Wenger Akui Terluka Dengan Perpecahan Yang Wujud Dalam Kalangan Peminat Arsenal

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui perpecahan yang wujud di kalangan peminat Arsenal amat sukar untuk dilihat tetapi faktor keletihan tidak mempengaruhi sama sekali keputusannya untuk meninggalkan Arsenal.

Pengurus berusia 68 tahun itu menggemparkan dunia bolasepak apabila mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan pada hujung musim ini dan mengakhiri pertalian 22 tahun bersama The Gunners.

Selamat tinggal Emirates.

Perletakan jawatan Wenger turut didorong oleh kritikan dan bantahan berterusan daripada segelintir peminat Arsenal yang mahu beliau berundur kerana pencapaian pasukan yang mengecewakan beberapa tahun kebelakangan ini.

Dalam beberapa perlawanan terakhir di tempat sendiri, bilangan penyokong yang hadir untuk menyaksikan perlawanan merudum dengan teruk dipercayai sebagai tanda protes terhadap prestasi pasukan yang mengecewakan.

Apabila ditanya adakah beliau lega untuk meninggalkan jadual padat sepanjang bergelar pengurus Arsenal, Wenger mendakwa faktor keletihan bukan punca utama pengundurannya.

“Tidak, saya tidak berasa letih. Secara peribadi, saya percaya kelab ini lebih dihormati di seluruh dunia berbanding di England.”

“Peminat tempatan kami tidak menunjukkan sifat bersatu padu yang saya mahu lihat dan say agak terluka dengan tindakan mereka. Ini kerana kelab ini sangat dihormati di luar sana dan secara keseluruhannya, imej Arsenal tidak dicerminkan dengan begitu baik dalam cara yang saya tidak begitu gemari.”

10 trofi sepanjang 22 tahun bergelar pengurus Arsenal

Dalam perlawanan yang berlangsung semalam, Arsenal berjaya bangkit dari kekalahan kepada Newcastle tempoh hari dengan mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas West Ham. Ia juga merupakan perlawanan pertama Arsenal selepas Wenger mengumumkan perletakan jawatan beliau sebagai pengurus pasukan.

Gol pembukaan Arsenal dijaringkan oleh Nacho Monreal tetapi disamakan oleh penyerang West Ham, Marko Arnautovic tidak lama kemudian.

Disaat perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Arsenal berjaya merentap semangat West Ham dengan menjaringkan 3 gol dalam 10 minit terakhir perlawanan.

Aaron Ramsey menjaringkan gol kedua Arsenal pada minit ke-82 disusuli dengan jaringan Alexander Lacazette 3 minit kemudian. Bekas pemain Lyon itu sempat menambah akaun gol beliau musim ini dengan jaringan kedua peribadi perlawanan pada minit ke-89.

Dekat tapi jauh. Hanya 18 minit memisahkan Arsenal dengan trofi teragung Eropah

Walaupun mengharungi kempen Liga Perdana Inggeris yang mengecewakan, Arsenal masih lagi berpeluang untuk memenangi sesuatu musim ini dimana mereka bakal bertemu Atletico Madrid di peringkat separuh akhir Europa League awal pagi Jumaat nanti.

Ia bakal menjadi hadiah perpisahan terbaik buat Arsene Wenger sekiranya pemain Arsenal berjaya layak ke Final dan merangkul trofi tersebut.

Untuk rekod, Wenger tidak pernah memenangi sebarang trofi di peringkat Eropah sepanjang bergelar pengurus Arsenal. Paling hampir adalah ketika mereka tewas di tangan Barcelona dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada musim 2005/2006.

BACA:  Doktor Fisio Baru Arsenal Kelihatan Seperti Fighter UFC