Ziyech Derma RM1.4 Juta Bonus Piala Dunia dan Dermakan Gaji Bersama Maghribi Sejak 2015

ziyech derma

Hakim Ziyech telah mendermakan kesemua bonus Piala Dunianya yang bernilai RM1.4 juta ($325,000) dan paling padu Ziyech mendermakan semua gaji ketika bersama pasukan kebangsaan Maghribi sejak 2015.

Pemain tengah Chelsea itu telah berkongsi rezeki dengan mendermakan semuanya wangnya itu kepada badan kebajikan, staff pasukan dan juga kepada orang-orang miskin.

Pemain berusia 29 tahun itu, pertama kali dipanggil untuk pasukan kebangsaan Maghribi pada tahun 2015 dan sejak itu dia tidak menyimpan satu sen pun, menurut wartawan bernama Khaled Beydoun.

Persatuan bola sepak Maghribi telah menjanjikan bonus lumayan jika Singa Atlas itu berjaya mara ke separuh akhir dan itulah yang dilakukan oleh Ziyech dan rakan-rakan.

Khaled Beydoun juga melaporkan bahawa bekas pemain Ajax itu bersedia untuk menderma RM1.4 juta ($325,000) bonus kejayaan Maghribi mara ke separuh akhir Piala Dunia dan semua wang itu akan diberikan kepada orang miskin di tanah airnya.

Menurut Arabic Post, adalah tidak tepat berita menyatakan bahawa Ziyech tidak pernah mengambail gaji ketika tugasan antarabangsa bersama pasukan Kebangsaan Maghribi.

Ini kerana gaji atau elaun bersama Maghribi adalah sama seperti pemain yang lain di mana Persatuan Bola Sepak Maghribi akan terus memindahkan wang ke akaun pemain.

Namun wang itu tidak digunakan oleh Ziyech sebagai perbelanjaan tetapi digunakan untuk kebajikan, biasanya Ziyech akan memberi wang kepada pengiring, pembawa beg dan pekerja pembersihan.

Jika merasakan jumlah yang diberikan sangat sedikit, Ziyech akan menggunakan wang dari gaji bersama kelab untuk ditambah dan perkara ini dilakukan sejak mendapat panggilan dari pasukan Maghribi.

Ziyech akan menyewa pesawat peribadi setiap kali dia dipanggil ke skuad negaranya dan dalam perjalanan dari London ke Afrika dia menjemput beberapa rakan sepasukannya.

Pemain Bayern Munich, Naseer Mazraoui yang merupakan kawan baik Ziyech yang telah lama bersama ketika di Ajax antara individu yang kerap dijemput Ziyech dengan pesawat peribadi.

Selain itu Hakim Ziyech juga telah dilaporkan menderma wang kepada kelab bola sepak amatur dan hospital di Maghribi.

Hakim Ziyech pernah membantu Kelab Sukan Al-Wafaa Al-Dariush, yang bermain dalam liga amatur Maghribi, dengan jumlah $50,000. Ini adalah sebagai tindak balas kepada rayuan yang dibuat oleh peminat kelab, selepas pasukan mereka mengalami krisis kewangan yang meruncing.

Pada 2018, Ziyech menderma satu juta dolar kepada pesakit kanser di Maghribi, sebagai tambahan kepada penglibatan kerja amalnya, Ziyech bersama-sama rakan sekerjanya dalam pasukan kebangsaan membantu keluarga miskin Maghribi, memandangkan krisis kewangan yang disebabkan oleh wabak Corona.

Ziyech juga pernah terlibat dalam usaha mengumpul dana membina masjid di Utrecht di Belanda yang telah dilancarkan oleh Noureddine Amrabat.

Hasilnya kempen kutipan derma itu menerima sambutan hebat dari rakya Maghribi di seluruh Eropah dan beberapa pemain juga turut menderma namun mahu nama mereka di rahsiakan.

Dan pada tahun 2020, Hakim Ziyech mengambil bahagian dalam inisiatif amal di platform media sosial, untuk menyumbang kepada pengumpulan derma untuk seorang wanita Turki muda yang sedang bergelut dengan atrofi otot tulang belakang.

Ziyech muncul dalam siaran langsung di “Instagram” dengan beberapa bintang pasukan bola sepak kebangsaan Maghribi. Seperti Noureddine Amrabat dan Zakaria Labeid, mereka menawarkan baju pasukan kebangsaan mereka untuk dijual atau menyumbang terus melalui akaun bank.

Pada 2019, dilaporkan bahawa Hakim menderma sejumlah besar kepada bekas pemain bola sepak Belanda Leon de Kogel, yang telah mengalami kemalangan kereta dan bergelut untuk mendapatkan pembayaran insurans.

De Kogel mengesahkan berita itu, dengan menyatakan:

“Bukan sahaja Ziyech pemain terbaik dalam Eredivisie [liga bola sepak Belanda], dia juga seorang yang berjiwa besar.”

Menurut Beydoun lagi, Ziyech juga menderma melalui badan amal rahsia, dengan menyebut bahawa:

“Tangan kirinya tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya.”

Kebanyakan kerja amal yang dilakukan oleh Ziyech adalah rahsia kerana mahu menunaikan wasiat ibunya dengan membantu golongan yang susah.

BACA:  Gol Timo Werner Dalam Debut Berpunca Dari Hantaran Cantik Hakim Ziyech