Zidane Naik Hantu Selepas Ditanya Tentang Mengapa Beliau Meninggalkan Real Madrid

Zinedine Zidane begitu bengang dan hilang sabar dengan wartawan yang bertanya kepadanya tentang mengapa beliau meninggalkan Real Madrid.

Legenda Perancis yang merasa terganggu dengan soalan dari wartawan itu bengang hingga menyatakan:

“Mari sini, biar saya bercakap dengan kamu tanpa ada kamera yang merakam.”

Siaran TV Sepanyol, Directo Gol berkongsi satu video yang menunjukkan pengurus dari Perancis itu sedang berjalan di tempat umum, dan beliau telah didatangi oleh pasukan media.

Salah sorang wartawan telah bertanya kepada Zidane adakah beliau meninggalkan Real Madrid dengan cara yang tidak diinginkan.

Zidane yang ketika itu sedang berjalan bersama keluarganya merasa terganggu dengan kehadiran media, ditambah pula selepas mendengar soalan seperti itu.

Beliau segera berpaling dan terus memarahi wartawan itu dengan hanya menggunakan nada perlahan, tetapi menggunakan ayat yang pedih dengan menganggap wartawan tersebut menanyakan soalan yang bodoh.

“Adakah kamu masih bertanya soalan yang bodoh sama seperti sebelum ini? Kerja kamu sungguh memalukan.”

Jelas Zidane dalam bahasa Perancis, dan diterjemahkan oleh SPORTbible.

“Ia sentiasa hal yang sama dengan kamu. Saya kenal kamu dan kamu kenal saya. Mari sini, biar saya bercakap dengan kamu tanpa kamera.”

Sukar untuk melihat Zidane sampai tahap hilang sabar seperti itu ketika berdepan dengan pihak media.

Walau bagaimanapun, ramai yang faham mengapa beliau bertindak sedemikian, memandangkan bekas pemain midfield Perancis itu sendiri pada ketika itu sedang bersama keluarganya.

Zidane memilih untuk meninggalkan Real Madrid pada penghujung musim lalu, dengan Los Blancos gagal menandingi Atletico Madrid dalam perebutan kejuaraan liga musim lalu.

Dalam satu surat terbuka yang ditujukan kepada penyokong Real Madrid dan diterbitkan oleh AS, Zidane menjelaskan yang beliau merasakan pimpinan kelab sudah tidak berharap padanya lagi dan kerana itulah beliau memilih untuk mengundurkan diri.

“Saya pergi, tapi saya tak membawa diri atau penat untuk menjadi jurulatih.”

Tulis Zidane.

“Pada Mei 2018, saya pergi kerana selepas dua tahun setengah, dengan pelbagai kemenangan dan kejayaan, saya rasa pasukan perlukan pendekatan yang baru untuk kekal berada di tahap yang tertinggi. Sekarang, semuanya berbeza.”

“Saya pergi kerana saya rasa kelab sudah tidak mempercayai saya lagi, atau takut untuk mendukung saya membina sesuatu untuk jangka masa pertengahan atau jangka panjang. Saya faham bola sepak dan saya tahu pengharapan yang diletakkan oleh kelab seperti Real Madrid. Saya tahu jika kamu gagal, kamu kena pergi.”

“Namun dengan ini, semua hal penting yang saya lakukan telah dilupakan, semua yang saya bina hari ke hari telah pun dilupakan, apa yang telah saya bawa dalam perhubungan antara saya dengan pemain, dengan 150 pekerja yang bekerja dengan saya dan semua pasukan.”

“Saya semula jadi dilahirkan untuk jadi pemenang dan saya di sini untuk menang Piala, namun apa yang lebih penting dari itu adalah semua orang, perasaan mereka, kehidupan mereka sendiri dan saya rasa perkara-perkara ini perlu diambil kira.”

Isi kandungan surat tersebut telah menimbulkan pelbagai persoalan dan Zidane tentunya belum bersedia untuk menjawab semuanya.

Namun, jangan sampai mengganggu masa beliau dengan keluarganya, apa lagi ketika beliau sedang berjalan bersama isterinya.

BACA:  Zidane: Semua Pemain Ternama Dunia Mahu Bermain Dengan Real Madrid, Termasuk Neymar