3 Senarai Pendek Bakal Pengganti Koeman di Barcelona

Kelab gergasi La Liga, Barcelona, telah mengambil langkah kawalan dan pencegahan kerosakan pasukan apabila telah memecat ketua jurulatih, Ronald Koeman, selepas kekalahan mengejutkan 0-1 kepada Rayo Vallecano, yang turut merupakan kekalahan ketiga dalam empat perlawanan liga, dan juga kekalahan kedua berturut-turut.

Kedudukan Koeman sebelum ini bagaikan telur di hujung tanuk selepas keputusan perlawanan yang tidak memberangsangkan sebelum liga berehat bagi memberi laluan kepada tempoh perlawanan antarabangsa pada bulan Oktober, dan sebaik liga domestik bersambung, kekalahan berturut-turut kepada Real Madrid dan Vallecano menjadi asbab utama kenapa pegurusan tertinggi kelab hilang sabar dengan jurulatih dari Belanda ini.

Jurulatih berusia 58 tahun ini meninggalkan Barca pada kedudukan kesembilan di dalam liga, dan berada dalam tempoh bahaya untuk terlepas slot ke Liga Juara-Juara UEFA buat kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Kenyataan rasmi kelab berbunyi;

“FC Barcelona telah melepaskan Ronald Koeman daripada tugasnya sebagai jurulatih pasukan utama. Presiden kelab, Joan Laporta, telah memberitahunya tentang keputusan ini selepas kekalahan kepada Rayo Vallecano.]

“Koeman akan mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan pada hari Khamis di Ciutat Esportiva. FC Barcelona mengucapkan terima kasih kepadanya di atas khidmatnya buat kelab dan mengucapkan selamat maju jaya dalam karier professionalnya.”

Laporta sebenarnya sudah mempertimbangkan untuk memecat Koeman pada musim panas lalu, malah dia telah memberitahu jurulatih tersebut bahawa dia memerlukan tempoh dua minggu untuk mencari calon terbaik untuk mengemudi pasukan yang pernah menguasai La Liga dan pentas Eropah suatu ketika dahulu tersebut.

Akan tetapi, disebabkan tiada mana-mana jurulatih yang mampu menambat hati Laporta, dia telah bersetuju untuk memberikan Koeman peluang kedua.

Menurutu sumber dalaman, Koeman dikatakan sangat kecewa dengan tindakan Laporta yang tidak mempercayakannya dan hubungan antara kedua-dua individu ini tidak lagi sama seperti dulu, dan boleh diibaratkan sebagai retak menanti belah.

Pun begitu, Laporta masih mampu untuk memberikan peluang kepada Koeman untuk mengemudi pasukan meskipun selepas ditewaskan oleh Benfica tiga gol tanpa balas dalam perlawanan Liga Juara-Juara pada bulan lalu di Lisbon.

Sejak itu, Barca telah tewas kepada Atletico Madrid, Real Madrid dan terbaru, Rayo Vallecano.

“[Berada di tangga kesembilan] ni tak best tau tak,” ujar Koeman, selepas penyerang Radamel Falcao menjaringkan gol tunggal perlawanan untuk memalukan lawan mereka. Dalam perlawanan tersebut juga, Depay telah gagal menjaringkan gol menerusi sepakan penalti yang diberikan pada minit ke-72.

“Ini menunjukkan tahap pasukan memang sedang merudum, dari segi keseimbangan dalam skuad. Kita telah kehilangan pemain yang cukup efektik dalam bahagian ketiga (final third). 

“Aku rasa dalam beberapa tahun ni pasukan utama yang lain telah berjaya menguatkan pasukan masing-masing dan kita tidak berjaya buat macam tu. Itu kena kira tu.

“Tapi bukan hari ni, sebab walaupun tanpa beberapa pemain kita bermain dengan baik. Tapi tu lah, kau takleh cakap cenggitu bila pasukan kau tak jaringkan gol, tak boleh la kalau di Sepanyol,” ujar Koeman panjang lebar selepas perlawanan tersebut.

Koeman mula memegang jawatan yang boleh dikatakan antara yang terbesar dalam bola sepak dunia ini sejak 13 bulan yang lalu, selepas mantan presiden Josep Maria Bartomeu, telah melantiknya menggantikan Quique Setien yang dipecat selepas dibelasah 8-2 oleh Bayern Munich dalam perlawanan Liga Juara-Juara pada bulan Ogos 2020.

Dengan tawaran yang ada, Koeman telah meninggalkan tugasnya sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Belanda dan sanggup mengeluarkan duit poketnya sendiri untuk menebus kontrak, demi kerjaya impian di Barcelona.

Dalam musim pertamanya di Nou Camp, Koeman telah berjaya menjulang Copa Del Rey dan menamatkan liga di tangga ketiga, di belakang dua kelab Madrid.

Pada pentas Eropah pula, mereka telah ditendang keluar daripada saingan oleh kelab Perancis, Paris Saint Germain pada pusingan 16 pasukan.

