Pandangan Ziyech Tentang Keputusan Morocco Mengetepikan Beliau Dari AFCON

Pemain sayap Chelsea, Hakim Ziyech menegaskan yang beliau tidak kisah disingkirkan dari skuad kebangsaan Morocco untuk aksi saingan Piala Benua Afrika tahun ini.

Bintang berusia 28 tahun itu merupakan antara pemain paling berprofil tinggi dalam skuad Morocco, namun sayangnya beliau telah disisihkan dari skuad utama mereka untuk AFCON yang akan bermula bulan ini.

Saingan AFCON akan dilangsungkan bermula pada 9 Januari dan akan berakhir pada 6 Februari nanti dan ia akan diadakan di Cameroon.

Bekas pemain sayap Ajax itu tidak akan beraksi untuk skuad kebangsaannya si kejohanan kali ini dengan beliau sudah diketepikan sejak dari aksi perlawanan persahabatan bertemu Burkina Faso pada Julai lalu lagi.

Pengurus skuad kebangsaan Morocco, Vahid Halihodzic memutuskan untuk menyingkirkan Ziyech dari skuad kebangsaan Morocco dan keputusan beliau itu menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan peminat.

Halihodzic telah menuduh Hakim Ziyech sengaja berpura-pura mengalami kecederaan kerana mahu mengelak dari beraksi dalam perlawanan persahabatan bertemu Ghana pada Jun lalu.

Ketika ditanya tentang keputusan pengurus skuad kebangsaan Morocco yang mengetepikan beliau, Ziyech dengan mudah menjawab:

“Saya melakukan tugas saya dan saya berusaha memberikan yang terbaik semampu saya.”

Jelas Ziyech kepada beIN sports.

“Segala hal lain yang berlaku selain melibatkan hal berkait Chelsea bagi saya tidak begitu penting pada ketika ini.”

“Sejujurnya, pada ketika ini, saya tidak begitu peduli.”

Chelsea sebenarnya sangat bernasib baik kerana mereka tidak kehilangan Ziyech sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Bahkan The Blues sendiri tidak menjangka yang mereka akan masih mampu untuk terus menggunakan khidmat Ziyech ketika saingan AFCON sedang berjalan.

Ia jelas sekali satu hal yang sangat positif untuk skuad Chelsea, dan sedikit sebanyak hal itu melegakan Thomas Tuchel yang pening kepala kerana ramai pemainnya yang disahkan positif C0V-19 dan ada juga yang dibelenggu masalah kecederaan.

Pemain sayap mereka itu telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika membantu Chelsea menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 awal pagi tadi.

Beliau jelas sekali merupakan pemain terbaik di atas padang dalam membantu Chelsea menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 dalam aksi leg pertama peringkat separuh akhir saingan Carabao Cup di Stamford Bridge.

Penyerang kontroversi Chelsea, Romelu Lukaku juga turut sudah kembali menyertai skuad utama Chelsea, selepas isu temu bual panas beliau bersama Sky Sports Italia dianggap selesai oleh pihak kelab.

Lukaku mengeluarkan kenyataan maaf kepada para penyokong Chelsea kerana mengeluarkan segala kenyataan dungu dalam temu bual tersebut, dan beliau turut berjanji hal sama tidak akan berulang lagi.

Ziyech sendiri turut percaya yang isu tersebut telah selesai dan tidak perlu dibahaskan lagi dengan beliau menyatakan bahawa:

“Dia sudah lakukan dalam temu bual itu, dan saya rasa lebih baik biarkan saja hal itu.”

Jelas Ziyech.

“Kita sebagai pemain dan rakan sepasukan akan terus sokong dia selepas apa yang berlaku. Dia sebahagian dari kami.”

“Kita akan terus menyokong dan membantu dia. Marilah kita sama-sama lupakan semua hal itu dan beri tumpuan untuk apa yang akan datang.”

Morocco sementara itu akan memulakan saingan Piala Benua Afrika mereka pada 10 Januari nanti dengan mereka dijadualkan akan turun beraksi bertemu Ghana.

Mereka kemudiannya akan turun berdepan dengan Comoros pada 14 Januari, sebelum berdepan Gabon dalam aksi terakhir peringkat kumpulan pada 18 Januari nanti.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ajax Mengesahkan Hakim Ziyech Akan Meninggalkan Kelab Tersebut Musim Panas Nanti