Xhaka Menganjing, ‘Pegang Telor’ Di Depan Bangku Simpanan Serbia

Granit Xhaka nyata mencari geruh apabila berhati kering lagi penuh selamba ‘memegang telor’ yang merupakan satu isyarat yang tidak sopan sebagai tanda menganjing di depan bangku simpanan pasukan Serbia.

Serbia, Switzerland dan Brazil sekali lagi berada dalam kumpulan sama seperti Piala Dunia 2018 kecuali Cameroon yang menggantikan Costa Rica.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan G yang berlangsung di 974 Stadium itu Switzerland menang 3-2 menentang Serbia untuk menempah tempat ke pusingan 16 terakhir.

Pemain sado harapan Switzerland, Xherdan Shaqiri membuka jaringan pada minit ke-20, dengan Aleksandar Mitrovic menyamakan kedudukan dengan tandukan cemerlang.

Dusan Vlahovic kemudian meletakkan Serbia di depan, dengan Breel Embolo menjadikan kedudukan 2-2 sejurus sebelum rehat dalam masa 45 minit yang mendebarkan.

Switzerland kembali mendahului menerusi Remo Freuler, yang menjadikan kedudukan 3-2 sejurus selepas rehat dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Tetapi tindakan Xhakalah yang menarik semua perhatian daripada pertembungan Kumpulan G apabila dia dirakam meraih kejantanannya di bangku simpanan Serbia.

Granit Xhaka menunjukkan isyarat itu pada minit ke-65, menimbulkan kemarahan pemain dan staf di bangku simpanan Serbia apabila beberapa pemain bertindak balas.

Beberapa pemain di bangku simpanan Serbia malah melangkah ke padang apabila pengadil perlawanan mengarahkan mereka keluar dari padang.

Pengurus Serbia, Dragan Stojkovic berlari ke padang untuk menarik pemainnya dari Xhaka manakala beberapa pemain Switzerland cuba menenangkan mereka.

Dan ini bukanlah kali pertama Xhaka cuba menunjukkan kejantanannya kepada Serbia kerana dendam peribadi yang panjang kisahnya.

Di Piala Dunia 2018, Badan bola sepak dunia, FIFA telah membuka kes disiplin terhadap dua pemain Switzerland, Granit Xhaka dan Xherdan Shaqiri berhubung keraian penuh kontroversi sejurus menjaringkan gol ketika menang ke atas Serbia 2-1.

Xhaka merupakan pemain Arsenal sejak tahun tahun 2016 manakala Shaqiri merupakan sebahagian daripada pasukan Stoke City yang mengalami relegasi beberapa musim lalu sebelum menyertai Liverpool.

Kedua-dua pemain ini mempunyai darah campuran Albania dan Kosovo tetapi memilih untuk bermain dengan Switzerland untuk karier antarabangsa mereka.

Xhaka dan Shaqiri masing-masing menjaringkan satu gol untuk membantu Switzerland meraih 3 mata ke atas Serbia bagi mencerahkan lagi peluang mereka untuk mara ke peringkat kalah mati Piala Dunia 2018.

Tetapi apa yang mencetuskan kontroversi adalah keraian menjaringkan gol yang dilakukan mereka berdua selepas berjaya menjaringkan gol.

Sebaik sahaja menjaringkan gol, mereka meletakkan kedua-dua tangan di bahagian dada untuk membentuk figura seperti helang, yang mana merupakan salah satu lambang yang ada pada bendera Albania.

Simbol ini menimbulkan kemarahan di kalangan segelintir warga Balkans yang kini menetap di Serbia. Sehingga ke hari ini, Serbia tidak mengiktiraf kemerdekaan Kosovo dan etnik Albania.

Dalam bola sepak, Kosovo adalah negara anggota yang ke 210, walaupun mendapat bantahan hebat Serbia dan Albania ketika proses undian dilakukan di Zurich pada bulan Mei 2016.

Disebabkan keadaan politik yang tegang antara Kosovo-Serbia-Albania, maka Kosovo tidak akan diletakkan bersama kedua-dua pasukan tersebut untuk perlawanan kelayakan Euro dan Piala Dunia bagi mengelakkan sebarang tragedi berlaku.

FIFA melarang sekeras-kerasnya sebarang tindakan berunsur politik dibawa ke dalam padang dan Switzerland mungkin menerima tindakan berhubung tindakan dua pemainnya ketika menentang Serbia.

Xherdan Shaqiri dilahirkan di Kosovo manakala ibu bapa Granit Xhaka merupakan warga Albania yang berasal dari Serbia.

Bapa Xhaka merupakan tahanan politik berikutan demonstrasi pelajar yang berlaku pada tahun 1968 di Yugoslavia bagi membantah tindakan kerajaan komunis di Belgrade.

Abang kepada Granit Xhaka, Taulant Xhaka juga seorang pemain bola sepak profesional dan bermain untuk Albania.

Dendam Xhaka kepada Serbia adalah berpunca dari campuran darah dalam tubuhnya dan apa yang terjadi kepada bapa dan negaranya membuatkan dendamnya tidak pernah padam.

Xhaka menjadikan bola sepak sebagai tempat untuk dia melepaskan apa yang terpendam kepada Serbia, dikepung 5 orang dan dicekik Xhaka tegak berdiri.

BACA:  Xhaka Dan Shaqiri Mungkin Dikenakan Hukuman Daripada FIFA