Dari segi sejarah, Koeman boleh dikatakan seorang lagenda buat La Blaugrana apabila dia menjaringkan gol tunggal perlawanan akhir Piala Eropah pada tahun 1992, tetapi sepanjang menjadi jurulatih di kelab ini, Koeman berdepan dengan banyak masalah dan cabaran.

Barcelona mengalami krisis kewangan yang terus sehingga tidak mampu untuk menyambung kontrak buat lagenda mereka, Leo Messi, yang kemudiannya telah menyertai liga pra-persaraan di Perancis.

Pada masa yang sama, kecederaan jangka masa panjang yang dialami oleh beberapa pemain seperti Ansu Fati, Ousmane Dembele, Philippe Coutinho dan Sergio Aguero turut merencatkan perancangan Koeman untuk mendapatkan keputusan terbaik.

Ada sumber mengatakan pada bulan September bahawa kelab Catalan ini sudahpun mempunyai senarai pendek pengganti kepada Koeman, dengan pengurus Belgium, Roberto Martinez dan lagenda kelab Xavi Hernandez yang kini menjadi jurulatih di kelab Qatar Al-Sadd, antara nama yang sedang dipertimbangkan, serta jurulatih Ajax Amsterdam, Erik ten Hag.

Xavi

Xavi Hernandez boleh diangkat sebagai antara pemain tengah terbaik dunia ketika dia bermain untuk Barcelona dan pasukan kebangsaan Sepanyol dan dia telah merasai semua piala yang pasukannya sertai.

La Liga, Copa Del Rey, Liga Juara-Juara UEFA, Piala Dunia Kelab – senarai piala yang dijulangnya bersama Barcelona, manakala sepanjang dia menabur bakti bersama Sepanyol, Xavi telah berjaya menjulang Piala Dunia 2010 dan Kejohanan Eropah 2008 dan 2012.

Selepas meninggalkan kelab, kepulangannya sebagai jurulatih memang sangat dinantikan oleh para penyokong.

Bersama Al-Saad, Xavi telah berjaya menerapkan permainan tiki-taka mirip ketika dia bermain di bawah kendalian Pep Guardiola. Pada musim ini, setakat tujuh perlawanan Qatar Stars League, pasukannya sedang mendahului liga dengan memenangi kesemua perlawanan dan menjaringkan 29 gol!

Bekas rakan sepasukan Xavi, Andres Iniesta, sebelum ini telah menyatakan bahawa Xavi sudah bersedia untuk kembali ke Nou Camp dan memacu kebangkitan La Blaugrana.

Roberto Martinez

Walaupun Xavi merupakan calon kesukaan para penyokong, terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa seorang lagi pengurus berbangsa Sepanyol, Roberto Martinez, yang turut berada dalam radar Barcelona.

Di atas kertas, Martinez dilihat lebih berpengalaman berbanding Xavi dan dia juga cukup dikenali sebagai pengurus yang suka menaikkan pemain muda, seperti mana yang telah dilakukannya di Wigan Athletic, Everton dan pasukan kebangsaan Belgium. Ini jelas cukup selaras dengan dasar kelab Catalan tersebut yang amat menitik beratkan penggunaan hasil produk La Masia mereka.

Sumber tersebut turut menyatakan bahawa presiden Barcelona, Joan Laporta, ada menghubungi Martinez pada musim panas lalu tetapi dia enggan mengadakan sebarang perbincangan kerana ingin fokus kepada Kejohanan Eropah.

Antara pencapaian terbaik Martinez selaku pengurus adalah membawa pasukan kebangsaan Belgium meraih tempat ketiga dalam Piala Dunia 2018.

Erik ten Hag

Pencapaian ten Had bersama Ajax cukup diminati oleh Barcelona sebenarnya. Kedua-dua kelab ini boleh dikatakan mempunyai persamaan dan hubungan yang erat, terutamanya menerusi lagenda Johan Cruyff, yang telah mengetengahkan idelogi bola sepak yang menjadi asas permainan kedua-dua pasukan sehingga ke hari ini dan juga cukup mementingkan penggunaan pemain muda di dalam pasukan.

Kebelakangan ini, Ajax bukanlah satu nama besar dari segi pencapaian mereka di pentas Eropah berbanding Barcelona, pada masa yang sama kelab Catalan itu dilihat sedikit terkebelakang dalam menghasilkan pemain muda bertaraf dunia berbanding kelab ibu negara Belanda.

Pengaruh ten Hag dan falsafah bola sepaknya sangat cocok buat Barcelona. Walaubagaimanapun, kontrak jangka panjang bersama Ajax mungkin akan menjadi penghalang untuk ditebus, memandangkan Barcelona kini masih belum pulih daripada masalah kewangan yang melanda kelab.

Sumber : ESPN  ,theweek

BACA:  Martin Braithwaite - Pemain Terkaya Barcelona Yang Juga Taikun Hartanah