Zlatan : Ronaldo Di Italy Bukan Ronaldo Yang ‘Asli’

Zlatan Ibrahimovic lahir pada 3 Oktober 1981 merupakan seorang pemain bola sepak profesional bermain di posisi penyerang dan dari Sweden. Zlatan merupakan pemain tetap pasukan kebangsaan Sweden dari tahun 2001 hingga 2016.

Bersama Sweden Zlatan memakai lilitan ketua pasukan di lengan sejak 2010 dan sehinggalah bersara dari bola sepak antarabangsa pada tahun 2016. Sepanjang kariernya di kelab Zlatan telah bermain di enam liga yang berbeza.

Selepas menakluk Major League Soccer(MLS) dengan 53 gol dalam 58 perlawanan bersama LA Galaxy pemain yang penuh karisma dipukul tak mati, Zlatan Ibrahimovic kini mencari cabaran baru.

Italy seperti destinasi yang menjadi sasaran Zlatan Ibrahimovic untuk perancangan masa depannya dan bayangan untuk ke Italy ini didedahkan dalam satu temuramah bersama GQ.

“Aku akan pergi kepada pasukan yang mahu kembali meraih kejuaraan, pasukan yang mahu memperbaharui sejarah mereka. Aku akan jumpa kau kat Italy.”

Pada minggu lalu The Telegraph melaporkan bahawa Zlatan telah bersetuju untuk bersama AC Milan. Kelab yang memenuhi kriteria Zlatan ‘kelab yang mahu kembali meraih kejuaraan’.

Walaupun belum pasti Zlatan akan ke Italy namun Zlatan telah pun menimbulkan keributan dengan pemain terbaik di Serie A yang tidak menang Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo.

Ketika ditanya potensinya untuk bersaing dengan Ronaldo di Italy, Zlatan menjawab dengan jawapan tipikal seorang Zlatan yang angkuh tak bersempadan.

“Adakah aku akan jumpa Ronaldo sebenar di Italy? Takde pun! Hanya ada seorang sahaja Ronaldo, hanya yang berasal daripada Brazil.”

Selepas mengeluarkan kata-kata yang boleh membuatkan telinga Ronaldo dan rakan-rakan berdesing, Zlatan terus seperti memerah limau nipis ke luka sambil menambah garam.

“Ronaldo bukan seorang yang mempunyai bakat semulajadi, tetapi hasil daripada kerja keras.”

“Ronaldo menyertai pasukan yang telah memenangi Serie A tujuh kali berturut-turut. Pergi ke kelab macam tu bukan satu cabaran.”

“Jika aku mahukan cabaran, aku terus bersama Juventus semasa aku di Serie B dan berjuang untuk kembali ke Serie dan kembali ke puncak.”

Zlatan telah meninggalkan Juventus untuk bersama Inter Milan pada 2006 selepas the Old Lady terpalit dengan skandal Calciopoli(rasuah) dan terpaksa bermain di Serie B.

Kerjaya awal Zlatan bermula di Malmo pada penghujung tahun 90-an sebelum berhijrah ke Ajax. Kemudian Zlatan menyertai Juventus dan berjaya membentuk gandingan mantap bersama David Trezeguet sebelum ke Inter Milan.

Pada 2009 Zlatan telah diikat oleh Barcelona dari Inter Milan sebelum kembali ke Italy bersama AC Milan sebagai pemain pinjaman dan terus diikat secara tetap. Selepas bosan di Italy, Zlatan mencari cinta di Kota Paris bersama PSG.

Selepas 4 musim bermaharaja lela di Ligue 1 Zlatan beralih arah ke Premie League bersama Manchester United. Di PSG Zlatan muncul sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG dengan 156 gol dalam 180 perlawanan.

BACA:  Cara Bermain Sebagai Target Man Seperti Zlatan Ibrahimovic