White Menganggap Conor McGregor Bersara Kerana Merajuk Bukan Bosan Dengan UFC

Presiden UFC, Dana White telah mendedahkan bahawa Conor McGregor sebelum ini pernah diberi peluang untuk bertarung di acara UFC 249, namun beliau telah menolak tawaran tersebut.

Petarung penuh kontroversi, Conor McGregor baru-baru ini telah mengumumkan persaraannya daripada dunia sukan pertempuran.

McGregor juga telah membuka mulut tentang alasan utama mengapa beliau memilih untuk bersara awal dari dunia UFC.

“Sukan ini sekarang membuatkan saya semakin hilang keseronokkan.”

Jelas McGregor kepada Ariel Helwani(ESPN).

“Kamu menunggu, menunggu dan terus menunggu, tetapi tidak ada apa pun yang berlaku.”

“Sudah tidak ada apa yang boleh menaikkan semangat serta membangkitkan emosi saya lagi, saya sudah tidak teruja dengannya lagi.”

“Saya tidak tahu bagaimana rasanya beraksi tanpa penonton. Saya sendiri tak faham apa itu semua. Apa yang pasti saya sudah tidak seronok.”

McGregor turut mengkritik UFC kerana mereka selalu gagal dalam urusan penjadualan petarungan. Hal tersebut menyebabkan petarung terpaksa menunggu lama untuk giliran mereka tiba.

Beliau turut mendakwa UFC tidak pandai menyusun jadual mereka dengan lebih bagus sehingga mereka terpaksa mengarahkan Justin Geathje menggantikan tempat Khabib Nurmagomedov.

“UFC sepatutnya bertindak lebih aktif. Tetapi mereka terlalu banyak membuang masa. Mereka cuma mahu menunjukkan kuasa sahaja.”

Menurut White, sebelum ini McGregor sudah pun diberi peluang untuk tampil sebagai pengganti kepada Khabib Nurmagomedov bagi menghadapi Tony Ferguson.

Akan tetapi, McGregor menolak tawaran tersebut dan meminta untuk mengadakan perlawanan antara dirinya menentang Justin Gaethje.

“Dia mahukan pertarungan menentang Gaethje. Namun pada ketika itu, Justin Geathje baru saja diberikan arahan untuk menggantikan Khabib Nurmagomedov bertemu Tony Ferguson.”

Jelas White kepada ESPN.

“Kemudian Gaethje berjaya menewaskan Tony Ferguson. Sebenarnya sebelum ini Conor juga pernah diberikan peluang untuk menggantikan tempat Khabib atau Tony.”

“Tetapi dia berkata, ‘saya bukan calon pengganti, saya tidak akan melakukannya.’ Dia mungkin berada di posisi itu pada hari ini jika bersetuju untuk bertarung.”

“Namun dia sendiri menolak untuk melakukannya, tetapi Gaethje mahu melakukannya, dan Gaethje memperolehinya.”

McGregor adalah salah seorang nama besar dalam MMA dan kali terakhir bertarung pada Januari lalu apabila beliau dengan mudah menewaskan Donald Cerrone di UFC 246.

Walaupun Conor McGregor merupakan salah seorang petarung yang menjadi daya penarik jenama UFC, White enggan tunduk dengan permintaan aneh-aneh dari beliau.

White sendiri mengatakan bahawa bukan masalah sukan ini tidak menarik atau membosankan, tetapi sebenarnya kekecewaan adalah sebab utama mengapa McGregor memilih untuk bersara.

“Conor McGregor jelas sangat kecewa sekarang kerana,… Lihat sajalah apa yang telah terjadi.”

Tambah White lagi.

“Lihat apa yang sedang kita usahakan. Kita sedang berusaha untuk menyiapkan pulau Yas, ini kerana hal yang paling sukar pada ketika ini ialah untuk mendapatkan ramai orang dari seluruh pelusuk dunia.”

“Kita dalam bisnes global. Kami satu-satunya sukan yang masih bersiaran langsung ketika ini. Jika saya hanya melakukannya di Amerika Syarikat, maka saya hanya akan menghabiskan bakat dari negara ini sahaja.”

“Sekarang kita sudah ada Pulau Yas yang sedang disiapkan. Masalah ini berpunca dari Conor yang sebenarnya kecewa dan beliau merajuk sebab tidak mendapatkan apa yang beliau mahu. Dia meminta sesuatu yang mustahil untuk saya penuhi. Itu sahaja.”

BACA:  UFC News: McGregor Mendermakan $1 Juta Kepada Sebuah Yayasan Amal