West Ham ‘Reject’ Tawaran Dan Syarat Bonus Mengarut Arsenal Untuk Declan Rice

West Ham dilaporkan telah menolak tawaran kedua Arsenal untuk mendapatkan Declan Rice bernilai £90 juta dan tetap dengan pendirian mahukan bayaran £100 juta untuk pemain itu.

Arsenal dikatakan telah menawarkan tunai sebanyak £75 juta dan tambahan £15 juta di dalam bentuk bayaran bonus yang akan dibayar kemudian.

Walaupun tidak dijelaskan bagaimana bayaran bonus tersebut akan dibayar, ia dipercayai berkaitan dengan pencapaian Rice bersama Arsenal – berjaya muncul juara Premier League atau UEFA Champions League.

Bagaimanapun West Ham gagal diyakinkan dengan syarat tersebut menyebabkan kelab tersebut terus menolak tawaran daripada Arsenal untuk Declan Rice.

Sebelum ini Arsenal dijangka akan memberikan tawaran minima £90 juta dan tambahan bonus yang memnbenarkan angka tersebut mencecah £100 juta.

Jangkaan tersebut bagaimanapun meleset menyebabkan bidaan tersebut ditolak bulat-bulat.

Tawaran pertama Arsenal untuk Rice sebelum ini bernilai £80 juta dan turut ditolak oleh West Ham.

Rice kini sedang bercuti setelah melalui 61 perlawanan pada musim lalu bersama West Ham dan masih lagi dijangka akan bergelar pemain Arsenal menjelang penghujung bulan ini.

Terma peribadi dengan pemain itu telah dicapai dan Arsenal dilaporkan telah bersetuju untuk membayar Rice dengan gaji £200,000 seminggu. Kontrak akan ditandatangani sebaik sahaja Arsenal berjaya mencapai persetujuan dengan West Ham.

West Ham sebenarnya turut berniat menjadikan penjualan Rice sebagai ‘perang bidaan’ dengan Man City turut dikaitkan dengan pemain itu.

Namun pemain tengah England itu dikatakan telah membulatkan tekad untuk menyertai Arsenal.

Dalam perkembangan lain Arsenal turut dikatakan telah menambah baik tawaran untuk penyerang Chelsea, Kai Havertz dengan tawaran £60 juta.

Tawaran terbaru ini turut datang dengan pakej bayaran tunai awal berjumlah £55 juta dan tambahan bonus bernilai £5 juta.

Sebelum ini Chelsea menolak tawaran £50 juta oleh Arsenal untuk pemain antarabanga Jerman itu, namun perbincangan tersebut diteruskan untuk membenarkan kedua-dua kelab mencapai kata sepakat.

Havertz dilaporkan akan menerima kontrak jangka masa panjang dengan bayaran minima £210,000 seminggu.

Kini ia terpulang kepada Chelsea untuk menerima tawaran tersebut yang sebelum ini dikhabarkan meletakkan harga £70 juta-£75juta untuk penyerang versatile itu.

BACA:  Unai Emery Hormat Keputusan Ozil, Percaya Arsenal Akan Bantu Ozil Harungi Waktu Sukar Ini