Wenger ‘Kagum’ Masa Depannya Bersama Arsenal Sering Menjadi Fokus Pihak Media

Arsene Wenger jelas tidak risau dengan kedudukannya selaku pengurus Arsenal dan turut ‘kagum’ dengan mereka yang berminat untuk mengetahui masa depannya di Emirates.

Dalam satu sidang media menjelang pertemuan menentang Manchester City malam esok, Wenger dilihat berada dalam mood yang tidak berapa baik selepas kerap kali ditanya soalan mengenai masa depannya sebagai pengurus Arsenal.

Asyik2 aku yang dipersoal. Cuba tanya Pochettino dan Klopp apa yang mereka menang ?

The Gunners berdepan kritikan dari segenap penjuru selepas menampilkan persembahan yang tidak bermaya ketika tewas 3-0 di tangan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala Carabao hujung minggu lalu.

Dilaporkan terdapat usaha dari beberapa individu dalam pengurusan tertinggi Arsenal yang mahu musim ini menjadi musim terakhir Wenger selaku pengurus pasukan.

Walaubagaimanapun, kontrak Wenger di Emirates hanya akan tamat pada penghujung musim hadapan selepas menandatangani kontrak baru musim panas lalu.

Antara pengurus ternama yang hangat dikaitkan untuk menggantikan tempat Wenger adalah jurulatih pasukan kebangsaan Jerman, Joachim Low dan Carlo Ancelotti.

Cukup la bos. Bagi aku pulak try Arsenal nii

Bekas pemain Arsenal yang kini menjadi pembantu Pep Guardiola di Manchester City, Mikel Arteta antara nama yang sedang dipertimbangkan walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pengurusan.

Walaupun posisinya menjadi perhatian pihak media minggu ini, Wenger berkata fokus beliau hanya pada pertemuan Manchester City malam esok.

Ini bukanlah kali pertama masa depan Wenger menjadi persoalan kerana sepanjang dua dekad berada di England, namanya sering menghiasi muka belakang surat akhbar sama ada dikaitkan dengan posisi di kelab lain ataupun dipecat oleh Arsenal.

“Kedudukan saya adalah kedudukan saya sekarang. Sejujurnya, ia merupakan perkara terakhir yang saya risaukan ketika ini. Buat masa sekarang, fokus saya hanya untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan malam esok.”

“Saya hanya beritahu kamu [pihak media] apa yang berada dalam fikiran saya iaitu perlawanan seterusnya. Saya tidak akan bertanya soalan kepada kamu [wartawan] sama ada pekerjaan kamu akan dinilai pada penghujung musim nanti.”

“Kerja saya adalah untuk memberikan yang terbaik. Kerja saya bukan untuk menilai. Jika pihak media mahu lebih kepastian, saya boleh ulang kembali jawapan yang sama.”

21 tahun aku duduk Arsenal, soalan sama je yang ko tanya. Bosan

“Adakah kamu [pihak media] tidak dapat tidur jika posisi saya selaku pengurus Arsenal berada dalam bahaya ? Perlawanan Khamis ini lebih penting dari itu.”

“Saya berasa kagum ditanya soalan yang sama berulang-ulang kali. Saya sudah berada di sini selama 21 tahun dan menolak tawaran lumayan dari seluruh dunia untuk menghormati kontrak saya bersama Arsenal.”

Apabila ditanya sama ada beliau adalah pengurus yang lebih bagus dari 5 tahun yang lepas, Wenger berkata beliau cuba sedaya upaya untuk menjadi pengurus yang lebih baik setiap hari.

“Bagaimana kamu menilai perkara tersebut ? Hanya berdasarkan keputusan atau kualiti kerja ? Masalah utama bagi seorang pengurus adalah bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik dari pasukan. Bagaimana kamu boleh menilai perkara tersebut ?”

“Saya cuba untuk menjadi pengurus yang lebih baik dari 5 tahun yang lepas dan saya berusaha keras untuk mencapainya. Saya faham jika kamu [pihak media] tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut. Tetapi saya meletakkan komitmen dan kerja keras untuk menjadi lebih bagus.”

BACA:  Manchester City & Wigan Dikenakan Hukuman Kerana Gagal Mengawal Pemain