4 Sebab Kenapa Indonesia Berjaya Mengayamkan Pasukan Malaysia

Malaysia terkeluar daripada saingan Piala AFF Suzuki 2020 dan gagal layak ke separuh akhir selepas tewas kepada seteru utama, Indonesia 1-4 dalam perlawanan di Stadium Kallang, Singapura.

Malaysia memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila membuka jaringan menerusi R. Kogileswaran seawal minit ke-13. Kogi yang tidak dikawal di luar kotak penalti telah menerima bola clearance yang lemah daripada pemain Indonesia, lalu melakukan rembatan lencong persis Federico Chiesa dan menewaskan penjaga gol lawan.

Pada minit ke-36, Indonesia menyamakan kedudukan menerusi Irfan Jaya selepas menerima lorongan bola daripada Asnawi Mangkualam yang tidak dikawal oleh pertahanan kiri Malaysia.

Dua minit sebelum waktu rehat, Irfan Jaya sekali lagi menikam belati di dada penyokong Malaysia apabila menjaringkan gol kedua Indonesia, selepas bek kiri Harimau Malaya sekali lagi gagal membaca keadaan dan pergerakan pemain lawan.

Arhan Pratama menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan ini buat Indonesia pada minit ke-50, apabila dia melakukan rembatan lencong yang sangat indah dari luar kotak penalti dan gagal ditampan keluar oleh penjaga gol Malaysia, Khaiful Fahmi Che Mat.

Elkan Baggot menambah luka di hati para penyokong Harimau Malaya apabila menjaringkan gol keempat Garuda menerusi tandukan dari sepakan penjuru.

Jika dilihat kembali perlawanan semalam, kita dapat simpulkan terdapat empat sebab kenapa Indonesia berjaya menang dengan begitu selesa ke atas skuad negara, selain daripada empat gol yang dijaringkan.

Persediaan Lebih Rapi

Awal separuh masa pertama menyaksikan pasukan Indonesia mengambil masa yang agak lama untuk settle down dan hasilnya Malaysia menjaringkan gol pembukaan perlawanan.

Akan tetapi, selepas detik tersebut barisan pemain Indonesia dilihat lebih teratur dan bermain dalam satu sistem yang cukup mantap, terutamanya di bahagian serangan.

Setiap kali mereka melakukan serangan ke kubu Malaysia, pergerakan pemain yang begitu ramai dapat dilihat sekaligus berjaya mewujudkan situasi lebihan pemain mereka berbanding pertahanan Malaysia.

Lagi pula, kita dapat lihat bagaimana pergerakan pemain seperti Irfan Jaya, Arhan Pratama dan Asnawi Mangkualam yang begitu selesa menggunakan ruang half space sehingga kerap kali membuatkan pertahanan kiri Malaysia yang baru sahaja menebus kontraknya bersama Selangor, Syahmi Safari, hilang punca dan tidak berada di posisi yang betul.

Ini jelas pasukan Indonesia, selain bermain dengan semangat yang tinggi, bermain dengan satu sistem dan taktikal yang jelas sekaligus membuktikan mereka lebih bersedia untuk turun ke perlawanan ini.

Kecergasan dan Kepantasan

Perlawanan hanya dilihat seimbang pada separuh masa pertama di mana kedua-dua pasukan dilihat setanding di segenap posisi dan mampu berbalas serangan.

Walaubagaimanapun, pada separuh masa kedua, pemain Malaysia dilihat hilang punca dan tercungap-cungap untuk kembali bersaing dalam perlawanan.

Lebih buruk lagi, Malaysia terpaksa bermain dengan barisan pertahanan yang rendah atau deep bak kata orang putih memandangkan Junior Eldstal tidak mempunyai kepantasan yang diperlukan untuk menyaingi pemain serangan Indonesia.

Hanya Safawi dan Arif Aiman dalam pasukan negara yang boleh diklasifikasikan sebagai pantas. Gambar : Goal

Kemasukan Dominic Tan pada separuh masa kedua menggantikan Safawi Rasid yang cedera, dan menolak Dion Cools ke atas, tidak berapa membantu pasukan Malaysia.

Sering kali kita dapat lihat Dominic tercungap mengejar dan membaca pergerakan pemain lawan.

Ketua jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe, telah memasukkan Guilherme De Paula dalam cubaan mencari gol. Memang diketahui De Paula tidak mempunyai kelajuan yang sepatutnya untuk mencabar pemain lawan dan dia dilihat banyak berada di luar kotak penalti ketika melakukan serangan.

Parah.

Pertukaran Bijak Shin Tae-Yong

Ketua jurulatih Indonesia, Shin Tae-Yong sememangnya diketahui begitu pragmatik dalam mengendalikan perlawanan. Matlamat utamanya adalah kemenangan dan dia tahu bagaimana caranya untuk mencapai hasratnya itu.

Pada separuh masa kedua, Tae-Yong telah memasukkan Yabes Roni dan Hanis Sagara Putra bagi menambah tekanan kepada benteng pertahanan Malaysia, dan mengeluarkan pemain yang sudah dapat dibaca pergerakannya oleh pemain Harimau Malaya.

Elkan Baggot yang mempunyai ketinggian 6 kaki 5 inci (196cm) dimasukkan dengan sasaran untuk menyambar bola set piece dituju ke dalam kotak penalti Malaysia.

Hasilnya, pemain Ipswich Town ini berjaya menjaringkan gol keempat pasukannya menerusi tandukan tanpa berjaya dikawal oleh mana-mana pemain Malaysia.

Benteng Pertahanan Malaysia Yang Sendu

Malaysia kehilangan dua tonggak pertahanan utama – Aidil Zafuan dan Shahrul Saad – dalam perlawanan yang menyaksikan pasukan Harimau Malaya tewas kepada Vietnam tempoh hari.

Menggantikan tempat mereka adalah Dion Cools yang baru tiba di Singapura dan juga Junior Eldstal, sambil diapit oleh Rizal Ghazaly serta Syahmi Safari.

Kedudukan barisan pertahanan Malaysia dilihat berada di zon yang sangat rendah, sekaligus membuka ruang yang besar di antara mereka dan juga pemain tengah negara.

Pemain Indonesia cukup bijak menggunakan kesempatan ini dan kerap memporak perandakan pertahanan Malaysia. Lebih memburukkan keadaan adalah Malaysia bermain dengan terlalu berhati-hati di mana jarang kita dapat lihat pemain bek tepi negara naik ke atas untuk memberikan sokongan kepada serangan.

Syahmi Safari pula kerap kali hilang di posisinya dan memberi ruang kepada sayap Indonesia untuk merencana gerakan dan ini dapat dilihat ketika Irfan Jaya menjaringkan gol kedua.

Tidak dapat dipastikan kenapa Syahmi bertindak meninggalkan kawasannya dan masuk ke tengah untuk mencabar bola sedangkan Rizal Ghazaly dan Junior Eldstal sudahpun berada di hadapan bola untuk melakukan hadangan

Rembatan pemain Indonesia pada awalnya berjaya dihadang Junior Eldstal dan bola muntah di hadapan Irfan Jaya yang langsung tidak dikawal.

Begitulah cerita dia.

BACA:  TMJ Dedah Bagaimana Nelo Vingada Boleh Dilantik Menjadi Pengurus Harimau Malaya