“Ye Ke Masalah Lutut?” – Ziyech Persenda Alasan Perpindahan Tinggalkan Chelsea Gagal

Pemain sayap Chelsea Hakim Ziyech akhirnya membuka mulut dan memberikan respon seolah-olah mempersoalkan punca yang diwar-warkan mengapa perpindahan ke Al Nassr gagal direalisasikan.

Ziyech sebelum ini begitu hampir untuk berpindah ke Saudi Pro League, sebelum Al Nassr mengubah fikiran selepas mendapati lutut Ziyech mempunyai masalah selepas pemeriksaan perubatan dilakukan,

Pada ketika itu Ziyech dijangka akan menyertai Cristiano Ronaldo daripada Chelsea dengan nilai perpindahan £8 juta.

Ini menyebabkan pemain itu kempunan untuk mengikuti bekas rakan sepasukannya, N’Golo Kante, Kalidou Koulibaly dan Edouard Mendy ke negara Timur Tengah itu.

Sebenarnya ini bukan kali pertama Ziyech dikaitkan dengan perpindahan dari Stamford Bridge.

Pemain antarabangsa Maghribi itu sebelum ini turut dikaitkan dengan perpindahan ke Paris Saint-Germain pada hari terakhir jendela pada Januari lalu.

Perpindahan tersebut bagaimanapun tidak menjadi kenyataan setelah dokumen berkaitan gagal disiapkan pada saat akhir.

Walaupun hampir meninggalkan The Blues, Ziyech terus beraksi bersama Chelsea pada Februari sebelum melakukan 10 penampilan lagi sehingga tamat saingan musim lalu.

Dan selepas sekali lagi gagal meninggalkan Stamford Bridge, Ziyech tampil dengan mesej yang cukup tajam apabila laporan mengatakan dia berhadapan dengan isu kecederaan lutut.

Sambil berkongsi foto kedua-dua belah kakinya, Ziyech turut menulis: “Ye ke masalah lutut?”. Mesej tersebut turut disertakan dengan emoji ketawa seolah-0lah mempersendakan alasan kegagalan perpindahannya itu.

BACA:  Al Nassr Sudah Hubungi Ejen Kevin De Bruyne