketika dahulu.
Vidic juga tergolong dalam senarai pemain pertahanan terbaik yang pernah bermain di Liga Perdana Inggeris. Pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson merupakan individu yang bertanggungjawab membawa masuk Vidic ke Old Trafford dan membentuknya menjadi antara pemain pertahanan terhebat dunia.

Gandingan Rio Ferdinand dan Vidic di bahagian pertahanan Red Devils sememangnya digeruni penyerang pasukan lawan kerana mereka saling melengkapi antara satu sama lain. Mana-mana penjaga gol yang beraksi di belakang gandingan Vidic dan Ferdinand tentu akan berasa selamat – tanya sahaja pada Edwin Van Der Sar.
Namun begitu pemain sehebat Vidic juga mempunyai pengalaman buruk ketika beraksi bersama Manchester United. Antara yang paling diingati adalah kegagalan beliau mengawal Fernando Torres dengan baik ketika United berhadapan dengan Liverpool.
Vidic sering kali ‘diayamkan’ Torres yang pandai bijak mencari peluang untuk memalukan Vidic di atas padang. Bekas pemain antarabangsa Serbia itu akhirnya menceritakan sebab mengapa beliau bergelut untuk merantai pergerakan Torres pada ketika itu.
“Fernando Torres merupakan pemain yang hebat. Pada masa itu, beliau mungkin penyerang paling hebat dalam Liga Perdana Inggeris. Beliau berjaya menjaringkan beberapa gol ketika menentang Manchester United.”

“Di Liga Perdana Inggeris, saya juga mempunyai beberapa perlawanan yang bagus menentang Didier Drogba. Tetapi kadang kala ada juga perlawanan yang buruk.”
“Minggu ini saya bermain baik menentang Torres, tetapi pada perlawanan seterusnya saya beraksi buruk menentang beliau. Itulah Liga Perdana Inggeris.”
“Anda tidak akan sentiasa berada pada tahap yang terbaik setiap minggu. Sebab itulah saya suka dengan Liga Perdana Inggeris.”
“Minggu ini anda berhadapan dengan pemain kuat seperti Drogba, dan selepas itu anda akan berhadapan dengan pemain seperti Torres dan Sergio Aguero.”
"Why did you have so much trouble with Fernando @Torres?"
Nemanja Vidić has the perfect answer to @richardajkeys' brave question! #beINPL #MUFC LFC pic.twitter.com/reHSWEqhFq
— beIN SPORTS (@beINSPORTS_EN) November 11, 2018
“Jika peminat melihat saya secara dekat, mereka akan berkata, ‘Saya ingat kamu lebih besar’. Tetapi yang sebenarnya, saya bukanlah besar sangat. Cuma saya memberikan segala yang saya ada ketika membuat terjahan.”
“Sebab itulah saya tidak mahu menjadi ‘besar’ kerana saya tahu saya bakal berhadapan dengan pemain seperti Torres dan Aguero. Saya tidak meluangkan masa terlalu lama di gym kerana saya perlu bersedia untuk menghadapi mereka.”
Vidic: “To be honest, in the future, I would like to be the manager (of Manchester United).” #mufc [beIN] pic.twitter.com/fyDj8Bcys4
— United Xtra (@utdxtra) November 11, 2018
Vidic menyertai United dari Spartak Moscow pada tahun 2006 dan bermain di kelab tersebut sehingga tahun 2014. Beliau membuat lebih 200 penampilan sepanjang beraksi dengan Red Devils sehingga diangkat menjadi pemain kegemaran peminat.
Selepas itu, beliau menyertai Inter Milan dan bermain selama dua musim sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2016.